Sunday, May 30, 2010

Perlu telus jelas agenda ekonomi bumiputera



KUALA LUMPUR 29 Mei - Kerajaan digesa supaya menjelaskan dengan lebih telus tentang polisi afirmatif serta agenda pembangunan ekonomi bumiputera yang terkandung di dalam Model Baru Ekonomi (MBE) sekiranya ia mahu dilaksanakan.
Desakan tersebut disuarakan seorang panel di Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE 2010 anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini yang turut mahu kerajaan mengambil kira banyak lagi aspek melibatkan bumiputera pada pelaksanaan dasar tersebut kelak.
Antara lain, Senator Datuk Akbar Ali yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia mencadangkan agar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dijadikan sumber kepada penggubalan MBE.
"Kerajaan juga perlu berusaha membina semula keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara mengikut nisbah penduduk berdasarkan kaum selaras dengan konsep kesamarataan," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada kongres itu.
Akbar berkata, sektor swasta harus menjadi pemacu ekonomi di bawah MBE termasuk melaksanakan dasar intervensi yang strategik untuk membantu bumiputera menyertai aktiviti ekonomi negara dengan lebih berkesan.
"Wujudkan ruang permainan yang sama rata kepada bumiputera bagi membolehkan mereka bersaing secara adil. Kerajaan juga perlu membetulkan kecacatan dan gangguan pasaran bagi membolehkan persaingan itu menjadi lebih baik," katanya.
Beliau berkata, dalam usaha MBE dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan sepatutnya memecahkan monopoli dan kartel dalam bidang-bidang tertentu bagi membuka persaingan yang lebih luas.

No comments:

Post a Comment