Hanya 20 miliki sijil halal
PULAU PINANG 18 April - Hanya kira-kira 20 daripada 100 hotel yang beroperasi di Pulau Pinang ketika ini mempunyai sijil pengiktirafan halal bagi penyediaan makanan dan pengurusan dapur dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
Bagaimanapun, selebihnya masih tidak memiliki sijil halal termasuk ditarik balik lesen halal tersebut disebabkan gagal mengikut prosedur yang ditetapkan.
Perkembangan itu amat membimbangkan kerana ketika umat Islam semakin gemar berkunjung ke hotel untuk menikmati makanan enak, sebahagian besar pengusaha hotel pula mengambil sikap tidak kisah dengan keperluan sijil halal tersebut.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal (JHEAIPP), Faizal Ibrahim, berkata, kebanyakan yang ditarik balik sijil halal adalah hotel bertaraf empat dan lima bintang yang didapati memasukkan ramuan tambahan yang tiada logo halal atau meragukan ke dalam masakan mereka.
"Kita telah melakukan siasatan di beberapa hotel sejak awal tahun ini dan mendapati, tukang masak hotel berkenaan memasukkan cuka wain dan sos sushi yang diimport dari Jepun untuk disajikan kepada pengunjung.
"Justeru, kita terpaksa mengambil tindakan dengan menggantung lesen persijilan halal ke atas hotel tersebut dengan mengenakan penalti enam bulan bagi membolehkan mereka membaik pulih bahagian penyajian hotel.
"Setelah tempoh itu selesai, kita akan datang untuk melakukan pemeriksaan semula dan melihat sama ada hotel tersebut mengikut prosedur yang ditetapkan untuk membolehkan mereka mendapatkan kembali sijil halal itu," katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, dedah Faizal, terdapat juga segelintir hotel di negeri ini yang masih menggunakan sijil halal tamat tempoh semata-mata untuk meyakinkan pelanggan Islam.
Menurutnya, tempoh yang ditetapkan untuk pihak terlibat memperbaharui sijil halal mereka ialah setiap dua tahun sekali.
Justeru, Faizal berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan semua pemilik dan pengusaha hotel di negeri ini baru-baru ini untuk menerangkan kepada mereka tentang kepentingan dan keperluan status persijilan halal untuk hotel masing-masing.
"Masyarakat Islam hari ini sering menganggap segala bentuk hidangan yang disajikan di hotel adalah halal.
"Menyedari hakikat itu, menjadi tanggungjawab kami untuk mengubah mentaliti mereka ini agar mementingkan status makanan halal sebelum menikmatinya," kata beliau.
Faizal menjelaskan, pihaknya amat berharap agar masyarakat terutama yang beragama Islam membuat pemeriksaan ke atas status dan tarikh luput yang tertera di sijil halal hotel terlebih dahulu.
"Ini untuk memastikan makanan yang mereka nikmati benar-benar halal dan bebas daripada sebarang perasaan was-was," katanya.
No comments:
Post a Comment