Friday, July 31, 2015

Taliban sahkan kematian Mullah Omar

JUMAAT, 31 JULAI 2015 @ 10:07 AM

 KABUL: Taliban semalam mengesahkan kematian pemimpin mereka, Mullah Omar menerusi satu kenyataan, sehari selepas kerajaan Afghanistan mengumumkan mengenainya. "Kepimpinan Islam Emirate dan keluarga Mullah Omar...mengumumkan yang pemimpin Mullah Omar meninggal dunia akibat sakit," menurut kenyataan Taliban, menerusi nama rasmi pergerakan itu. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71271

1MDB: "Saya Tak Boleh Cakap, Ia Satu Jenayah"


Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2015 1:15 PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memilih untuk 'mengunci mulut' daripada terus mengkritik dakwaan skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Malahan, bekas Perdana Menteri itu juga sempat mengingatkan wakil media supaya tidak mengajukan soalan berhubung isu berkenaan kepadanya.
"Saya nak beri amaran bahawa saya tak boleh jawab apa-apa soalan mengenai 1MDB kerana ia sekarang menjadi satu jenayah apabila bercakap mengenai 1MDB," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pusat Hati di Prince Court Medical Centre di sini, Jumaat.
Bagaimanapun Dr Mahathir mengakui beliau menonton klip video mengandungi dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadinya seperti yang tersebar di Internet.
"Ya saya tonton. Semua orang juga tonton. Tapi Najib tidak pernah nafi mengenai RM2.6 bilion itu.
"Cuma saya tak boleh cakap mengenai 1MDB, ia adalah jenayah kalau cakap mengenainya," katanya mengulangi kata-katanya terdahulu.
Terbaru, video pendek berdurasi 57 saat yang dimuat naik di Internet sebelum ini menunjukkan, Muhyiddin sedang berbual dengan beberapa tetamu antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di kediamannya Selasa lalu.
Dalam perbualan mereka itu, Muhyiddin menyebut Najib pernah mengakui kepadanya terdapat sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun peribadinya.
Ditanya mengenai kemungkinan penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara akan menjejaskan siasatan berhubung 1MDB, Dr Mahathir berkata: "Siasatan? Peguam Negara baharu juga boleh siasat. Saya yakin beliau akan siasat."

MH370: Saya Lihat Objek Aneh Di Pantai, Kata Individu Temui Serpihan Bangkai Pesawat


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 9:12 PM
Johnny Begue, salah seorang anggota kumpulan pembersih pantai bersama dengan tinggalan sebuah beg di lokasi yang sama bagi penemuan satu serpihan yang dipercayai milik bangkai pesawat MH370 yang hilang. Foto AFP

SAINT-ANDR (PERANCIS): Johnny Begue tidak menjangkakan melalui di sepanjang pesisir pantai dan menemui serpihan bangkai pesawat telah menarik perhatian seluruh dunia terhadap pulau kecil yang merupakan kampung halamannya.
Begue mengetuai pasukan yang terdiri daripada lapan orang untuk membersihkan kawasan pantai di bandar Saint-Andre di Pulau Reunion.
Pada awal pagi Rabu, dia mencari batu kecil untuk dijadikan sebagai lesung untuk mengisar cili.
"Ketika itulah saya menjumpai sesuatu yang aneh di pantai," kata Begue, yang kemudiannya memanggil rakan-rakannya untuk memeriksa penemuan itu.
"Saya dengan segera mendapati ia merupakan serpihan sebuah pesawat," kata rakan Begue, Cedric Gobalsoumy.
Menurut pakar, serpihan bangkai pesawat sepanjang dua meter itu dipercayai merupakan bahagian sayap dengan keadaannya separuhnya diselaputi pasir manakala terdapat siput laut di bahagian hujungnya.
Gobalsoumy, kumpulan itu kemudiannya membawa objek itu ke darat bagi mengelakkan ia dibawa arus laut.
Mereka bagaimanapun tidak menyedari penemuan serpihan bangkai pesawat itu akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan berharap ia merupakan milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, sekali gus menyelesaikan misteri besar dalam industri penerbangan.
Pada awalnya, mereka memikirkan mahu meninggalkan sahaja serpihan bangkai pesawat itu untuk dilihat oleh orang ramai dan pelancong yang melalui kawasan pantai.
Gobalsoumy bagaimanapun berkata, dia menyedari mereka tidak boleh bertindak sebegitu.
"Satu serpihan dari sebuah pesawat di laut bukan sesuatu yang biasa. Kami berkata kepada diri kami bahawa mungkin terdapat orang yang maut di dalam pesawat ini dan mereka mempunyai keluarga yang perlu mengetahui apakah yang berlaku."
Mereka kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
"Seorang rakan kemudiannya melayari Internet menggunakan telefon bimbitnya dan membuat carian maklumat mengenai nahas pesawat dan menemui kisah yang melibatkan pesawat milik Malaysia," kata Begue.
Sekumpulan pembersih pantai itu bukan hanya yang mengaitkan penemuan itu dengan kehilangan pesawat milik Malaysia dan berita mengenainya dengan pantas tersebar ke seluruh dunia dan banyak pasukan penyiasat mahu membuat pemeriksaan terhadap serpihan tersebut.
"Saya tidak menyedari bahawa pergi mencari anak lesung untuk menumbuk cili menjadikan saya dikenali ramai," kata Begue.
Laporan media mengenai pulau itu yang sebelum ini sering kali dilaporkan tentang serangan ikan jerung dengan 18 insiden sejak 2011 di mana tujuh mengakibatkan kematian, telah mengalih perhatian dunia kepada penemuan serpihan bangkai pesawat.
"Kali ini semua tidak bercakap mengenai kami kerana serangan ikan jerung," kata pelajar, Anna Grondin, 23.
"Ia sesuatu yang luar biasa, malah CNN di Amerika bercakap mengenai kami dan menunjukkan pulau di peta," kata Jean-Marc Alagama, 43.
Pasukan pakar dari Malaysia dihantar ke pulau itu, namun pihak berkuasa menggesa supaya tidak terburu-buru membuat sebarang kesimpulan mengenai penemuan sayap itu. - AFP

Cuba Kahwini Anggota Militan, Wanita Kekal Dipenjara Dua Tahun


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 2:30 PM
Ummi Kalsom Bahak.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita berusia 25 tahun atas dakwaan cuba berkahwin dengan seorang anggota militan untuk menyokong pergerakan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Rayuan pihak pendakwaan bagi mengenakan hukuman lebih berat ditolak pada Khamis oleh tiga panel hakim yang diketuai Datuk Mohtarudin Baki.
Ia adalah kes pertama membabitkan IS yang didengar di Mahkamah Rayuan.
Pada 1 November tahun lalu, Ummi Kalsom Bahak, 25, didakwa menawarkan sokongan termasuk bersetuju untuk berkahwin dengan seorang anggota kumpulan militan yang hanya dikenali dengan nama Aqif Huessin Rahaizat, 25, dengan mengambil penerbangan AirAsia ke Brunei dan berlepas ke Istanbul, Turki.
Pembantu kawalan kredit yang bekerja di Damansara itu ditahan di kaunter Imigresen KLIA2 kira-kira 5.20 petang pada 5 Oktober tahun lalu.
Pada April, dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi.
Wanita tersebut yang juga anak ketiga daripada enam beradik didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana menawarkan bantuan kepada aktiviti keganasan.
Ummi Kalsom menghadapi tuduhan lain iaitu berlepas dari KLIA2 ke Brunei untuk memberikan sokongan kepada IS dengan memasuki Syria dengan mengambil penerbangan dari Brunei ke Istanbul dan untuk berkahwin dengan Aqif Huessin.
Tertuduh diwakili Datuk Hanif Hassan.

Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai


31 JULAI 2015
Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai

Taliban nafi pusingan kedua rundingan damai Jurucakap timbalan presiden, Zafar Hashimi, bercakap pada sidang media ketika pengumuman kematian Mullah di Kabul, kelmarin. - Foto AFP

KABUL - Jurucakap kumpulan militan Taliban semalam, menafikan pusingan kedua rundingan damai dengan Kerajaan Afghanistan, sekali gus menggagalkan usaha baharu untuk menamatkan konflik selama 14 tahun itu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas kerajaan mengumumkan kematian pemimpin kumpulan tersebut, Mullah Omar, yang meninggal dunia dua tahun lalu di negara jiran Pakistan.

"Kami ada mendengar laporan media bahawa pusingan kedua rundingan antara Emiriah Islam dan pentadbiran Kabul akan bermula tidak lama lagi di Pakistan atau China.

"Emiriah Islam telah menyerahkan semua kuasa kepada pejabat politik yang berpangkalan di Qatar, dan mereka tidak mengetahui tentang proses ini," menurut Zabihullah Mujahid.

Pegawai Afghanistan dan Pakistan sebelum ini memberitahu, pusingan kedua rundingan akan diadakan di antara wakil Taliban dan Kerajaan Kabul dalam minggu ini, di mana topik gencatan senjata termasuk dalam agenda mesyuarat tersebut.

Sementara itu, kumpulan terbabit didakwa terus berdiam diri berhubung laporan kematian Mullah, dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Taliban di Quetta, Pakistan - Reuters

Dua hari sah serpihan MH370

Saint-André, Perancis: Kerajaan Malaysia menjangka pengesahan komponen pesawat yang ditemui di Pulau Reunion dekat Madagscar akan diperolehi dalam masa dua hari.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, ketika ini pasukan penyiasat termasuk pakar dari Jabatan Penerbangan Awam dan Penerbangan Malaysia dan Kementerian akan berlepas malam ini menyertai penyiasat lain, termasuk dari Boeing yang mengeluarkan pesawat 777-200.
"Kami menjangka dalam masa dua hari kita boleh mendapatkan pengesahan," kata Abdul Aziz.
Pasukan penyiasat penerbangan kini dalam perjalanan ke pulau di Lautan Hindi itu untuk menentukan sama ada serpihan komponen sayap yang ditemui yang ditemui di tepi pantai pulau itu ialah komponen pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia yang hilang.
Komponen sepanjang dua meter itu ditemui ketika satu kumpulan membersihkan pantai dan mencetuskan harapan di Malaysia serta seluruh dunia pesawat MH370 akan ditemui.
Berikutan itu, Perancis, Malaysia dan Australia memulakan usaha untuk mengesahkan serpihan itu serta dari mana ia hanyut.
Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata di New York: “Apa saja serpihan yang ditemui perlu disahkan sebelum kita boleh mengesahkan dia milik MH370 dan berharap pengesahan itu diperolehi secepat mungkin.”
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China tetapi penerbangannya beralih menuju Lautan Hindi tanpa sebab tidak diketahui.
Seorang saksi di Reunion berkata objek itu diliputi teritip menunjukkan ia sudah lama berada dalam air.
Pakar keselamatan penerbangan di Perancis, Xavier Tytelman, berkata gambar objek itu menunjukkan ‘persamaan luar biasa’ dengan komponen Boeing 777 dipanggil flaperon.
Namun, perlu diingat ada pesawat lain pernah terhempas di kawasan itu, termasuk Boeing 747 milik Penerbangan Afrika Selatan yang terhempas berhampiran Pulau Mauritius pada tahun 1987, membunuh semua 159 orang dalam pesawat. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 2:19 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67089#sthash.Uezfq6kc.dpuf

Zeti sihat, bekerja seperti biasa




KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (gambar) berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami serangan jantung seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial.
“Beliau sihat dan baik-baik sahaja di pejabatnya,” jelas Jabatan Perhubungan Korporat Bank Negara yang dihubungi Bernama di sini semalam.
Tambahnya, Zeti bekerja seperti biasa dan tidak dimasukkan ke wad seperti didakwa.
Berdasarkan kalendar acara Bank Negara di laman webnya, Zeti bakal mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua pada 13 Ogos ini.
Taklimat prestasi KDNK biasanya dipengerusikan oleh Gabenor Bank Negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3hPquJAMT 
Hakcipta terpelihara 

PM Belanda rayu Putin supaya tidak guna kuasa veto


REUTERS - GAMBAR fail 26 Julai memaparkan sepasang suami isteri duduk di atas serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat kampung Grabovo, timur Ukraine.


THE HAGUE – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte semalam merayu kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin supaya tidak menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengadili mereka yang me­nembak jatuh Penerbangan Malaysia MH17 di Ukraine.
Pejabat Rutte menyatakan, beliau menelefon Putin menjelang sesi pengundian Ma­jlis Keselamatan di New York untuk meminta sokongannya berhubung penubuhan sebuah tribunal antarabangsa bagi membicarakan dalang yang menembak jatuh MH17.
Nahas Penerbangan Malaysia itu meragut 298 nyawa pada Julai tahun lalu.
“Secara jujur dan panjang lebar, Rutte membuat panggilan penting kepada Putin supaya beliau menjadikan kenyataan untuk membicarakan mereka yang mendalangi serangan ke atas MH17 di sebuah tribunal PBB,” menurut kenyataan dari pejabat Rutte.
Malaysia, Belanda, Australia, Ukraine dan Belgium meminta supaya tribunal antarabangsa itu diwujudkan, manakala Malaysia telah mengedarkan draf resolusinya untuk diundi semalam.
Rusia bertegas menentang penubuhan tribunal berkenaan dan akan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan untuk memba­talkannya.
Moscow sebaliknya mahu menunggu sehingga siasatan antarabangsa nahas tersebut yang diketuai Belanda selesai pada Oktober depan.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine semasa pertempuran sengit dengan tentera Ukraine.
Ukraine dan Barat me­nuduh pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat 777-200 itu menggunakan peluru berpandu darat ke udara yang dibekalkan oleh Moscow.
Rusia sebaliknya me­nuduh tentera Ukraine bertanggungjawab melakukan sera­ngan itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3hPqLgxj7 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, July 30, 2015

Russia veto resolusi tribunal MH17


DATUK Seri Liow Tiong Lai ketika di Majlis Keselamatan PBB, New York. - Foto EPA
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Russia menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi penubuhan tribunal khas untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 di Ukraine.
Sebelas daripada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong resolusi itu yang dirangka oleh Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine.
Russia menggunakan kuasa veto. Angola, China dan Venezuela berkecuali. Sesi Majlis Keselamatan PBB itu bermula dengan tafakur sebagai penghormatan kepada 298 orang yang terbunuh dalam tragedi 17 Julai, 2014 itu.

Moscow merangka resolusi pilihan yang tidak memasukkan sebuah tribunal tetapi meminta siasatan penuh antarabangsa dan dutanya memberi penjelasan panjang bagi mempertahankan tindakan Russia itu.
Vitaly Churkin berkata, penyiasat Russia dinafikan hak ke tapak pesawat itu terhempas dan membidas apa yang mungkin mungkin menjadi pendakwaan jenayah "secara tertutup" jika resolusi itu diluluskan.
"Apakah asas yang dapat memastikan keadilan dalam siasatan itu?" soal Churkin dalam ucapannya kepada majlis itu sambil membidas "propaganda agresif menerusi media".
Ukraine dan Barat menuduh puak pemisah pro-Russia bertanggungjawab dan menyatakan mereka mungkin mengguna peluru berpandu darat ke udara Buk yang dibekalkan Russia bagi menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu.
Moscow menafikan pembabitan itu dan sebaliknya menuduh tentera Ukraine.
Duta Amerika Syarikat, Samantha Power, berkata beliau "marah dan amat kecewa" dengan penggunaan kuasa veto itu tetapi menegaskan tiada veto yang akan menggoncang komitmen AS memberikan keadilan kepada waris mangsa.
"Dengan menggunakan kuasa veto, Russia cuba menafikan keadilan kepada 298 mangsa dalam pesawat berkenaan dan menafikan hak waris mereka mengetahui mereka yang bertanggungjawab," katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, merayu kepada anggota Majlis Keselamatan PBB supaya menerima resolusi itu dan berkata sebuah tribunal adalah wadah terbaik untuk "memberikan keadilan kepada keluarga mangsa". - AFP

Pancaroba

Donald Trump Guna Jet Mewah Untuk Berkempen Jawatan Presiden AS


Diterbitkan: Rabu, 29 Julai 2015 10:06 AM

AHLI perniagaan terkenal, Donald Trump menyediakan sebuah pesawat peribadi bersalut emas untuk digunakan dalam kempen merebut jawatan presiden Amerika Syarikat.
Tindakan jutawan hartanah tersebut memilih pesawat mewah untuk berkempen dilihat bertentangan dengan helah ahli politik lain yang gemar menaiki teksi atau pengangkutan awam lain.
Pesawat jenis Boeing 757-200 itu dibeli Trump pada 2011, namun ia telah diubahsuai baru-baru ini supaya lebih canggih dan moden.
Ciri-ciri mewah di dalam pesawat berkenaan juga boleh digunakan oleh 43 penumpang yang akan berkempen bersama jutawan berkenaan.
Walaupun potensi Trump untuk memenangi jawatan presiden agak sukar, namun dia tetap yakin mampu mencapai kejayaan.

Najib Adakan Perbincangan Dengan PM Britain


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 6:19 PM
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut ketibaan Perdana Menteri Britain David Cameron sebaik tiba di Perdana Putra, Khamis. Cameron melakukan lawatan kerja ke Malaysia sempena lawatan beliau ke rantau Asia Tenggara.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Britain David Cameron di pusat pentadbiran negara, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Malaysia.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata di Perdana Putra di sini sebelum menghadiri mesyuarat delegasi.
Terdahulu, Najib menyambut ketibaan Cameron di Dataran Perdana.
Perdana Menteri Britain itu dalam rangka lawatan kerja sehari ke Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatannya ke empat negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia bagi menggalakkan perdagangan dan pelaburan United Kingdom.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Khamis berkata lawatan Cameron memperlihatkan hubungan rapat dan mesra antara Malaysia dan United Kingdom.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pertahanan serta kerjasama dalam rangka kerja Komanwel dan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Cameron ialah Perdana Menteri Britain pertama yang melawat Malaysia dalam dua penggal berturut-turut. Lawatan pertamanya pada April 2012.
Menurut laman web www.gov.uk , Perdana Menteri Britain itu diiringi 31 wakil perniagaan dari setiap daerah di negara itu dalam lawatannya ke Asia Tenggara.
Cameron turut diiringi oleh Setiausaha Negara bagi Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran Sajid Javid, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Pelaburan Lord Francis Maude, Menteri Perniagaan, Industri dan Perusahaan Kecil Anna Soubry serta Menteri Negara bagi Perolehan Pertahanan Philip Dunne. -- Bernama

Aziz Bari Sertai DAP


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 1:54 PM
Dr Abdul Aziz Bari.

PETALING JAYA: Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari merupakan individu terbaharu menyertai DAP.
"Saya memilih DAP kerana merasakan parti ini menyediakan ruang kepada saya untuk berkhidmat. Saya tertarik dengan prinsip keterbukaan, meritokrasi dan ketelusan DAP," katanya.
Dr Abdul Aziz menjelaskan bahawa beliau mempunyai pengalaman bekerja dengan DAP semasa berkhidmat dengan rakan-rakannya di Institut Pulau Pinang.
Pelantikan beliau dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Dr Abdul Aziz menegaskan hasrat beliau adalah semata-mata untuk memberikan sumbangan dan tidak meminta sebarang jawatan di dalam parti.
Pengumuman tersebut dibuat Dr Abdul Aziz dalam sidang media yang dihadiri tokoh terkemuka DAP di ibu pejabat parti itu pada Khamis.
Antara yang hadir adalah penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan sastrawan negara, A. Samad Said.

Beri Penjelasan Kepada Rakyat Mengenai Penyingkiran Gani - Kit Siang


Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2015 4:32 PM
Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat punca penamatan perkhidmatan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
"Rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan penjelasan penuh mengenai layanan terhadap Gani yang ditamatkan perkhidmatannya secara tiba-tiba selepas berkhidmat hampir 13 tahun sebagai Peguam Negara.
"Gani tidak akan terkejut dengan penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara pada Isnin sekiranya beliau memohon untuk bersara awal.
"Tidakkah beliau berhak mendapat ihsan asas, dimaklumkan bahawa perkhidmatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan, jika atas alasan masalah kesihatan adalah sebab sebenar penamatan tugasnya," kata Lim dalam sidang media pada Khamis.
Lim bertanya sekiranya Gani mengalami 'ketidakupayaan' yang serius menyebabkan beliau gagal menunjukkan prestasi atau menjadi tidak efektif sehingga menyebabkan beliau ditamatkan perkhidmatan.
"Lebih luar biasa dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Gani dalam keadaan baik untuk menganggotai pasukan petugas khas dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," kata Lim.
Gani sepatutnya bersara wajib pada 6 Oktober ini, dua bulan dari sekarang.
Jawatan beliau digantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lalu.

Pemuda Umno Labis minta Najib rehat

MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON LABIS - Pemuda Umno Bahagian Labis bersependapat bahawa adalah tidak wajar empat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dibawa masuk ke dalam barisan Kabinet yang baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Mohd Shahir Ali Huddin berkata, ini kerana mereka sedang terlibat di dalam penyiasatan satu kes besar di peringkat nasional dan pengguguran Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail juga adalah suatu yang mengejutkan.

Najib Tun Razak
“Bagi kami tidak wajar beberapa ahli PAC dibawa masuk ke dalam barisan kabinet dan situasi ini mewujudkan satu lagi persepsi buruk rakyat terhadap kredibiliti siasatan yang sedang dijalankan dan kami meminta Datuk Seri Najib berehat bagi melicinkan proses siasatan. “Pada pandangan kami, Datuk Seri Najib pasti mengetahui bahawa rakyat tidak akan mempercayai apa juga keputusan siasatan yang dijalankan kerana apa sahaja jawatankuasa atau ‘task force’ yang diwujudkan masih tertakluk kepadanya sebagai Ketua Eksekutif  Negara,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pemuda Umno Bahagian Labis di Bilik Mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Labis, di sini, malam semalam.

Menurutnya, mereka juga menerima serta menghormati keputusan yang dibuat Najib yang menggugurkan bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana beliau sebagai Ketua Eksekutif Negara berhak untuk menamakan atau menggugurkan mana-mana ahli Kabinet.

Katanya, hasil dari mesyuarat khas seluruh kepimpinan di peringkat cawangan Labis juga sependapat bahawa apa yang dinyatakan Muhyiddin hanyalah meminta penjelasan tentang isu-isu semasa yang berlegar di kalangan rakyat dan ahli Umno khususnya.

“Maka, boleh disimpulkan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat untuk memperkukuhkan parti di dalam menghadapi PRU14 yang akan datang. Serangan demi serangan jelas dilihat tidak ditujukan kepada parti, tetapi kepada individu.

“Kami di peringkat akar umbi juga akan terus bekerja keras untuk memastikan BN terus berkuasa dan memerintah negara walaupun pelbagai isu nasional yang begitu lambat ditangani semakin menghakis kepercayaan golongan muda terhadap kerajaan pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, mereka juga berharap agar siasatan terhadap segala tohmahan dan serangan kepada pucuk pimpinan negara akan dapat diselesaikan dengan segara agar rakyat mendapat penjelasan yang tepat.

Pada masa sama, Najib juga perlu memikirkan cara yang terbaik untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap persepsi buruk yang terpalit kepada dirinya agar dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat dan juga pengundi.

“Kami berharap agar segala tindakan dan keputusan yang telah dan akan dilakukan oleh Datuk Seri Najib akan merungkai segala kecelaruan dan kebencian rakyat terhadap BN di kala kita berada di dalam situasi yang amat meruncing,” katanya.

Bubar parlimen, bukan rombak Kabinet

WARTAWAN SINAR HARIAN SEREMBAN - Pakatan pembangkang di Negeri Sembilan menyifatkan rombakan Kabinet sebagai mahu menutup isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bubar parlimen, bukan rombak Kabinet
Pakatan pembangkang di Negeri Sembilan ketika mengadakan sidang media, semalam
Pengerusi Harapan Baru negeri, Zulkefly Mohamad Omar berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan rombakan Kabinet tidak sesuai dengan masa memandangkan ekonomi dan politik negara tidak menentu ketika ini.

Menurutnya, rombakan menambah kegelisahan rakyat yang semakin terbeban dengan ekonomi dan kos hidup.

“Apa yang berlaku dalam politik BN sekarang membimbangkan rakyat dan rakyat berasa takut dengan senario politik negara.

“Najib dan pemimpin kerajaan sepatutnya menjawab persoalan rakyat tentang mana perginya duit 1MDB, bukannya menambah kecelaruan rakyat dengan melakukan rombakan Kabinet,” katanya pada sidang media bersama pemimpin pembangkang di Ibu Pejabat DAP negeri di Kemayan Square, di sini, semalam.

Zulkefly berkata, masalah kepincangan politik, keborosan dan kehilangan wang serta ekonomi merudum tidak dapat diselesaikan dengan melakukan rombakan Kabinet.

“Najib perlu bubar Parlimen dan beri rakyat peluang untuk mentadbir negara melalui undi terhadap parti pilihan mereka,” katanya.

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun berkata, rakyat tidak mahu rombakan Kabinet dilakukan sekarang, sebaliknya mahu persoalan tentang 1MDB dijawab.

"Mereka gagal menjawab soalan tentang 1MDB dan melengahkan proses siasatan dengan melakukan rombakan Kabinet ini.

“Rakyat masih tidak puas hati meskipun telah tukar menteri. Rakyat mahu jawapan dan penjelasan 1MDB bukannya mahu timbalan perdana menteri dan jemaah menteri baru,” katanya.

Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong pula berkata, penambahan jawatan menteri daripada 35 kepada 37 dan timbalan menteri daripada 27 kepada 31 juga dilihat menambahkan beban kerajaan dari segi pembayaran gaji dan elaun.

“Negeri Sembilan hanya ada seorang wakil menteri apabila Datuk Seri Hasan Malek digugurkan. Tetapi agak pelik apabila wakil MCA di negeri ini, Senator Chong Sin Woon dilantik menjadi Timbalan Menteri Pendidikan.

“MCA kalah semua kerusi di Negeri Sembilan pada PRU lalu, tetapi dilantik menjadi timbalan menteri sedangkan di negeri ini banyak ahli parlimen BN yang boleh dilantik,” katanya.

Tian Chua: Siasatan 1MDB harus diteruskan

30 JULAI 2015 SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk menggugurkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, apa yang dilakukan oleh Najib selaras dengan Perlembagaan negara ini.

“Itu adalah hak dan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri yang mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menggugurkan serta melantik mana-mana ahli politik untuk menjadi menteri termasuk melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya, semalam.

Tian Chua
Tian Chua
Menurutnya, PKR tidak mahu masuk campur dalam apa-apa urusan yang berlaku di dalam Umno.

Namun, beliau meminta rombakan Kabinet tersebut tidak akan memberi kesan kepada siasatan yang dijalankan ke atas syarikat pembangunan strategik, 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Fokus utama kami tetap kepada kemelut yang melanda 1MDB. Ini adalah isu utama yang kami bangkitkan sejak dahulu lagi.

“Rakyat masih tertanya-tanya di manakah wang yang dimiliki syarikat itu,” katanya.

Menurut beliau, dengan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu, Najib seharusnya bercuti seperti yang disarankan oleh kebanyakan ahli parlimen sementara siasatan sedang dijalankan terhadap 1MDB.

Kata Tian Chua, Najib harus memberi kepercayaan kepada ‘orang kanan’ baharunya untuk menjadi pemangku perdana menteri sehingga siasatan selesai.

“Dengan ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Pasukan Petugas Khas yang dibentuk dapat melakukan siasatan dengan telus tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Rombakan Kabinet selamatkan 1MDB

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY SHAH ALAM - Rombakan Kabinet yang menggugurkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat untuk menyelamatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan Tantawi berkata, Muhyiddin antara tokoh penting yang mengkritik dan menyuarakan isu 1MDB selain telah meminta satu audit forensik dilakukan serta meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat segera akaun 1MDB tanpa menunggu laporan Jabatan Ketua Audit Negara.

Nasruddin Hassan
Nasruddin Hassan
Menurutnya, nasib sama berlaku kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatan walaupun beliau akan bersara wajib pada 6 Oktober 2015.

“Akhirnya, Muhyiddin dan Gani menerima nasib politik yang sama seperti mana tindakan diambil terhadap The Edge dan Sarawak Report,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersikap autokratik dengan mencantas pihak yang mengkritik skandal 1MDB.

“Sebaliknya, mereka yang dilihat bersamanya telah mendapat kedudukan yang baik dalam Kabinet hari ini.

“Apakah ini masih belum membuktikan bahawa Najib telah mengganggu gugat proses penyiasatan yang masih berjalan serta berlaku konflik kepentingan,” katanya.

Gugur Muhyiddin: Najib belum selamat lagi?

WARTAWAN SINAR HARIAN SHAH ALAM – Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri didakwa masih belum 'selamat' lagi meskipun beliau sudah menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Kabinetnya.

Demikian kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin sambil menegaskan bahawa Najib hanya selamat jika beliau boleh memecat keahlian Muhyiddin dalam Umno seperti yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin
Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin

“Adakah Najib sanggup menanggung risiko selepas ini? Muhyiddin ada kuasa dan keupayaan khususnya untuk berjumpa bahagian demi bahagian, cawangan demi cawangan terutamanya ketika musim pemilihan sekarang ini.

“Ataupun Najib terpaksa mengambil tindakan drastik seperti mana yang diambil oleh Dr Mahathir pada 1998 apabila dia bukan saja menggugurkan Anwar, tapi dia memecat Anwar daripada kedudukan Timbalan Presiden Umno,” katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, Shaharuddin selaku Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) juga berkata, karier politik Muhyiddin bergantung kepada keupayaannya sendiri, sama ada hanya berdiam diri setelah dipecat ataupun terus bergerak mengumpul kekuatan untuk menjatuhkan Najib.

“Semua bergantung kepada dia, sama ada dia nak melawan ataupun mengambil tindakan yang agak agresif, (ketika itu) Muhyiddin kena bersedia hadapi risiko-risiko yang bakal dihadapi seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

“Jika Muhyiddin tidak buat begitu atau tidak melawan, maknanya Najib dengan sendirinya akan bebas atau tiada ancaman di situ. Apa pun semuanya bergantung kepada kekuatan Muhyiddin dengan kekuatan orang-orang yang berada di belakangnya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai peluang Muhyiddin untuk bertanding semula dengan tiket BN di kerusi Pagoh yang dimenangi pada PRU13 lalu, Shaharuddin bagaimanapun berkata, peluang Timbalan Presiden Umno itu agak tipis kerana Najib masih berkuasa.

“Peluang dia memang tak ada, selagi Najib ada di situ, melainkan kalau mereka berdamai, tapi saya tidak yakin pendamaian itu boleh berlaku.

“Bila Najib ambil tindakan sampai ke situ, maknanya sudah wujud perpecahan itu, tapi dia kena ingat, kalau Najib lakukan apa-apa kepada Muhyiddin pun, Muhyiddin ada kedudukannya sebagai ahli parlimen,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata lagi, Muhyiddin masih mempunyai keupayaan untuk terus menyerang serta menjatuhkan Najib kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu sebagai ahli parlimen dengan membuat undi tidak percaya pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

“Dia (Muhyiddin) boleh buat beberapa muslihat dari segi politik, ditambah sekarang ini kedudukan Umno BN sekarang ini bukannya kuat sangat. Dia juga boleh buat rundingan dengan sesiapa saja yang dia nak untuk menjatuhkan Najib.

“Dia masih pegang jawatan kedua tertinggi dalam Umno dan dia masih ahli parlimen yang mempunyai kuasa. Sekarang dia mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Najib, antara kuasa itu undi tidak percaya di Parlimen,” katanya lagi.

Keputusan bakal beri impak negatif, kata NGO‎

30 JULAI 2015 JOHOR BAHRU - Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau) Johor yakin keputusan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet akan beri impak negatif terhadap imej dan kredibiliti Perdana Menteri.

Presidennya, Mohd Ridwan Othman berkata, tindakan menggugurkan Ahli Parlimen Pagoh itu menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Rakyat  mahu tahu alasan sebenar pengguguran Muhyiddin, jika disebabkan kenyataan beliau berhubung skandal 1MDB, keputusan Perdana Menteri disifatkan tidak matang dan menyekat hak bersuara.
Muhyiddin Gugur
Muhyiddin

“Jika Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno pun tidak bersuara, inikan pula pandangan di peringkat akar umbi. Kita percaya tindakan ini semakin melemahkan kepercayaan rakyat terhadap Perdana Menteri.

“Rakyat sebelum ini masih belum jelas berhubung isu pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diikuti skandal 1MDB dan terkini isu rombakan Kabinet dan pengguguran Muhyiddin terus mendapat perhatian umum,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, rakyat semakin bijak menilai untuk menyatakan sokongan, justeru Najib dilihat membuat kesilapan dalam membuat keputusan menggugurkan Muhyiddin hanya disebabkan teguran dibuat.

“Sepatutnya Presiden Umno perlu bersifat terbuka dalam memulihkan kekuatan parti untuk mendapatkan semula sokongan rakyat dan bukannya menggugurkan pemimpin yang membawa suara rakyat’,” katanya.

Muhyiddin: Isu ‘sekapal’ dengan Tun M tak penting

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mahu mengambil tempoh untuk bertenang dan kembali rasional sebelum membuat sebarang keputusan.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti berjuang demi rakyat dan negara tercinta ini.

"Perkara ini baru saja saya hadapi. Jadi, bagilah saya sedikit masa dan ruang untuk saya betulkan balik kedudukan saya supaya saya bersikap rasional,  bertanggungjawab... penting untuk apa-apa yang saya lakukan pada masa-masa akan datang. Itu memerlukan saya mengambil sedikit masa...Apa yang perlu dibuat, dilaksanakan.
Muhyiddin
Sidang media bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abd Rahman di rumah kediamannya hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM oleh Sinar Harian

"Sebelum ini saya sudah melaksanakan apa yang saya fikir terbaik untuk parti baik dari segi mahu mengukuhkan perpaduan dalam parti, kukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan rakyat Malaysia (dan)melaksanakan segala dasar-dasar supaya rakyat akan terus menyokong kita.

"Jadi, hal-hal sebegini akan saya teruskan walaupun terbatas kerana saya tidak lagi menjawat jawatan TPM, ini tidak menjadi halangan atau kekangan untuk saya meneruskan," katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.

Menjawab soal perancangannya untuk menyertai perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau memberitahu perkara itu tidak begitu penting.

"Soal sama ada saya satu platform dengan Tun Mahathir Mohamad, bagi saya tidak begitu penting.

"Saya fikir bukan sahaja Tun Mahathir, rakyat pun mahu supaya kita (pemimpin) buat perkata yang difikirkan perlu untuk negara," katanya.

Namun katanya, pandangan Dr Mahathir perlu diberi perhatian dan barisan pemimpin perlu bersikap terbuka dalam hal itu.

"Apa pun pandangan seperti tokoh lama, bekas perdana menteri tidak boleh kita ketepikan. Beliau ada pandangan dan beliau masih lagi cergas untuk memberikan sumbangan.

"Bagi saya kita harus bersikap terbuka dan jangan memandang serong terhadap pandangan sesiapa pun termasuk Tun Mahathir asalkan niat dan tujuannya adalah untuk kebaikan negara," katanya.

Beliau yang hadir ke sidang media itu ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abd Rahman turut meluahkan bahawa apa yang menimpa dirinya itu tidak penting  sebaliknya negara, rakyat dan parti kini menjadi keutamaan beliau.

"Mengambil kira tugas dan tanggungjawab saya dalam parti, saya kata saya tidak harus memikirkan soal apa yang telah berlaku terhadap saya hingga ganggu tugas saya sebagai timbalan presiden parti.

Saya harus sedar, masalah yang penting bukan saya. Masalah yang penting adalah parti, masa depan rakyat.

"Jadi, kita tidak seharusnya terganggu dengan apa yang berlaku terhadap diri saya. Kerana saya nak tunjukkan bahawa walau saya berdepan ini semua, bagi saya yang penting adalah parti‎... masa depan negara. Jadi, saya akan laksanakan apa yang harus saya laksanakan. Saya tidak akan terganggu dengan apa yang berlaku  ke atas saya saat ini," katanya.

PKR sedia terima Harapan Baru

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
29 JULAI 2015 SHAH ALAM - PKR menyatakan kesediaannya untuk menerima usaha mana-mana kumpulan termasuk gerakan Harapan Baru yang ingin bergerak sebagai sebuah parti politik.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, pendirian tersebut jelas menunjukkan sikap keterbukaan parti itu selagi kumpulan terbabit boleh mendukung agenda reformasi yang menjadi teras penubuhan PKR.

"Kita boleh sama-sama dalam satu muafakat. Perkara ini akan terus berkembang. Sekarang kita ada tiga anggota (dalam PR) dan mungkin bertambah menjadi lima atau enam.

"Asalkan mereka boleh komited dengan agenda reformasi," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Invest Selangor, di sini hari ini.

Invest Selangor merupakan sebuah agensi kerajaan negeri yang menyediakan maklumat dan khidmat nasihat kepada bakal pelabur di Selangor.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa Harapan Baru sedang mengenal pasti sama ada untuk bergerak melalui Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) atau  Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai platform alternatif kepada Pas, Mohamed Azmin menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

Namun jelasnya, jika usaha gerakan itu wujud, polisi parti yang terlibat mestilah komited dengan prinsip yang diguna pakai Pakatan Rakyat sebagaimana yang dipersetujui oleh PKR dan DAP.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar Selangor itu menafikan khabar angin yang mendakwa beliau akan melakukan rombakan barisan Exco kerajaan negeriberikutan kemelut hubungan antara Pas dan DAP.

Mohamed Azmin enggan mengulas lanjut mengenainya; sekadar menjawab ringkas, "Tiada rombakan".

Baru-baru ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menyatakan parti itu bersedia menamatkan hubungan dengan PKR jika parti itu bersetuju menyertai DAP dan Harapan Baru untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang baharu. - Bernama

PM Belanda rayu Putin supaya tidak guna kuasa veto


REUTERS - GAMBAR fail 26 Julai memaparkan sepasang suami isteri duduk di atas serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat kampung Grabovo, timur Ukraine.


THE HAGUE – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte semalam merayu kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin supaya tidak menggunakan kuasa veto untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengadili mereka yang me­nembak jatuh Penerbangan Malaysia MH17 di Ukraine.
Pejabat Rutte menyatakan, beliau menelefon Putin menjelang sesi pengundian Ma­jlis Keselamatan di New York untuk meminta sokongannya berhubung penubuhan sebuah tribunal antarabangsa bagi membicarakan dalang yang menembak jatuh MH17.
Nahas Penerbangan Malaysia itu meragut 298 nyawa pada Julai tahun lalu.
“Secara jujur dan panjang lebar, Rutte membuat panggilan penting kepada Putin supaya beliau menjadikan kenyataan untuk membicarakan mereka yang mendalangi serangan ke atas MH17 di sebuah tribunal PBB,” menurut kenyataan dari pejabat Rutte.
Malaysia, Belanda, Australia, Ukraine dan Belgium meminta supaya tribunal antarabangsa itu diwujudkan, manakala Malaysia telah mengedarkan draf resolusinya untuk diundi semalam.
Rusia bertegas menentang penubuhan tribunal berkenaan dan akan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan untuk memba­talkannya.
Moscow sebaliknya mahu menunggu sehingga siasatan antarabangsa nahas tersebut yang diketuai Belanda selesai pada Oktober depan.
Penerbangan MH17 ditembak jatuh di kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine semasa pertempuran sengit dengan tentera Ukraine.
Ukraine dan Barat me­nuduh pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat 777-200 itu menggunakan peluru berpandu darat ke udara yang dibekalkan oleh Moscow.
Rusia sebaliknya me­nuduh tentera Ukraine bertanggungjawab melakukan sera­ngan itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3hK0UfYgZ 
Hakcipta terpelihara