HULU SELANGOR 18 April - Tindakan pembangkang yang terus mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel disebabkan mereka semakin bimbang dengan kejayaan gagasan berkenaan yang mula diterima oleh rakyat negara ini.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak hairan dengan langkah pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perundingan antarabangsa Apco Worldwide (Apco) dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bermula semalam.
''Apco adalah sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang dilantik oleh kerajaan bagi membolehkan Malaysia lebih dikenali dunia.
''Syarikat itu bukan syarikat zionis atau Israel. Untuk melakukan tugas memperkenalkan Malaysia, ia bukanlah satu tugas yang mudah, oleh itu kita memerlukan syarikat yang profesional melakukannya.
''Kita hendak memberikan gambaran yang betul kepada dunia, apa itu Malaysia sebenarnya. Pembangkang sengaja memutar belitkan fakta jadi mereka sebarkan dakyah kononnya 1Malaysia sama dengan One Israel dengan mengaitkan Apco," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Mesra Rakyat di bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Ulu Yam Bahru, di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas tindakan pembangkang membangkitkan isu Apco bagi meraih undi dalam pilihan raya kecil itu yang bakal berlangsung pada 25 April ini.
Dalam ceramah mereka, pembangkang terus mengaitkan Apco sebagai sebuah syarikat zionis dan memburukkan gagasan 1Malaysia dengan menyatakan ia ditiru daripada konsep One Israel.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang kini berasa terancam memandangkan dalam tempoh setahun Malaysia ditadbir oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia diterima baik oleh rakyat.
''Malahan ia juga disambut baik oleh generasi muda yang melihatnya dari sudut perpaduan, oleh itu pembangkang berusaha mengalihkan isu dengan membuat tuduhan bagi tujuan menimbulkan prasangka di kalangan rakyat terhadap niat baik kerajaan," katanya.
Mengenai dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memindahkan 13,488 pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Selangor bagi membantu kemenangan BN, Muhyiddin berkata, perkara itu wajar dijelaskan oleh SPR.
''Apa yang penting BN tidak mahu buruk sangka kepada sesiapa, biarlah isu ini dijelaskan oleh SPR. Saya yakin sebagai sebuah suruhanjaya bebas, SPR tidak akan menyebelahi mana-mana parti," katanya.
No comments:
Post a Comment