Sunday, October 7, 2012

Penoreh rayu bantuan dua anak hidap kencing manis



NORDIN Bahari (kanan) bersama tiga orang anaknya, Fazila, Mohd. Azhar dan Nor Faizah masing-masing menghidap penyakit kencing manis di Kampung Caruk Damar, Sik, Kedah, semalam.
SIK 4 Okt. - Seorang penoreh getah, Nordin Bahari dari Kampung Caruk Damar di sini, merayu bantuan orang ramai menyara kos rawatan dan perubatan dua anaknya yang menghidap penyakit kencing manis.
Nordin, 58, berkata, pendapatannya yang tidak menentu dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tidak mampu menampung kos rawatan anaknya, Mohd. Azhar Nordin, 23, dan Fazila Nordin, 16.
"Saya cukup sedih kerana tidak mampu menyara kos itu dan kedua-duanya pula sekarang terdedah kepada risiko penyakit lain yang lebih teruk.
"Kaki sebelah kanan Mohd. Azhar mula membengkak dan sentiasa dibungkus dengan kain putih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nordin berkata, wang bantuan bulanan itu kini digunakan untuk membeli makanan anaknya dan tiada peruntukan untuk kos rawatan dan perubatan.
"Sekarang anak saya tidak berdaya melakukan sebarang kerja berat dan hanya duduk di rumah sahaja setiap hari, dulu dia ceria tetapi kini wajahnya selalu muram," katanya.
Menurutnya, dia mendapat kira-kira RM120 sebulan sebagai upah melakukan kerja menoreh getah berhampiran rumah, menebas hutan dan melakukan kerja-kerja kampung.
"Rumah yang saya duduki ini sudah usang tetapi tidak dapat dibaiki kerana wang diperoleh hanya sekadar kais pagi makan pagi.
"Dulu, ada juga buat permohonan supaya rumah kami dibaiki tetapi sampai sekarang belum ada apa-apa perkembangan," jelasnya.
Katanya, berat badan Fazila yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 8, Sik juga semakin susut akibat menghidap penyakit itu.
"Saya sekadar menasihatkan supaya dia belajar bersungguh-sungguh kerana walaupun menghidap penyakit itu, tetapi dia masih berpeluang belajar di sekolah bersama rakan-rakan seperti biasa," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan wang bagi meringankan bebanan keluarga itu boleh menderma menerusi Agro Bank milik Mohd. Azhar di nombor akaun 1005101000035815.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121005/wu_02/Penoreh-rayu-bantuan-dua-anak-hidap-kencing-manis#ixzz28bmFJNDm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment