SENDAI (Jepun): Paras radiasi dalam air laut di sekitar loji nuklear Fukushima naik sepuluh kali ganda dalam beberapa hari sahaja, sedang para pekerja bertungkus lumus cuba menstabilkan kemudahan nuklear yang rosak setelah dilanda tsunami itu.
Seseorang boleh terdedah kepada radiasi yang biasanya diperolehi dalam tempoh setahun, hanya dengan meminum cuma setengah liter air tawar yang dicemari paras radiasi sebanyak itu, kata seorang pegawai. Bagaimanapun, menurutnya, tiada ancaman segera ke atas hidup-hidupan laut dan keselamatan makanan laut.Paras iodin-131 di Lautan Pasifik berhampiran loji Fukushima itu semalam dikatakan 1,250 kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan. Ini berbanding 126 kali lebih tinggi Selasa lalu, dan 145 kali lebih tinggi pada Khamis lalu.'Paras ini agak tinggi,' kata pegawai agensi keselamatan nuklear, Encik Hidehiko Nishiyama, dalam sidang akhbar mengenai hasil ujian ke atas air laut itu yang dikeluarkan kelmarin oleh Tokyo Electric Power Company (Tepco).Kata Encik Nishiyama: 'Secara umumnya, bahan beradioaktif yang mengalir ke laut akan tersebar dengan pasang surutnya air. Paras yang lebih tinggi daripada itu diperlukan untuk membolehkannya diserap rumpai laut dan hidupan laut lain.'Beliau juga berkata, oleh kerana iodin-131 ada setengah hayat (masa diperlukan untuk kepekatan bahan tindak balas menjadi setengah nilai asalnya) lapan hari, 'apabila makanan laut itu akhirnya dimakan manusia, paras kimia itu sudah pun berkurang.'Walau bagaimanapun, Tepco juga berkata paras sesium-137, yang setengah hayatnya sekitar 30 tahun, adalah 79.6 kali had dibenarkan.Jaminan-jaminan itu tidak dapat meredakan kemuraman yang menyelubungi Jepun sejak satu gempa bumi sekuat 9.0 di skala Richter melanda negara itu pada 11 Mac lalu yang menimbulkan satu tsunami yang meranapkan pantai timur laut negara tersebut.Gelombang raksasa itu telah melanggar benteng-benteng yang dibina sepanjang pantai dan menghanyutkan rumah-rumah, kenderaan laut dan darat serta ribuan penduduk.Semalam, angka korban yang disahkan mencecah 10,151. Harapan menemui semula 17,053 orang yang dianggap hilang semakin menipis.Gelombang besar itu juga telah merosakkan sistem penyejukan bagi keenam-enam reaktor di loji Fukushima. Tiga reaktor itu disyaki telah lebur sebahagiannya ekoran letupan gas hidrogen dan kebakaran lain.Kereta bomba telah menyiram beribu-ribu tan air laut ke atas kemudahan itu untuk menghalang batang bahan api di dalam teras reaktor itu serta kolam penyimpan bahan api yang telah digunakan, daripada menjadi kering dan menyebabkan peleburan sepenuhnya.Iodin, sesium dan kobalt beradioaktif di dalam air di bangunan turbin di reaktor No 1 dan No 3 kini 10,000 kali ganda di atas paras normal. Ini mencetuskan kebimbangan, bekas reaktor atau injap dan paipnya telah bocor. Oleh kerana bimbang garam dalam air laut boleh terkumpul dalam loji itu dan menyebabkan hakisan, air tawar pula mula digunakan.Dua baj tentera Amerika Syarikat kini menuju loji itu dari pangkalan tentera laut dekat Tokyo, bagi membantu membekalkan air tawar kepada loji itu. -- AFP.
No comments:
Post a Comment