Sunday, May 30, 2010

Samy perlu dengar nasihat Tun Dr. Mahathir



KUALA LUMPUR 29 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dinasihatkan supaya mendengar pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya mengundurkan diri daripada terus menerajui parti itu.
Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam berkata, nasihat dan pandangan Dr. Mahathir itu sebenarnya membawa harapan dalam usaha menyelamatkan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN).
"Dr. Mahathir telah beberapa kali menasihatkan Samy Vellu supaya mengundurkan diri daripada menerajui parti itu sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tujuh tahun lalu.
"Tetapi Samy Vellu masih lagi ingin menerajui MIC. Berilah peluang kepada kepimpinan baru menerajui parti itu, beliau sudah menyandang jawatan itu hampir 30 tahun," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Koperasi Nesa Pelbagai Berhad (Nesa) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Subramaniam mengulangi pendiriannya, beliau bersedia melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Seputeh, bagaimanapun kekal sebagai ahli dalam parti itu.
"Saya tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan sebagai ketua bahagian kepada timbalan saya, dan akan melepaskan jawatan itu selepas Samy Vellu bertindak sama meletakkan jawatan Presiden MIC dalam tempoh seminggu ini, bagaimanapun saya akan kekal sebagai ahli parti.
"MIC perlu diselamatkan daripada orang sepertinya. Samy Vellu punca sebenar segala permasalahan yang sedang berlaku sekarang ini, jadi adalah wajar beliau tidak lagi jadi Presiden MIC," katanya.
Subramaniam berkata, beliau menyarankan Samy Vellu melepaskan jawatannya itu secepat mungkin bagi memberi laluan kepada MIC untuk memilih Presiden MIC baru dalam membawa agenda pembaharuan masyarakat India di negara ini.

No comments:

Post a Comment