24 Januari 2015 1:30 AM
JENAZAH Raja Abdullah diusung ke Masjid Imam Turki bin Abdullah untuk disembahyangkan sebelum acara pengebumian di Tanah Perkuburan Al-Od di Riyadh, Arab Saudi, semalam. – REUTERS
JEDDAH 23 Jan. - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz mangkat awal hari ini ketika berusia 90 tahun dan kedudukannya diganti oleh adik beliau, Putera Salman.
Sumber istana dalam satu kenyataan berkata, Abdullah mangkat pada pukul satu pagi waktu tempatan (enam pagi waktu Malaysia).
Putera Salman, 79, yang menaiki takhta menggantikannya merupakan Menteri Pertahanan dan pernah memegang jawatan sebagai Gabenor Riyadh, manakala adik kedua Abdullah, Putera Muqrin dinamakan sebagai Putera Mahkota.
Jenazah Abdullah disemadikan di Tanah Perkuburan Al-Od di Riyadh hari ini selepas solat Jumaat di Masjid Imam Turki bin Abdullah dalam satu pengebumian ringkas yang turut dihadiri orang kenamaan, pemimpin dunia.
Sementara itu, penduduk dijemput menghadiri upacara pertabalan Putera Mahkota, Raja Salman sebagai pemerintah baharu Arab Saudi.
Kenyataan itu, bagaimanapun tidak menyebut punca kematian Abdullah, namun menurut laporan, beliau dimasukkan ke hospital pada Disember lalu akibat jangkitan paru-paru dan terpaksa menggunakan bantuan pernafasan.
Di bawah pemerintahan Abdullah selama 10 tahun, Arab Saudi menjadi sekutu kuat Washington dan baru-baru ini menyertai tentera bersekutu menentang kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria dan Iraq.
Beliau juga melakukan beberapa perubahan termasuk melantik wanita dalam Majlis Syura dan mempromosi pembangunan ekonomi Arab Saudi kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
Abdullah turut memanfaatkan kekayaan minyak negara untuk membina bandar baharu, universiti dan landasan kereta api berkelajuan tinggi.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan takziah ke atas kematian Abdullah.
“Ketika kedua-dua negara bekerjasama menghadapi pelbagai cabaran, saya selalu menghormati perspektif Raja Abdullah dan menghargai hubungan persahabatan dengan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai pengeluar terbesar minyak dalam kalangan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Arab Saudi menjadi penggerak di sebalik keengganan kartel untuk mengurangkan pengeluaran bagi menyokong harga minyak yang jatuh melebihi 50 peratus sejak Jun lalu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/raja-arab-saudi-mangkat-1.51597#sthash.5E3rMBlk.dpuf
No comments:
Post a Comment