RIYADH 23 Jan. – Putera Salman yang ditabalkan menggantikan Raja Abdullah yang mangkat, hari ini sebagai pemerintah baharu Arab Saudi dilihat bakal berdepan kesulitan ekoran waris takhta Arab Saudi itu menghadapi masalah nyanyuk.
Pakar pewarisan takhta Arab Saudi, Simon Henderson dari Institute for Near East Policy Washington berkata, walaupun ramai menyatakan peralihan takhta akan berjalan lancar, tetapi Arab Saudi mungkin akan berdepan dengan masalah.
“Raja yang menghadapi masalah nyanyuk adalah perkara terakhir yang mereka perlukan. Negara jiran, Yemen kini mengalami konflik dan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) berada hampir dengan sempadan. Keadaan ini adalah berbahaya kepada Asia Barat menurut perspektif Arab Saudi,” katanya yang dipetik portal berita, Washington Post.
Menurut tradisi diraja Arab Saudi, takhta Arab Saudi diserahkan kepada anak-anak lelaki pemerintah pertama Arab Saudi, Raja Abdulaziz bin Saud yang mangkat pada 1953.
Salman adalah anak lelaki keenam Abdulaziz yang ditabal menjadi raja, manakala beberapa adik-beradiknya yang lain yang masih hidup dan sihat mempunyai kelayakan untuk memegang takhta.
Salman dalam ucapan pertabalannya berkata, beliau akan meneruskan pendekatan sama seperti pemerintah terdahulu dalam memimpin negara.
“Kami akan terus kekal dalam landasan yang telah disusun sejak penubuhan negara ini oleh Raja Abdulaziz,” katanya.
Raja Salman mempunyai kebebasan untuk memilih waris takhta, namun beliau dijangka memilih Muqrin, adik bongsu sebagai Putera Mahkota.
Keluarga diraja Arab Saudi bakal berhadapan cabaran tentang siapa pula, yang layak dilantik sebagai pewaris Muqrin memandangkan beratus-ratus cucu Abdulaziz layak untuk menyandang jawatan itu.
Proses pewarisan diraja dijalankan oleh Majlis Taat Setia yang merupakan satu badan yang diwujudkan oleh Raja Abdullah melibatkan 35 orang putera yang merupakan cucu yang akan memilih pemimpin baharu selepas seseorang raja mangkat.
Bagaimanapun, keluarga besar diraja Arab Saudi yang terbahagi kepada beberapa puak sering berganding bahu dalam memastikan pemerintahan keluarga diraja itu diteruskan.
No comments:
Post a Comment