Wednesday, March 30, 2011

Gaji dan elaun ketua pegawai eksekutif Tabung Haji RM82,000 sebulan



KUALA LUMPUR 28 Mac - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa gaji dan elaun yang diperolehi Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji adalah RM82,000 sebulan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ekoran daripada soalannya ketika sesi perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempunyai satu garis panduan supaya gaji yang dibayar kepada peneraju-peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) sama ada ketua pegawai eksekutif atau pegawai-pegawai kanan adalah pada kadar yang munasabah dan bukannya dengan jumlah terlalu tinggi.
"Gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun tidak setinggi seperti mana ketua pegawai eksekutif terbabit sedangkan tanggungjawab mereka lebih besar kerana terpaksa menguruskan sebuah negara.
"Berbanding dengan tanggungjawab seorang ketua pegawai eksekutif bagi sebuah GLC mereka hanya menguruskan sebuah syarikat. Tambahan pula mereka dibantu ramai kakitangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Ibrahim turut mempersoalkan kewajaran mereka mendapat imbuhan sebegitu besar walaupun hanya setakat menguruskan sebuah syarikat.
Beliau berkata, sebagai seorang ketua pegawai eksekutif sepatutnya mereka hanya berhak mendapat satu gaji serta satu elaun sahaja.
"Ini tidak, bila memegang jawatan ketua pegawai eksekutif sebagai contoh, di Tabung Haji, beliau juga akan menjadi pengerusi anak syarikat serta pengarah anak-anak syarikat yang lain.
"Beliau sepatutnya tidak layak menerima elaun tambahan tetapi cukup hanya satu gaji dan elaun sahaja," katanya.

Ladang 'setinggan' warga asing



Oleh Samadi Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/03/30

RUMAH warga asing di Kampung Bukit Damar Sepang.
RUMAH warga asing di Kampung Bukit Damar Sepang.
Penduduk Kampung Bukit Damar, Bukit Baja bimbang terdedah risiko jenayah 

SEPANG: Lebih 1,000 penduduk Kampung Bukit Damar dan Orang Asli Bukit Baja dekat sini bimbang dengan kebanjiran warga asing yang semakin ramai tinggal di kampung itu sejak tujuh tahun lalu.
Jumlah mereka yang semakin bertambah secara mendadak hampir mencecah lebih 2,000 orang itu menyebabkan penduduk tempatan terdedah terhadap risiko jenayah yang dilakukan oleh mereka.
Warga asing itu daripada Indonesia, Nepal, Bangladesh, Vietnam, India dan China yang kebanyakan mereka bekerja sebagai pencuci bangunan dan buruh di tapak pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Cyberjaya dan Putrajaya. 

Difahamkan, penempatan warga asing itu disewakan oleh pemilik ladang berkenaan kepada individu tertentu sejak tujuh tahun lalu berdasarkan lokasinya yang tersorok dan terlindung daripada pandangan luar. 

Lebih membimbangkan, kebanjiran warga asing itu menimbulkan rasa kurang selesa dari segi ketenteraman dan kedamaian selain sering dikaitkan dengan peningkatan kes jenayah seperti samun, judi dan mengotorkan kawasan kampung. 

Tinjauan Sentral mendapati warga asing itu tinggal dalam kontena dan rumah kongsi yang dibina pihak terbabit yang dilengkapi bekalan air dan elektrik. 
Lebih membimbangkan, kawasan ladang kelapa sawit itu kini menjadi 'setinggan' warga asing apabila mereka membina pondok kecil dan membuang sampah merata tempat berhampiran tempat tinggal mereka. 

Penduduk, Atoi Mohd, 26, berkata kedatangan warga asing beberapa tahun lalu di kampungnya makin menjadi-jadi kebelakangan ini. 

Atoi berkata, apa yang dikesalkan ialah kebanyakan mereka seolah-olah ingin terus bermastautin di kampung itu dan bilangan mereka semakin bertambah dari semasa ke semasa. 

Pekerja kontrak, Khairul Zamri, 30, pula memberitahu, beliau rimas dengan segelintir warga asing yang sering mengotorkan kawasan kampung itu dengan membuang sampah sesuka hati. 

Khairul berkata, penduduk tempatan juga bimbang mengenai tahap keselamatan mereka berikutan ada beberapa kes samun yang kerap berlaku kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui jalan kampung itu pada waktu malam. 

Kegelisahan berhubungan isu warga asing itu turut disuarakan oleh peniaga, Zainal Mat Ali, 54, yang menyifatkan penduduk setempat kini ibarat menumpang di tanah sendiri. 

“Hampir 80 peratus penduduk di kampung itu adalah warga asing, manakala bakinya Orang Asli. 

"Keadaan itu mencemarkan nama baik kampung tetapi dan menggugat keselamatan penduduk dan kami tidak berani menegur kerana mereka ramai," katanya. 

Perangkap maut



Oleh Mahani Ishak
bhjb@bharian.com.my
2011/03/30

 PENDUDUK menunjukkan takungan air dikeringkan pemilik tanah persendirian selepas sehari murid Tahun Enam  mati lemas.
PENDUDUK menunjukkan takungan air dikeringkan pemilik tanah persendirian selepas sehari murid Tahun Enam mati lemas.
Penduduk sekitar Kangkar Pulai gesa tingkat ciri keselamatan kolam terbiar 

JOHOR BAHRU: Selepas nyawa seorang murid Tahun Enam menjadi korban sebuah kolam terbiar di Kangkar Pulai, tuntutan kira-kira 1,000 penduduk sekitar situ yang mahu kolam yang menjadi 'perangkap maut' dekat rumah mereka dikeringkan, menjadi kenyataan.
Usaha mengeringkan kolam terbiar yang sering menjadi lokasi kanak-kanak untuk mandi-manda serta memancing, selain menjadi tempat lepak dan ponteng sekolah itu, dilakukan oleh pemiliknya.
Walaupun kolam itu dikeringkan, isu keselamatan di situ masih belum berakhir kerana penduduk mahu supaya pemilik kawasan terbabit memasang pagar atau menempatkan pengawal keselamatan bagi mengelak ia terus diceroboh, kerana masih ada beberapa kolam terbiar yang belum dikeringkan. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai, Mohd Zaini Saimon, berkata tindakan mengeringkan air kolam terbabit perlu disusuli dengan pemasangan pagar. 

“Meskipun air sudah dikeringkan, keadaan di sini tetap bahaya kerana tanahnya jerlus. Kami masih bimbang jika ada kanak-kanak tertarik untuk mencari ikan pula di kawasan berlumpur tebal di sini kerana boleh menjadi perangkap maut. 

“Kawasan ini pernah menjadi lombong pasir tetapi sudah dihentikan operasi sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan lebih 10 kolam terbentuk di kawasan ini dan kini terbiar,” katanya. 
Dalam kejadian Ahad lalu, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam kolam terbabit ketika mandi bersama beberapa rakan di situ. 

Mayat mangsa, Mohd Farriz Saparman, 12, dari Taman Pulai Bestari, di sini ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 5.55 petang Ahad. 

Mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam kolam itu pada tengah hari Sabtu selepas keluar bermain basikal bersama dua rakannya. 

Dua rakan sebayanya yang ketakutan selepas melihat Mohd Farriz lemas, dipercayai bertindak menyembunyikan kejadian itu sehingga keluarga mangsa mula mencari sebelum menemui basikalnya tidak jauh dari kolam yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya. 

Operator pengeluaran yang juga pemancing, Mohd Shahril Buang, 47, berkata kolam terbiar di situ sering menjadi tumpuan kanak-kanak bermain air serta menarik kehadiran kaki pancing kerana banyak ikan talapia yang membiak di situ. 

“Saya dan rakan selalu ke sini untuk memancing sejak beberapa tahun lalu kerana kawasan ini banyak ikan. Kawasan ini juga sering menjadi tempat pelajar ponteng sekolah dan sebahagian mereka turut mandi dan mengambil risiko berenang hingga ke tengah kolam,” katanya. 

Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPBJT), Fakhrul Anwar Ramli, berkata beliau akan mengemukakan isu kolam terbiar di kawasan itu kepada Yang Dipertua MPBJT bagi mengambil tindakan segera. 

“Selepas meninjau kawasan ini, langkah segera patut diambil termasuk mengarahkan pemilik memasang pagar tinggi dan meletakkan notis amaran bahaya supaya kejadian lemas tidak berulang. 

“Pada masa sama, kita minta ibu bapa menjaga keselamatan anak masing-masing supaya mereka tidak dibiarkan bermain tanpa pengawasan orang dewasa kerana kawasan pasir jerlus ini mungkin mengundang lebih banyak bahaya,” katanya selepas menziarahi bapa mangsa, Saparman Sahali, 43, dan isterinya Sri Mahani Marwan, 34 di rumah mereka di Taman Pulai Bestari. 

Wanita tak lokek temu janji pertama





2011/03/30

LONDON: Lebih separuh daripada wanita di Britain mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk membayar harga makanan sendiri ketika temujanji pertama, walaupun lelaki sedia membayarnya, menurut tinjauan, kelmarin. 

Tinjauan bank online First Direct dalam isu itu membabitkan 1,924 dewasa mendapati 58 peratus wanita menjangka bil dibayar secara berasingan pada temujanji pertama, manakala 29 peratus lelaki sependapat dengan cara itu.
Selain itu, 14 peratus wanita berpendapat, orang yang mencadangkan temu janji itu sepatutnya membayar bil.
Hanya suku wanita berpendapat lelaki sepatutnya membayar untuk temu janji pertama, sementara tiga peratus mengatakan mereka sendiri perlu membayarnya. 

Ini bermaksud, wanita berasakan mereka tidak sepatutnya terhutang budi terhadap lelaki, namun lelaki terbabit perlu membayar sendiri bahagian mereka. 

Responden lelaki sebaliknya percaya sifat bertimbang rasa masih wujud dengan 55 peratus sedia membayar bil sepenuhnya pada temu janji pertama dan membelanjakan purata £65 (RM315.45) pada temu janji pertama berbanding wanita yang mengeluarkan £50 (RM242.66). – Reuters 

Diplomat mak nyah sedia letak jawatan





2011/03/30

BANDAR RAYA PANAMA: Seorang diplomat Panama yang memakai gaun renda bersama sebiji pisang di dadanya umpama mak nyah ketika mengambil bahagian dalam karnival di Sepanyol menawar untuk meletak jawatan selepas perlakuannya mencetuskan kritikan. 

Italo Afu, konsul Panama di Pulau Canary Sepanyol kelmarin memohon berbanyak maaf.
“Tidak bolehkah beliau berpakaian seperti lanun atau kelasi malah Donald Duck,” kata Menteri Luar, Juan Carlos Varela. – AFP

Jackie Chan dilapor mati





2011/03/30

NEW DELHI: Aktor terkenal Hong Kong, Jackie Chan, menjadi mangsa terbaru penipuan kematian menerusi Twitter apabila dilaporkan meninggal dunia kerana serangan jantung. 

‘RIP Jackie Chan’ antara topik paling popular dalam perbualan menerusi Twitter dan Google, semalam.
Semuanya berpunca daripada laporan palsu yang difail menggunakan artikel Cable News Network (CNN) yang juga dipalsukan pemilik blog bernama Skiphopz sekali gus mencetus khabar angin kematian pelakon berusia 56 tahun itu.
Malah, ia juga menggunakan ulasan Presiden Barack Obama memberi penghormatan terakhir kepada aktor itu. 

“Jackie Chan berbakat besar dan mengingatkan kita mengenai kekuatan sifat kemanusiaan. Beliau akan kekal di hati kita, memberi inspirasi kepada generasi akan datang.” 

Artikel itu dibuat menggunakan perkhidmatan tanpa nama percuma secara online, membenarkan pengguna mencatat kod HTML code dan mencipta semula sebuah laman web tanpa identiti. 

Apapun, pelakon aksi terkenal itu nyata masih hidup dan bakal menemui peminat menerusi filem 1911 lewat tahun ini. – Agensi 

Tuesday, March 29, 2011

Video Lucah:Surat Terbuka Kepada Ketua Polis Negara at Anwar Ibrahim


Mat Zain bin Ibrahim,
SAC II G/5776(Retired),
Email:matzainibrahim@gmail.com
Kepada,
YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar,IGP,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur.
Email:iho@rmp.gov.com
28hb.March 2010
YDH Tan Sri,
PENYIASATAN KES VIDEO LUCAH DAN KESUDAHANNYA :-
MAKLUMAT HUBUNGAN LAMPAU DIANTARA TIGA TAN SRI IAITU, GHANI PATAIL , MUSA HASSAN DAN RAHIM THAMBI CHIK.
Semoga Tan Sri tenang dan tabah menangani cabaran mendatang.
2. Saya percaya Tan Sri sedar video lucah mana yang saya maksudkan.Saya yakin sepenuhnya bahawa PDRM mampu menjalankan tanggung jawabnya menjalankan siasatan tersebut secara professional dan berkecuali dan tidak terpengaruh dengan tekanan mana-mana pihak sekalipun, lebih-lebih lagi dibawah pimpinan Tan Sri ketika ini.
2.1. Namun begitu kertas siasatan ini kelak akan diteliti dan diputuskan olih Gani Patail,Peguam Negara.Diperingkat inilah dijangka akan berlaku,putar belit,manipulasi,penipuan dan pemalsuan apabila sedar akan caramana Gani Patail dan Musa Hassan menangani penyiasatan kes-kes jenayah apabila melibatkan Anwar Ibrahim(Anwar) dan Rahim Thambi Chik (Rahim) dimasa lampau.
2.2. Tidak syak lagi isu video ini adalah satu lagi “pertembungan” diantara Anwar dan Rahim.Adalah dipercayai juga motif pendedahannya,tidak kira samada video tersebut adalah tulen atau direkacipta,adalah terbit daripada dendam lama Rahim terhadap Anwar atas isu peribadi atau politik diantara mereka berdua.
LAPORAN POLIS ANWAR YANG MEMBABITKAN RAHIM.
3. Diantara 9 July 1999 hingga 20 Ogos 1999,Anwar telah membuat sejumlah empat(4) laporan Polis, mendedahkan perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin Politik dan Kerajaan.Dalam laporan-laporan berkenaan Anwar turut mendakwa dan menamakan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir,Peguam Negara Allahyarham Mohtar Abdullah dan Gani Patail,ketika itu DPP Kanan,sebagai orang-orang yang telah menyalahgunakan kuasa dan menutup kes-kes rasuah tersebut.
3.1. Pertembungan lampau antara Rahim dan Anwar adalah apabila salah satu diantara laporan tersebut iaitu Tun H.S.Lee report 22517/99 bertarikh 20.8.1999 yang dibuat olih Anwar melibatkan Rahim.Dalam laporan ini Anwar juga mendakwa Tun Mahathir,Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sebagai telah menyalahgunakan kuasa mereka melindungi perbuatan rasuah Rahim serta menutup siasatan dan tidak mengenakan sebarang pendakwaan terhadap beliau.
3.2. Bersekali dengan report tersebut, Anwar telah menyertakan satu set salinan laporan siasatan Badan Pencegah Rasuah(BPR)terhadap Rahim yang disahkan oleh Bahagian Pendakwaan,Jabatan Peguam Negara dan ditanda tangani oleh Gani Patail yang mengkelaskan dokumen tersebut sebagai RAHSIA.Dokumen-dokumen ini dikatakan diberi kepada Anwar oleh Peguam Negara dan/atau Gani Patail ketika Anwar masih Timbalan Perdana Menteri.
4. Untuk makluman Tan Sri,secara kebetulan, saya yang menangani keempat-empat laporan yang Anwar buat itu termasuk laporan melibatkan Rahim atas sifat saya sebagai Ketua Jabatan Sisasatan Jenayah(KJSJ) Kuala Lumpur ketika itu.Saya perhatikan juga amaun rasuah melibatkan Rahim adalah antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan laporan-laporan lain.Jumlah terlibat lebih kurang RM40 juta(Empat puloh juta Ringgit sahaja) atau angka yang lebih tepat ialah RM 39,782,772.60 sen. Amaun ini dikatakan diperolehi olih Rahim menerusi salahguna kuasa dan kegiatan rasuah setakat yang dapat dikesan menerusi siasatan terperinci BPR dan disahkan olih Gani Patail.
4.1. Sebagai rekod Tan Sri,amaun terbesar yang disebutkan dalam salah satu laporan Anwar itu, melibatkan seorang pemimpin yang dikatakan telah memperolehi harta berjumlah dalam lingkungan RM 370 juta.(tiga ratus tujoh puloh juta Ringgit) dalam bentuk RM 220 juta tunai dan RM150 juta dalam bentuk saham,menerusi jalan rasuah.
5. Wajar saya jelaskan disini bahawa terdapat perbezaan pendapat antara KJSJ Kuala Lumpur dengan Jabatan Peguam Negara mengenai cara pendekatan menangani laporan-laporan Anwar tersebut.Jabatan Peguam Negara menasihatkan supaya laporan-laporan tersebut diklasifikasikan di-bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 sahaja.Manakala KJSJ berpendapat klasifikasi ini tidak sepadan dengan laporan dan keterangan yang pengadu kemukakan serta mencadangkan kesemua laporan berkenaan diklasifikasikan dibawah Seksyen 2(1)Emergency(Essential Powers)Ordinance 2,1970 berkaitan kesalahan salahguna kuasa. Cadangan bertulis KJSJ terdapat dalam fail rujukkan (PR)35/26 bertarikh 25.8.1999.Siasatan dibawah Seksyen ini dijangka akan membabitkan rakaman keterangan daripada Tun Mahathir,Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sendiri serta lain-lain kenamaan.
5.1. Bagaimanapun pada 28.8.1999 saya telah menerima satu surat daripada Jabatan Peguam Negara Rujukan PRM(WP)5/99 SULIT(5) yang dialamatkan kepada saya persendirian,memaklumkan secara spesifik bahawa laporan yang Anwar buat melibatkan Rahim, akan disiasat oleh Musa Hassan setelah kononya Gani Patail membuat laporan terhadap Anwar pula kerana kesalahan di-bawah Akta Rahsia Rasmi.
5.1.2. Apa yang berlaku ialah, Gani Patail dengan kemudahan yang diberi oleh Musa Hassan telah menterbalikkan kedudukkan laporan Anwar yang melibatkan Rahim untuk menyebabkan Anwar pula disiasat dibawah Akta Rahsia Rasmi.Lebih mudah untuk saya menyatakan laporan melibatkan Rahim itu telah di”hijacked” oleh Musa Hassan daripada tangan KJSJ Kuala Lumpur.
5.1.3. Saya tidak pernah melihat laporan Polis yang kononya dibuat oleh Gani Patail itu ataupun kertas siasatan yang kononnya dibuat oleh Musa Hassan.Belum pernah juga berlaku Jabatan Peguam Negara pula yang memilih Pagawai Penyiasat yang mereka berkenan menyiasat sesuatu laporan polis.
5.2. Bagi mengelakkan sebarang keraguan berkaitan peristiwa diatas,saya sertakan buat pertama kalinya salinan surat Jabatan Peguam Negara bertarikh 28.8.1999 yang saya maksudkan.Walaupun ringkas, surat ini dengan jelas menunjukkan posisi Gani Patail,Musa Hassan dan saya berkaitan siasatan laporan Anwar yang melibatkan Rahim.
5.3. Secara kebetulan saya telah melaporkan perkara ini ketika Tan Sri masih Timbalan Ketua Polis Negara lagi, menerusi surat saya bertarikh 6.5.2010 dengan salinannya kepada YB Menteri Dalam Negeri.
6. Perbandingan yang boleh dibuat disini ialah apabila menangani siasatan terhadap Anwar, Gani Patail dan Musa Hassan sanggup melakukan apa sahaja antaranya memaksa pakar Kerajaan membuat beberapa laporan palsu, mengujudkan keterangan DNA palsu,menipu dan melakukan tindakan-tindakan melampaui batasan undang-undang dan lojik untuk mensabitkan kesalahan terhadap Anwar.
6.1. Sebaliknya apabila menangani siasatan berkaitan Rahim pula, Gani Patail dan Musa Hassan, sanggup melakukan apa sahaja antaranya, menterbalikkan fakta dan memutarbelitkan keterangan untuk membersihkan Rahim daripada sebarang salah laku jenayah sambil meletakkan kesalahan terhadap pengadunya pula.
6.2. Walaupun Musa Hassan telah bersara namun Gani Patail masih berkuasa sebagai Peguam Negara.Apabila siasatan mengenai video lucah ini sampai ketangan Jabatan Peguam Negara kelak,kita boleh menjangka pendirian Gani Patail, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira isu video lucah ini juga adalah pertembungan antara Rahim dan Anwar.
6.3. Sekadar makluman Tan Sri juga,Dr.Abdul Rahman Yusof,Pakar Forensic HKL,yang telah digunakan oleh Gani Patail untuk menyediakan 3 laporan palsu dalam siasatan kes Mata-Lebam, adalah juga Pakar Forensic yang sama terlibat dalam membuat pemeriksaan fisikal Rahim, dalam kes seksual dengan gadis bawah umor berkaitan.Kebetulan juga saya pernah menjadi KJSJ Melaka sebelum Kuala Lumpur dan tidak munasabah jika saya tidak meneliti kertas siasatan kes Rahim itu, walaupun saya bukan Pegawai Penyiasatnya.Mungkin ini semua adalah “the long arm of coincidences” sahaja.
7. Mengenai kes rasuah terhadap Rahim pula,BPR dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan dalam laporan mereka bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes “prima facie” terhadap beliau.Malahan Jabatan Peguam Negara telah menyediakan empat (4)pertuduhan kesemuanya. Iaitu;3(tiga) pertuduhan dibawah Emergency(Essential Powers)Ordinance No:22 of 1970 dan satu pertuduhan kerana membuat Statutory Declaration (SD) palsu dibawah Sek.199 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.
7.1. Bagaimanapun Rahim tidak dituduh langsung,setelah Peguam Negara “indemnify” segala kesalahan jenayahnya setelah Rahim dipercayai bersetuju untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan,Badan-Badan Berkanun dan Parti Politik.Ini adalah apa yang terdapat didalam laporan yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara sendiri.
7.2. Tidak ada sebutan mengenai cara pelupusan harta berjumlah hampir RM40 juta yang Rahim perolehi secara rasuah itu..Tiada maklumat mengenai persetujuan yang dicapai oleh Rahim dan Peguam Negara berkaitan harta yang diperolehi sedemikian itu dalam bentuk:RM 5,439,796.40 sen dalam kawalan peribadi Rahim sendiri,RM14,487,420.50 sen simpanan tunai dalam beberapa buah bank dan RM19,855,555.70 sen harta Syarikat-Syarikat.
7.3. Persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah adakah Peguam Negara mempunyai kuasa untuk “indemnify” kesalahan jenayah mana-mana orang berdasarkan pertimbangan Politik?. Adakah Peguam Negara berhak melepaskan wang Rakyat RM 40 juta sebegitu mudah untuk Rahim menikmatinya tanpa sebarang tindakan.Adakah ini sesuatu yang adil kepada Rakyat sedangkan Peguam Negara yang telah mengesahkan bahawa Rahim memperolehi harta sedemikian banyak menerusi salahguna kuasa dan rasuah.Apa yang jelas dalam kes Rahim ini,,Peguam Negara juga telah menyalahgunakan kuasanya.
8. Saya ingin Tan Sri maklum,bahawa secara peribadi saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Rahim.Malahan saya tidak pernah mengenali beliau,sekalipun untuk berjabat salam dengannya seumor hidup.Saya sendiri tidak sangka yang beliau akan muncul sebagai salah seorang dibelakang tayangan video lucah berkenaan.Keterangan-keterangan yang dikemukakan dalam laporan ini adalah berdasarkan pengalaman,pengetahuan peribadi serta dokumen-dokumen berkaitan, ketika saya menangani kes membabitkan beliau.
8.1. Isu yang sering saya bawa sehingga keperingkat YAB Perdana Menteri secara persendirian, ialah bekenaan dengan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan yang bukan sahaja telah menjejaskan maruah PDRM dan saya secara peribadi malahan mereka mengkucar-kacirkan Sistem Keadilan Jenayah kita.Saya tidak ralat mendedahkannya memandangkan saya telah menasihatkan mereka berdua tahun 1998 bahawa sebarang pemalsuan dan penganiayaan akan terbongkar suatu hari nanti.Salahlaku jenayah mereka bukan setakat dalam siasatan kes mata-lebam sahaja.Saya yakin Tan Sri dan Timbalan Ketua Polis Negara maklum akan pendirian saya berkaitan perkara ini.
9. Walaubagaimanapun isu video lucah ini sedang dalam siasatan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenainya.Diharap maklumat yang saya sampaikan ini berfaedah untuk membantu Tan Sri memberikan pendengaran yang adil kepada semua pihak terlibat.Apapun saya berharap Tan Sri tidak akan merelakan PDRM diperlakukan sesuka hati Peguam Negara seperti yang berlaku selama beberapa tahun sebelum Tan Sri.
Selamat sejahtera dan selamat maju jaya.
Yang ikhlas,
Mat Zain Ibrahim
28 March 201
1
Video Lucah:Surat Terbuka Kepada Ketua Polis Negara at Anwar Ibrahim

Komik lucah Anwar mula diedarkan




Belum pun reda isu skandal seks, timbul pula isu baru apabila komik lucah yang menggambarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan aksi-aksi yang kurang sopan turut diedarkan dikalangan pengundi muda.

Komik tersebut dikatakan mula diterima oleh pengundi kawasan Parlimen Lembah Pantai melalui pos sejak semalam.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar semasa  sidang media di lobi Parlimen hari ini.

 Pada jam 3.38 petang tadi, satu laporan polis tentang komik lucah tersebut telah dibuat oleh Nurul Izzah di Balai Polis Dang Wangi dalam usaha  menolak politik lucah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Boustead ambil alih pegangan MHS Aviation



Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/03/29

pix_gal0
Pengambilalihan 51 peratus kepentingan pada harga RM100j 

LANGKAH Boustead Holdings Bhd mengambil alih pegangan majoriti dalam syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan helikopter, MHS Aviation Bhd menyediakannya potensi lebih besar untuk memperoleh projek dalam aktiviti pembangunan telaga minyak kecil dan laut dalam di dalam negara serta serantau.
Pengambilalihan membabitkan 51 peratus kepentingan pada harga RM100 juta yang diselesaikan semalam itu, selain meningkatkan keuntungan konglomerat itu dalam jangka panjang juga dijangka membantu mengembangkan lagi sumbangan sektor berasaskan minyak dan gas kepada pendapatannya mulai tahun ini.
Boustead adalah sebuah kumpulan yang mempunyai kepentingan besar dalam pelbagai sektor ekonomi di Malaysia dengan operasinya bertumpu kepada enam bidang utama iaitu perladangan, industri berat, hartanah, kewangan dan pelaburan, perdagangan serta pembuatan dan perkhidmatan. 

MHS Aviation pula yang memulakan operasi pada 1983 adalah penyedia perkhidmatan pengangkutan helikopter, perkhidmatan perubatan kecemasan serta kerja mencari dan menyelamat bagi industri minyak dan gas Malaysia. 

Ia turut menawarkan kemudahan sewa pesawat bagi helikopter dan kapal terbang serta latihan penerbangan dan perkhidmatan kejuruteraan serta teknikal. 

Timbalan Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata pengambilalihan itu adalah bersinergi dan tepat pada masanya ekoran potensi peningkatan sektor minyak dan gas, khususnya pada separuh kedua tahun ini. 
“Kami yakin pembelian itu akan memberikan sumbangan positif kepada keuntungan kumpulan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, lebih-lebih lagi dengan reputasi MHS yang mantap serta menjadi perintis dalam perkhidmatan helikopter bagi sektor minyak dan gas pesisir pantai di Malaysia,” katanya kepada media selepas memeterai perjanjian jual beli dengan Pengerusi dan Ketua Eksekutif MHS, Ma’som Mahadi, di Kuala Lumpur, semalam. 

Pada majlis itu, MHS turut memeterai perjanjian dengan Eurocopter Malaysia Sdn Bhd bersempena penyerahan unit pertama helikopter EC225 dari lima unit yang dibelinya dengan baki empat unit lagi akan diterimanya secara berperingkat dalam beberapa tahun lagi. 

Sektor minyak dan gas kini menjadi antara antara bidang yang diberikan perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha menambah jumlah simpanan minyak negara. 

PETRONAS pada Januari lalu mengumumkan cadangan untuk mula memberikan kontrak bagi pembangunan telaga minyak kecil tahun ini yang mana ia dijangka membantu membangunkan lagi syarikat penyediaan perkhidmatan industri minyak dan gas tempatan. 

MHS Aviation baru-baru ini diberikan kontrak oleh Petronas Cari Gali Sdn Bhd serta kontrak sah lain yang kesemuanya menjangkau tempoh lebih 10 tahun dengan nilai kira-kira RM3.1 bilion. 

Kesilapan bacaan radiasi dikecam





OSAKA - Jurucakap utama kerajaan Jepun menyelar pengendali di Loji Nuklear Fukushima Daiichi kerana memberikan maklumat bacaan radiasi yang salah dan menggelarnya sebagai kesilapan tidak sengaja yang tidak boleh diterima, semalam.

Terdahulu, Syarikat Bekalan Kuasa Elektrik Tokyo (Tepco) melaporkan kesan radioaktif di dalam air di Reaktor No.2 di loji itu mengandungi kadar radiasi 10 juta kali ganda lebih tinggi dari biasa sebelum bacaan sebenar, 100,000 kali ganda, dikeluarkan tidak lama selepas itu.

Yuki Edano berkata, memandangkan pemantauan kadar radiasi adalah perkara paling utam:a untuk memastikan tahap keselamatan orang ramai, kesalahan seperti itu sememangnya langsung tidak sepatutnya berlaku.

"Kerajaan telah memberi amaran kepada Tepco supaya tidak mengulangi kesilapan sama," menurutnya lagi.

Bagaimanapun, dia memahami pekerja di tapak loji itu mungkin keletihan kerana terus berusaha tanpa henti memastikan tidak berlaku kebocoran radiasi yang akan mencetuskan krisis nuklear di loji tersebut.

Kadar radiasi dalam air di Reaktor No.2 meningkat kepada 1,000 milisievert sejam, sehingga menyebabkan kumpulan pekerja yang bekerja keras memulihkan sistem penyejuk di reaktor itu terpaksa dipindahkan.

Azmin kesal sikap polis



SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali kesal tindakan polis didakwa menyerbu kediamannya kelmarin semata-mata untuk menyerahkan notis bagi menghadiri penyiasatan di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah keesokan harinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu berkata, beliau tidak dimaklumkan tujuan penyiasatan itu dilakukan dan meminta ditangguhkan kerana beliau perlu hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung semalam.

Menurutnya, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkeras agar beliau hadir memberi keterangan.

“Saya persoalkan cara polis bertindak seolah-olah saya dan rakan-rakan macam penjenayah. Kenapa perlu serah notis seperti itu? Ini adalah gangguan kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian sidang DUN, semalam.

Azmin berkata, ketika kejadian itu berlaku sekitar jam 11.30 malam, beliau tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Beliau kesal kerana tidak dimaklumkan tujuan notis itu dihantar dan wujud kesalahan tarikh notis itu dikeluarkan, iaitu pada 26 November.

Menurutnya, notis itu diterima isterinya yang maklumkan bahawa beliau perlu hadir ke IPPD jam 10 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian terbabit, terdapat empat kenderaan polis serta dua kereta di depan rumah beliau.

Sementara itu, Azmin arahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap polis yang didakwa membuat kecoh ketika Pelancaran Kempen Tolak Kes Fitnah II anjuran PKR di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Gombak, Taman Melawati, Jumaat lalu.

Menurutnya, peguam sedang meneliti dua kes membabitkan pencerobohan ketika majlis itu dan dakwaan pihak polis bertindak di luar kuasa mereka disebabkan kawasan program itu dijalankan di tempat beliau sendiri.

“Perhimpunan aman dan teratur menjadi kecoh kerana polis cuba timbulkan provokasi. Peguam akan hantar notis kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menafikan kenyataan Azmin Ali yang mendakwa lebih 20 anggota polis mengepung rumahnya di Ampang, malam kelmarin.

Menurutnya, hanya sebuah kenderaan MPV polis digunakan untuk menghantar notis hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi tujuan rakaman percakapan.

“Tidak ada kepung. Kita hanya serah satu notis mengikut Seksyen 111 Akta Polis untuk rakam percakapan berhubung siasatan terhadap satu ceramah tanpa permit.

“Siapa pula kira sampai 20 hingga 30 orang anggota polis? Hanya satu kereta digunakan. Kita bukan nak menangkap orang, tetapi hanya untuk menyerahkan notis,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, semalam.

Dalam pada itu, wartawan Sinar Harian turut berkampung di IPD Ampang Jaya kerana maklumat awal mengatakan Azmin akan memberi keterangan kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Azmin tidak muncul kerana beliau menghadiri Dewan Sidang DUN Selangor di Shah Alam.

Pas Kelantan kekal haramkan big sweep



KOTA BHARU 28 Mac - Kerajaan Pas Kelantan akan terus mengekalkan pengharaman penjualan tiket judi big sweep selepas mendapati tindakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju dengan tindakan itu selepas melihat semula pengharaman tersebut dari aspek perundangan.
Beliau berkata, perkara tersebut juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini dan mendapati ia selaras dengan Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan iaitu kerajaan negeri boleh memberikan arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya melaksanakan dasar yang ditetapkan.
"Dalam hal judi, dasar kerajaan negeri tidak membenarkannya sama ada dijual dalam premis atau di luar premis.
"Bagaimanapun, memiliki tiket judi bukan satu kesalahan, oleh itu kita benarkan tiga premis yang diserbu sebelum ini supaya dikompaun dan mereka boleh ambil baik tiket loteri, kalau hendak guna sendiri terpulang, tetapi tidak boleh dijual," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.
Pada 16 Mac lalu Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan Azlan supaya melihat semula pengharaman penjualan judi 'big sweep' kerana ada pihak yang berpendapat ia bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu tiga buah kedai yang menjual tiket loteri 'big sweep' mendapat bantahan MCA dan DAP.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek turut mengarahkan MCA Kelantan supaya membawa perkara itu ke mahkamah.
Nik Abdul Aziz turut mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjelaskan perkara tersebut.
Takiyuddin berkata, pengharaman itu dikekalkan berdasarkan keadaan persekitaran negeri ini dan tidak membabitkan negeri-negeri lain.
-utusan

Mencari penyelesaian terbaik rakyat Libya


DARI Algeria ke Bahrain dan Libya ke Yaman, gelombang kebangkitan rakyat Arab yang terlalu lama berdiam diri daripada menuntut keadilan sosial serta pengakhiran pemerintahan autokratik berlaku satu demi satu.
Dalam tradisi negara Arab yang biasanya sukar menampakkan rasa tidak puas hati, kebangkitan rakyat itu sangat mengagumkan komuniti antarabangsa.

Tuntutan mereka memang sah iaitu mahukan reformasi dan kebebasan demokrasi.

Dalam konteks itu, komuniti antarabangsa - terutama Amerika Syarikat - aktif menggesa pihak berkuasa di negara terbabit berunding dengan rakyat bagi kepentingan semua pihak.

Kebimbangan utama jika krisis itu gagal ditangani adalah nasib rakyat biasa.

Malangnya, gesaan itu tidak mendapat reaksi positif, sebaliknya pemerintah autokratik di negara terbabit bertindak secara agresif serta kejam ke atas rakyat mereka sendiri.

Ketika keganasan demi keganasan berlangsung, negara luar terpaksa berbincang untuk mencari pendekatan terbaik menangani isu berkenaan.

Di Libya, misalnya, reaksi rejim Muammar Gaddafi terhadap kebangkitan rakyat menuntut reformasi sangat mengejutkan.

Justeru, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun bersidang dan meluluskan Resolusi 1973 bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.

Keputusan itu diambil kerana rejim Gaddafi menggunakan kelengkapan tentera udara mereka untuk mengebom rakyat yang bangkit di timur Libya.

Masalahnya, keputusan Majlis Keselamatan PBB itu dianggap tidak cermat sehingga menimbulkan kesan negatif sejurus selepas ia dikuatkuasakan.

Pertama, tiada jaminan pelaksanaan zon larangan terbang di Libya itu mampu memberi kesan nyata dalam isu melindungi nyawa orang awam.

Keadaan itu menjadi perhatian kerana kebanyakan pembunuhan orang awam di negara itu bukan melalui pengeboman tentera Libya, sebaliknya oleh dasar ‘tembak mati’ diambil Gaddafi dan penyokongnya.

Pelaksanaan zon larangan terbang mungkin hanya berkesan bagi menghalang jet Libya, tetapi bukan penembak curi di daratan.

Jika Barat benar-benar mahu melindungi orang awam, sasaran utama mereka sepatutnya tentera darat dan militia yang setia kepada Gaddafi.

Hakikat itu diakui sendiri pegawai Tentera Laut Amerika, Samuel J Locklear III ketika mengulas pelancaran 162 Tomahawk serta 100 peluru berpandu canggih pada awal serangan dulu.

Katanya, serangan itu gagal menghalang tentera kerajaan melancarkan keganasan ke atas orang awam.

Pendekatan itu hanya dapat difahami jika Amerika sebenarnya bukan mahu menguatkuasakan zon larangan terbang, sebaliknya memberi tekanan kepada Gaddafi supaya berundur.

Ia selaras dengan kenyataan Presiden Barack Obama sebelum ini yang menekankan keperluan Gaddafi melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Libya.

Namun, disebabkan Gaddafi berdegil, serangan udara tentera Bersekutu ketika ini sebenarnya usaha negara luar memaksakan perubahan rejim di Libya.

Keadaan itu membawa pelbagai pihak kepada masalah kedua - keabsahan aktiviti memaksa sesebuah rejim ditukar.

Undang-undang antarabangsa menyatakan memaksa sesebuah rejim ditukar secara paksa adalah salah.

Asas undang-undang antarabangsa adalah kedaulatan sesebuah negara.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa - yang membicarakan perbalahan antara sesebuah negara - tidak mempunyai bidang kuasa menentukan rejim mana yang berhak memerintah.

Maksudnya, jika ada perbalahan mengenai kesahihan kerajaan, semua pihak yang bertelagah mesti bersetuju merujuk isu berkenaan ke mahkamah.

Jika enggan, tiada sebarang mekanisme khusus mampu memaksa penyelesaian diambil. Peralihan kerajaan adalah hak prerogatif rakyat yang berkenaan, bukannya komuniti antarabangsa.

Ia dapat dilihat daripada Piagam PBB yang jelas menghalang sesebuah negara mencampuri urusan dalaman sesebuah negara lain.

Pengecualian hanya diberikan dalam aspek kemanusiaan. Masalahnya, keputusan untuk campur tangan atas alasan kemanusiaan diputuskan Majlis Keselamatan PBB.

Bahawa campur tangan kemanusiaan itu dilihat suatu langkah mulia, malangnya pada masa sama ia sering diambil atas pertimbangan politik.

Misalnya, negara yang berhak mengundi atau menghalang usul Majlis Keselamatan PBB akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan politik ke atas negara terbabit.

Keadaan itu membawa kepada masalah perundangan antarabangsa apabila negara tertentu mengamalkan perundangan terpilih.

Ada dua contoh mudah dapat menjelaskan keadaan ini. Dalam serangan Israel ke atas Lubnan pada 2006 serta Gaza beberapa tahun lalu, kesan kezaliman rejim Zionis itu memang tidak perlu diperjelaskan lagi.

Hampir semua negara mengutuk serangan itu, manakala Laporan Suruhanjaya Goldstone yang menyiasat insiden berkenaan menyatakan Israel melakukan jenayah perang.

Namun, dapatkah anda bayangkan Majlis Keselamatan PBB meluluskan usul supaya negara asing bertindak ke atas rejim Zionis itu untuk melindungi orang awam di Lubnan dan Gaza? Contoh kedua adalah penghapusan etnik di Rwanda.

Kempen zalim pada 1994 itu menyebabkan 800,000 orang terbunuh ketika komuniti antarabangsa sekadar melihatnya tanpa berbuat apa-apa.

Sebuah suruhanjaya bebas di bawah PBB mendapati kesalahan sepatutnya diletakkan kepada sistem badan antarabangsa itu, manakala Amerika dan Britain sepatutnya menjadi negara paling tepat bertindak.

Memang tidak dinafikan orang awam Libya mesti dilindungi daripada menjadi mangsa kekejaman rejim Gaddafi, tetapi usaha itu sepatutnya dibuat dengan lebih berhati-hati.

Misalnya, PBB mengusahakan gencatan senjata dan menghantar tentera pengaman ke negara itu.

Jika diluluskan, usul berkenaan pasti mendapat sokongan menyeluruh kerana ia lebih berkesan melindungi nyawa orang awam.

Pada masa sama, penyelesaian politik boleh mencadangkan kepada pemberontak untuk membenarkan Gaddafi serta keluarganya meninggalkan Libya.

Sebaliknya, jika ada usaha merujuk Gaddafi kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa hanya akan mendorong pemimpin Libya itu terus berdegil dan mempertahankan kekuasaannya dengan apa cara sekalipun.

Jika itu berlaku, kesannya hanya satu - keganasan berpanjangan dan pihak yang menanggung kesengsaraan pastilah rakyat Libya itu sendiri. - GN

Qatar iktiraf pemberontak


KAHERAH: Qatar mengiktiraf Majlis Kebangsaan Libya sebagai badan sah tunggal mewakili suara rakyat negara itu, lapor agensi berita semalam.
Menurut agensi berita Qatar, pengiktirafan itu dibuat hasil penilaian kerajaan yang mendapati majlis terbabit benar-benar mewakili majoriti rakyat Libya
Pegawai Kementerian Luar berkata, majlis itu mempunyai wakil diterima pelbagai dari pelbagai wilayah dalam Libya. - Reuters

Beras ada najis


SHAH ALAM: Sepasang suami isteri hampir termuntah apabila mendapati satu kampit beras yang dibeli di sebuah pasar raya di sini, pada 20 Mac lalu berbau busuk seolah-olah najis haiwan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, mangsa yang ingin dikenali sebagai Azmi, 38, membuka sekampit beras jenama tempatan seberat 10 kilogram yang dibelinya di sebuah pasar raya namun terkejut apabila terhidu bau busuk sebaik membukanya.

Azmi berkata, selepas diperiksa, dia mendapati ada sesuatu benda pelik berada bersama beras itu dan selepas diamati, dia percaya benda itu adalah najis haiwan.

Menurutnya, sebelum ini, dia tidak membuka bungkusan beras itu sebaik dibeli kerana bekalan beras lama masih mencukupi.

“Sebaik sahaja bungkusan beras itu dibuka bau yang keluar amat busuk seperti najis,” katanya.

Menurutnya, dia bimbang kejadian itu akan berulang dan berlaku kepada pengguna lain jika tiada tindakan segera diambil pengeluar beras berkenaan.

“Sepatutnya pihak terbabit perlu memastikan tahap kebersihan yang tinggi sebelum memasarkan barangannya supaya pembeli tidak menjadi mangsa.

“Saya harap pihak berkaitan dapat lebih berhati-hati selepas ini dalam memastikan kualiti barangan yang dijual,” katanya.

Selain itu, katanya, dia juga sudah membuat laporan kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan lanjut.

Wanita cari waris wali nikah


MELAKA: Seorang wanita mencari ibu bapa atau waris mahramnya bagi menjadi wali untuk pernikahannya yang akan diadakan November depan.
Penolong Pegawai Farmasi di sebuah klinik, di sini, Jamilah Ibrahim, 26, berkata dia tidak mengetahui dirinya diserahkan kepada keluarga angkatnya sejak lahir.

Menurutnya, ibu bapa angkatnya, Khadijah Thamby dan Ibrahim Ali (gambar), yang kedua-duanya sudah meninggal dunia tidak pernah menceritakan mengenai latar belakangnya sebagai anak angkat.

“Saya hanya mengetahui mengenai perkara ini sehingga diberitahu sepupu sebelah keluarga angkat pada tahun lalu. Saya bertunang pertengahan Oktober lalu selepas mengetahui mengenainya dan saya terus berusaha mencari mereka (ibu bapa kandung) atau mahram, tetapi gagal.

“Berdasarkan maklumat pada sijil kelahiran, saya dilahirkan di Hospital Tanjung Karang (Selangor), tetapi tidak mempunyai maklumat mengenai ibu bapa saya,” katanya, di sini, semalam.

Jamilah berkata, apa yang diketahui melalui sepupu angkatnya, dia diserahkan kepada keluarga angkat sejak berusia beberapa hari dan terus menetap di Chincin, Jasin, dekat sini.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali ibu bapa angkat atau kedua ibu bapa kandung boleh menghubungi saya di talian 06-5293611,” katanya.

Azmil Mustapha sudah stabil



PETALING JAYA: Pelakon zaman 80-an, yang popular melalui filem Ali Setan, Azmil Mustapha kini berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan di wad kardiologi di Hospital Universiti di sini, sejak tiga hari lalu akibat kecairan darah kritikal.
Azmil, 59, Ketika ditemui semalam, boleh bercakap dan bangun tetapi masih berasa sengal pada badan.

Dia ditemani anak keempat, Muhammad Bazli Zhafri, 17, mempunyai dua kesan lebam di tangan kanan akibat penyakitnya itu. Katanya, dia akan menjalani ujian imbasan dada hari ini.

“Darah saya cair sebanyak lapan kali hingga doktor tidak membenarkan saya gosok gigi kerana takut darah keluar tanpa henti.


“Buat masa ini, saya tiada selera makan sejak lima hari lalu. Mulanya ketika di rumah, saya berasa tidak sedap badan pada perut dan rasa seperti asid naik ke dada membuatkan saya sakit teramat.

“Saya juga sangka mungkin ada ulser dalam perut sebaliknya, ditahan wad selepas datang ke sini. Kata doktor, jantung saya tiada masalah,” katanya.

Gandhi punyai kekasih lelaki


LONDON: Pemimpin pergerakan kemerdekaan India, Mahatma Gandhi didakwa dwiseksual.
Dia dikatakan meninggalkan isterinya untuk tinggal bersama seorang lelaki, ahli bina badan keturunan Jerman-Yahudi, menurut buku baru mengenai kisah kehidupannya.

Gandhi didakwa amat mencintai Herman Kallenbach.

Kallenbach dilahirkan di Jerman tetapi berhijrah ke Afrika Selatan dan menjadi arkitek kaya raya.

Gandhi bekerja di negara itu dan Kallenbach menjadi pengikutnya yang rapat. Mereka tinggal bersama di rumah yang dibina oleh Kallenbach di Afrika Selatan dan berikrar untuk mencintai satu sama lain...‘cinta yang mereka harap tidak pernah dilihat oleh dunia.’ Dakwaan itu terkandung dalam biografi baru oleh Joseph Lelyveld yang berjudul: ‘Great Soul: Mahatma Gandhi And His Struggle With India.’ Buku berkenaan menceritakan secara terperinci hubungan pemimpin pergerakaan kemerdekaan India dengan Kallenbach yang tidak pernah didedah sebelum ini.

Pada usia 13 tahun, Gandhi dikahwinkan dengan Kasturbai Mankhanji, 14. Tetapi selepas mempunyai empat anak, mereka berpisah pada 1908 supaya Gandhi boleh tinggal bersama Kallenbach, menurut buku itu.

Gandhi didakwa memaksa Kallenbach berjanji supaya tidak melihat wanita dengan bernafsu. “Saya tidak dapat bayangkan betapa buruknya seks lelaki dengan wanita,” kata Gandhi kepada kekasihnya itu, menurut buku berkenaan. Mereka berpisah pada 1914 apabila Gandhi kembali ke India. Kallenbach tidak dibenarkan masuk ke negara itu kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama. - DM

Pencuri jatuh perigi minta bantuan


LONDON: Seorang pencuri membuat panggilan kecemasan selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 10 meter.
Pencuri berkenaan dikatakan jatuh ke dalam perigi berkenaan setelah dikejar orang ramai selepas memecah masuk sebuah kediaman.
Lelaki berusia 21 tahun itu yang berassal dari Halifax, West Yorkshire membuat panggilan kecemasan pada awal pagi, beberapa minit selepas polis menerima laporan daripada penduduk berhampiran Boothtown mengenai kejadian pecah masuk.

Inspektor David Whitehouse dari balai polis West Yorkshire berkata: “Lelaki yang jatuh ke dalam perigi itu adalah seorang daripada sekumpulan pencuri yang melarikan diri,” katanya. - DM

Katrina sedia maafkan Ranbir





2011/03/29

pix_gal0
Harap aktor henti pikat wanita lain 

MUMBAI: Hubungan cinta antara aktres terkenal Bollywood, Katrina Kaif (gambar) dan aktor, Ranbir Kapoor menjadi topik perbualan hangat industri filem India itu baru-baru ini selepas mereka membuat keputusan berpisah atas perbezaan pendapat mengenai perkahwinan.
Katrina tidak mahu menunggu lama untuk berkahwin manakala Ranbir tidak mahu ‘terikat’ menyebabkan mereka bergaduh sebelum berpisah.
Bagaimanapun, Katrina kemudian meminta maaf kepada Ranbir, memaafkannya dan berharap menjalin semula hubungan jika aktor itu tidak lagi bersikap ‘kasanova.’ 

Masalahnya, Ranbir memang diketahui banyak teman wanita. Sebelum ini, beliau dikaitkan dengan aktres Deepika Padukone tetapi hubungan mereka tidak kekal lama. 

Ketika itu, Katrina pula ada hubungan dengan aktor Salman Khan sebelum berpisah. Perpisahan menyebabkan Katrina dan Ranbir lebih dekat. 

Punca pergaduhan dan perpisahan mereka selepas menjalin hubungan setahun ialah sikap Ranbir kelihatan mesra dengan aktres Nargis Fakiri dan Anushka Sharma. 
Apapun, Katrina dikatakan bersedia kembali kepada Ranbir jika dia mengubah sikap dan pada masa sama mencurahkan masalah itu kepada Salman, lapor akhbar di sini. 

Apabila ditanya mengenai bentuk hubungan Katrina dan Salman, sumber memberitahu: “Katrina dan Salman sudah lama berpisah dan tidak pernah menimbang kembali intim. 

“Mereka berkongsi hubungan istimewa dan masih sahabat baik. Mereka juga ada kemungkinan berganding dalam filem baru Yash Raj”. – Agensi