Tuesday, October 2, 2012

Bapa derita bengkak hati rayu bantuan orang ramai


Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong (kanan) turut menziarahi keluarga Marzuki Hassan terlantar di rumahnya dekat Taman Tualang Indah, Temerloh, baru-baru ini.
TEMERLOH 30 Sept. - Seorang bapa kepada lima anak, Marzuki Hassan 42, yang kini terlantar akibat mengalami komplikasi bengkak hati dan usus merayu bantuan orang ramai meringankan bebanan hidup keluarganya yang kini dihimpit masalah kewangan.
Marzuki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori berhadapan tugas sukar selepas tidak mampu bekerja bagi menyara kehidupan harian termasuk perbelanjaan persekolahan lima anaknya.
Dia bersama keluarga yang menyewa sebuah rumah di Taman Tualang Indah di sini, hilang punca pendapatan akibat tidak lagi mampu melakukan kerja berat dan kini hanya terlantar di rumahnya akibat bengkak hati kira-kira dua bulan lalu.
"Saya juga tidak dapat duduk kerana sukar bernafas, kini keadaan paling selesa untuk saya ialah berbaring," katanya semasa ditemui di rumahnya dekat sini baru-baru ini.
Isterinya, Nor Jannah Jamaludin, 37, memberitahu, lima anaknya yang masih bersekolah kini menggunakan duit belanja setakat yang ada sahaja.
"Selepas suami disahkan doktor mengalami bengkak hati, saya buntu untuk mencari nafkah kerana saya sebelum ini tidak pernah bekerja serta tidak tahu mencari sumber pendapatan lain.
"Bukan tidak berusaha mencari tetapi masalahnya dalam keadaan sekarang saya terpaksa menjaga makan minum suami yang terlantar selain terpaksa menguruskan persekolahan anak-anak," katanya.
Menurutnya, selepas membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini, suaminya kemudian di masuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Katanya, suaminya kemudian dirujuk semula ke Hoshas dan doktor mengesahkan dia mengalami bengkak hati dan luka usus.
"Kami juga turut gunakan pelbagai ikhtiar termasuk menggunakan rawatan tradisional dan perubatan alternatif. Lebih menyedihkan, anak kedua, Muhammmad Syafiq yang sepatutnya belajar di tingkatan empat di Sekolah Menengah Seri Semantan kini terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai kelindan lori treler bagi membantu menambah sumber kewangan kami sekeluarga," katanya.
Kata Nor Jannah, sesiapa yang ingin membantu terutama membabitkan bantuan persekolahan lima anaknya boleh menghubunginya 017-9237040 atau melalui akaun Maybank 164182413600.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121001/wp_04/Bapa-derita-bengkak-hati-rayu-bantuan-orang-ramai#ixzz289et6gHl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment