Monday, April 19, 2010

Dulu Zaid ikut telunjuk UMNO


Mudahnya Pas maafkan Zaid



SEBAIK sahaja proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor berakhir pada tengah hari kelmarin, penulis bersama ribuan lagi penyokong pembangkang berjalan menyusuri sebatang jalan di Kuala Kubu Bahru menuju kenderaan masing-masing.
Sepanjang perjalanan itu, penulis perhatikan sekumpulan penyokong terutamanya dari parti Pas begitu bersemangat, walaupun berjam-jam terpaksa berdiri di tengah panas terik termasuk membawa anak kecil. Tidak kelihatan langsung keletihan di wajah mereka. Sebahagian besar daripada mereka 'diimport' dari luar Selangor, menempuh perjalanan beratus-ratus kilometer bagi memberi sokongan kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.
Penulis sememangnya tidak pernah meragui semangat penyokong Pas, malah dari segi menggerakkan jentera pilihan raya, jentera Pas dianggap terbaik berbanding dengan jentera PKR dan DAP.
Tetapi malangnya dalam pilihan raya kecil ini, pengorbanan yang mereka lakukan adalah untuk memenangkan seorang calon yang suatu ketika dahulu pernah menyaman kerajaan negeri Kelantan yang meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun Zaid kemudian menarik semula saman tersebut tetapi ia tetap tercatat dalam sejarah politik negara bahawa Zaid pernah 'memusuhi' Pas dengan menentang satu langkah perjuangan yang selama ini sangat ingin dilaksanakan oleh parti itu.
Bagaimanapun bak kata orang, dalam politik tiada musuh dan kawan yang kekal dan pendekatan matlamat menghalalkan cara selalu digunakan demi kepentingan politik.
Begitulah juga keadaannya apabila Zaid menjadi calon PKR atau lebih tepat lagi pakatan pembangkang, maka segala 'kesalahan' beliau seolah-olah sudah 'dimaafkan' oleh pemimpin-pemimpin Pas dengan alasan saman itu telah ditarik balik oleh Zaid.
Kemaafan itu bukan sahaja diberikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malahan apa yang lebih menarik adalah Naib Presiden parti itu, Salahudin Ayub menyatakan, ''Setiap orang perlu diberi peluang kedua, malah Islam juga memberi tempat dan kemuliaan kepada sesiapa sahaja yang telah meninggalkan sejarah lampaunya."
"Dengan keputusan pakatan pembangkang memilih Zaid bertanding di sini, kita tiada masalah untuk memberi sokongan kepada beliau. Isu saman hudud tidak berbangkit, Mursyidul Am dan Presiden telah memberi arahan supaya pencalonan Zaid diberi sokongan oleh jentera parti." Itulah hujah Salahudin.
Persoalannya, apakah kerana Zaid kini bersama-sama pembangkang maka beliau kini dilihat 'bersih' daripada segala-galanya, sedangkan beliau pernah membuat satu tindakan yang dikecam begitu hebat oleh Pas suatu ketika dahulu?
Kita tidak harus lupa bahawa salah satu sebab kenapa Nik Abdul Aziz menolak sebarang kerjasama dengan UMNO adalah kononnya atas alasan UMNO menolak Islam dan mengamalkan politik kebangsaan. Tiada ruang diberikan kepada UMNO biarpun demi membincangkan soal perpaduan orang Melayu dan umat Islam, maknanya tiada pula tafsiran peluang kedua seperti dikatakan oleh Salahudin.
Oleh itu, bagaimana mungkin Zaid begitu mudah dimaafkan oleh pemimpin-pemimpin Pas hanya semata-mata kerana beliau sudah menarik saman berkenaan dan bertanding atas tiket pembangkang di Hulu Selangor.
Apakah pemimpin-pemimpin Pas sudah lupa apa yang dikatakan Zaid kepada parti itu suatu ketika dahulu antaranya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pernah menyamakan sikap Pas dengan parti-parti bertopengkan agama yang lain seperti Parti Likud di Israel dan Parti Bharatiya Janata (BJP) di India yang percaya mereka dipilih Tuhan untuk memerintah dunia.
Lebih buruk lagi, Zaid juga pernah menuduh Pas tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diharamkan dan meminta kerajaan mengharamkan Pas.
Dengan kenyataan seumpama itu, baik sungguh pemimpin-pemimpin Pas boleh memaafkan Zaid dengan begitu mudah hanya kerana Zaid telah dipilih oleh PKR untuk bertanding dalam pilihan raya.
Pendirian Pas untuk memberikan sokongan padu kepada Zaid sepanjang pilihan raya tersebut pasti menjadi persoalan, mungkin bukan sahaja di kalangan rakyat malah di kalangan penyokong parti itu sendiri.
Sebab itulah, Abdul Hadi terpaksa mengadakan sesi penerangan khas kepada jentera parti itu di Hulu Selangor untuk memastikan mereka tidak lemah semangat kerana terpaksa bekerja keras siang dan malam bagi memenangkan Zaid.
Sudah pasti, ada antara mereka yang 'terluka' dengan tindak tanduk Zaid sebelum ini tetapi apa boleh buat, pemimpin mereka lebih mementingkan kerjasama dan kesepakatan dengan PKR dan DAP. Mereka begitu yakin kerjasama berkenaan akan mampu menumbangkan kerajaan BN. Atas alasan yang sama juga, Pas turut dengan mudah 'memaafkan' pemimpin DAP yang menentang perjuangan Pas untuk menegakkan negara Islam.
Justeru PKR dan DAP tidak pernah berasa bimbang dengan Pas kerana biar sejauh manapun pemimpin kedua-dua parti berkenaan pernah memaki hamun parti Islam itu, mereka pasti diampunkan selagi bernama pakatan pembangkang.
Penulis menghormati istiqomah ahli dan penyokong Pas yang pastinya akan bertungkus lumus di Hulu Selangor termasuk berkorban meninggalkan anak isteri serta tidur di masjid-masjid bagi memastikan kemenangan pakatan pembangkang tetapi mereka perlu ingat calon yang ingin dimenangkan itu ialah seseorang yang pernah memaki hamun parti itu dengan pelbagai gelaran.
Kalaulah ada pemimpin atau penyokong Pas berhujah bahawa itu cerita lama kerana pada masa berkenaan Zaid berada di dalam UMNO tetapi kenapakah semangat yang sama tidak ada apabila UMNO mengajak Pas berunding dalam soal Melayu dan Islam, sebaliknya mengungkit apa yang berlaku ketika Pas bergabung dalam kerajaan campuran suatu ketika dahulu.
Semua tingkah laku pembangkang ini seharusnya memberikan pengertian kepada pengundi-pengundi di Hulu Selangor bahawa begitulah sikap sebenar pakatan berkenaan. Segala-galanya menjadi 'halal' jika ia melibatkan kepentingan politik mereka, biarpun hanya demi merebut sebuah kerusi Parlimen.
Oleh itu, mereka perlu mempertimbangkan dengan fikiran yang tenang parti manakah lebih banyak melakonkan sandiwara politik demi meraih undi dan parti mana pula yang sentiasa ikhlas memperjuangkan nasib rakyat melalui kuasa politik yang dimiliki.

No comments:

Post a Comment