Saturday, January 24, 2015

Jenazah Raja Abdullah selamat dikebumikan


AHLI keluarga kerabat diraja berkumpul di sekeliling pusara Raja Abdullah Abdulaziz selepas dikebumikan di Riyadh, malam tadi. Raja Abdullah yang mangkat awal pagi semalam dikebumikan di kubur tidak bertanda di kawasan tanah perkuburan awam di Al-Aoud, Riyadh. - Foto Reuters
RIYADH: Upacara pemakaman Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz dilaksanakan selepas solat Jumaat sambil pemimpin negara asing berkumpul dalam masjid gua di ibu kota ini.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif menyertai pemimpin negara Teluk untuk menunaikan solat jenazah di Masjid Imam Turki bin Abdullah, gambar televisyen menunjukkan.
Raja Bahrin, Raja Hamad bin Isa al-Khalifa; Emir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad al-Thani dan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah adalah antara pemimpin yang hadir pada majlis pemakaman.
Jenazahnya yang ditutup dengan kain kapan putih kemudiannya dibawa ke satu kubur tidak bertanda di kawasan tanah perkuburan awam di Al-Aoud, Riyadh.
Tiada tempoh rasmi berkabung diumumkan di Arab Saudi dan bendera kerajaan negara itu juga dikibar seperti hari-hari biasa.
Walaupun populariti Almarhum jelas di kalangan rakyatnya, namun tidak ada perhimpunan besar-besaran di jalanan di sekitar bandar sebagai menandakan pemergian beliau.
Pejabat-pejabat kerajaan, ditutup seperti biasa pada hujung minggu di Timur Tengah iaitu hari ini dan esok serta akan dibuka semula seperti biasa pada Ahad.
Solat Asar turut dibuat terlebih dulu sebelum majlis pengebumian Almarhum dan pengebumian jenazahnya juga dibuat tiada sebarang acara rasmi.
Raja Abdullah Abdulaziz, mangkat kira-kira jam 1 pagi semalam, pada usia 90 tahun akibat radang paru-paru, menurut kenyataan Agensi Saudi Press.
Adik tirinya yang Putera Mahkota, Salman, 79 hari ini diisytiharkan sebagai Raja Arab Saudi yang baharu bagi menggantikan Almarhum. - AFP/REUTERS

No comments:

Post a Comment