Sunday, May 30, 2010

Jambatan mahathir


Jambatan Bengkok kedaulatan negara - Dr. Mahathir

DR. Mahathir Mohamed menerima kad keahlian kelab Veteran MAYC daripada Sanusi Junid sambil diperhatikan oleh Abdul Ghani Othman di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 29 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed meminta kerajaan meneruskan projek pembinaan Jambatan Bengkok kerana ia membabitkan soal kedaulatan serta usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengikut telunjuk asing berhubung pembinaan jambatan tersebut yang ternyata bakal memberi banyak faedah dan peluang ekonomi kepada rakyat negara ini.
"Sebagai sebuah negara merdeka, kita boleh buat apa yang kita nak buat dalam wilayah kita. Ini lambang kedaulatan dan hak eksklusif kita.
"Kita tidak perlu bergantung kepada kuasa-kuasa asing dan tidak perlu bergantung kepada pihak-pihak lain. Ini wilayah kita, jadi kita tahu apa yang baik untuk kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang peserta 'Wacana Kepimpinan Bersama Dr. Mahathir' anjuran Kelab Veteran Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Pemuda UMNO Pasir Gudang di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kelab Veteran MAYC, Tan Sri Sanusi Junid dan Timbalannya, Datuk Nasir Safar serta Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Pada program yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu dan peserta itu, Dr. Mahathir turut melancarkan Kelab Veteran MAYC serta menjadi ahli yang pertama manakala Sanusi menjadi ahli nombor dua.
Kelmarin, Dr. Mahathir berkata, masih ada isu yang belum diselesaikan dengan Singapura walaupun lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan beberapa hasil.
Dr. Mahathir berkata, isu tersebut ialah harga air yang dibekalkan kepada Singapura, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) untuk rakyat Malaysia dan soal jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Perdana Menteri dalam reaksi terhadap kenyataan Dr. Mahathir berkata, semua masalah legasi antara Malaysia dan Singapura akan diselesaikan secara berperingkat dan tidak boleh diselesaikan dalam satu pertemuan.
Jelas Dr. Mahathir, selaku Perdana Menteri ketika itu yang mencetuskan idea untuk membina jambatan tersebut, beliau mengetahui secara menyeluruh keuntungan dan kebaikan pembinaan jambatan itu.
Oleh itu katanya, beliau menaruh kepercayaan yang tinggi dan masih belum terlambat bagi Najib merealisasikan projek pembinaan Jambatan Bengkok yang akan menjadi kebanggaan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

No comments:

Post a Comment