Sunday, May 30, 2010

Hisham: Jangan percaya bulat-bulat kata penasihat



KLUANG 29 Mei - Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya tidak mempercayai bulat-bulat penasihat masing-masing.
Sebaliknya, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mereka perlu menyiasat dan mengkaji dakwaan yang dibuat terutamanya jika ia boleh menggugat keharmonian parti.
''Ini kerana penasihat tersebut berkemungkinan membuat tuduhan yang tidak berasas dan mempunyai kepentingan tertentu.
"Jangan kita terikut-ikut nasihat orang di sekeliling kita tanpa kaji, siasat terlebih dulu," katanya pada akhbar akhbar sempena Program Khidmat Masyarakat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Komuniti Bestari Mukim Kahang, Kampung Sri Lukut di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, S. Vell Paari semalam yang memohon maaf atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan bapanya, Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.
Hishammuddin bagaimanapun menyifatkan permohonan maaf Vell Paari itu sebagai tindakan bijak demi keharmonian BN setelah beliau menyedari kesilapannya.
DI SEMPORNA, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut berpendapat, isu permohonan maaf Vell Paari tidak perlu dipanjangkan lagi.
"Tidak payah kita hendak panjangkan perkara ini kerana yang penting sekarang ialah usaha memperkuatkan MIC dan BN dipertingkatkan," katanya.

No comments:

Post a Comment