KUALA LUMPUR 18 April - Pengarah filem terkenal, Aziz M. Osman, 48, selamat ditunangkan dengan pasangannya, Puteri Sarbainun Lokman, 21, di Taman Legenda Mas, Cheras hari ini.
Anak kepada pelakon dan pengarah, Lokman Ghani itu menjadi pilihan hati Aziz selepas pengarah terkenal itu gagal mempertahankan tiga mahligai perkahwinannya sebelum ini.
Pada majlis tersebut, ibu Aziz iaitu seniwati Afida Es menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Puteri Sarbainun yang juga mesra dengan panggilan Puteri Lily pada kira-kira pukul 4.30 petang.
Keberatan mendedahkan jumlah wang hantaran serta butiran pernikahan, pasangan itu memberitahu, mereka bakal diijabkabulkan 6 Jun ini.
"Perkahwinan selain membahagiakan adalah demi memberi keberkatan dalam kehidupan.
"Kesilapan yang pernah saya lalui dalam kehidupan berumah tangga membuatkan saya menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang.
"Selepas ini saya sudah ada 'kawan' untuk menemani saya walau ke mana sahaja apatah lagi, apabila 'kawan' itu bakal bergelar isteri kepada saya," kata Aziz ketika ditemui selepas majlis pertunangannya.
Duda beranak enam itu sebelum ini pernah gagal mempertahankan rumah tangga yang dibinanya dengan pelakon Nur Aliah Lee Abdullah atau Vee setelah 15 tahun berkahwin.
Malah, perkahwinan ketiganya dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli umpama mimpi ngeri buat Aziz apabila turut kecundang dan berakhir dengan kontroversi yang cukup terkesan di hati beliau.
Sementara itu, Afida Es ketika ditemui pada majlis sama mengharapkan agar jodoh anaknya kali ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.
"Bonda bahagia melihat anak bonda gembira dan inilah jodoh yang telah ditentukan Tuhan buat Aziz.
"Seperti ibu lain, bonda kalau boleh memang tidak mahu lihat Aziz hidup sendiri kerana kehidupannya selain kerja lebih tertumpu kepada anak-anak.
"Bagaimanapun, bonda bersyukur kerana selepas ini akan ada orang yang boleh menjaga dan menyayangi dia," kata Afida Es.
No comments:
Post a Comment