Oleh Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my
2010/04/19
ROSE Zaitul Suriani memangku anaknya, Puteri Salfiah ketika ditemui di Seremban, kelmarin.
SEREMBAN: "Achik bersungguh-sungguh mahu berpindah di sebelah rumah ibu saya dan saya tidak menyangka ia petanda yang dia akan 'pergi' dan mahu saya sentiasa dekat dengan ibu apabila dia tiada," kata isteri bekas vokalis kumpulan Spin, Achik atau Abdillah Murad Md Shaari, 28, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini, kelmarin.
Isterinya, H M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, 29, berkata mereka berpindah masuk ke rumah teres satu tingkat yang berkembar dengan rumah ibunya di Taman Desa Ros, di sini, minggu lalu.
Katanya, suaminya sangat gembira dan membersihkan rumah yang lama tidak diduduki itu setiap hari, termasuk mengecat semula dan berjanji mengemasnya dengan sempurna semalam.
"Sebelum ini dia begitu sibuk dan sepatutnya hari ini (semalam) dia mula bercuti untuk meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga serta mengemaskan rumah ini sehingga selesai.
"Dia turut berkata, selepas ini saya mesti akan gembira kerana tinggal dekat dengan ibu dan dia juga akan selalu berada di Seremban, tidak seperti sebelum ini kerana dia sering berulang alik ke Johor atas urusan perniagaan," katanya sambil menahan sebak.
Achik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang papan tanda sebelum terbakar di Kilometer 14.7 Lekas, dekat sini, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Makam Haji Mohd Said di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam selepas disembahyangkan di surau berhampiran rumahnya.
Terdahulu, kira-kira 100 orang hadir menziarah antaranya penyanyi Hattan, Siti Nordiana Mohd Alias (Nana), Tomok, anggota kumpulan Kristal dan Spin sendiri.
Sementara itu, ibu Achik, Badariah Awaluddin, 54, berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya itu di rumah seorang lagi anaknya di Ampangan, di sini, kira-kira dua minggu lalu.
No comments:
Post a Comment