Sunday, May 30, 2010

Panel sebak MBE tidak sentuh agenda bumiputera



KUALA LUMPUR 29 Mei - Seorang ahli panel 'sebak' apabila membincangkan mengenai cadangan kerajaan untuk mewujudkan Model Baru Ekonomi (MBE) kerana ia langsung tidak menyentuh agenda bumiputera seperti mana dasar-dasar ekonomi sebelum ini.
Sambil melahirkan kekecewaannya bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Halipah Esa berkata, perlaksanaan MBE dalam bentuk itu hanya akan membuatkan golongan bumiputera di negara ini akan terus ketinggalan.
Justeru beliau menggesa kerajaan tidak sewenang-wenangnya membuang agenda bumiputera di dalam pelaksanaan MBE memandangkan kedudukan golongan itu di dalam pelbagai sektor masih belum berjaya sepenuhnya.
''Tidak dinafikan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kemudian diikuti Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Pembangunan Wawasan (DPW) dilaksanakan kedudukan golongan bumiputera ada menunjukkan peningkatan.
''Bagaimanapun secara realitinya agenda bumiputera masih tidak kesampaian. Baik dari segi pemilikan ekuiti, jurang pendapatan dan penyertaan pekerjaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ulasan mengenai tajuk Agenda Melayu Dalam MBE pada Kongres Ekonomi Bumiputera:MBE di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kongres sehari itu telah dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Halipah berkata, dari segi pemilikan ekuiti kedudukan antara bumiputera dan bukan bumiputera masih jauh terkebelakang, jurang pendapatan pula masih melebar manakala penyertaan pekerjaan tidak mencerminkan komposisi kaum.
''Inilah kedudukan sebenar golongan bumiputera pada hari ini," katanya lagi.
Halipah dalam pada itu berkata, pelaksanaan dasar-dasar ekonomi sebelum ini yang memberi tumpuan kepada agenda bumiputera sebagai contoh DEB tidak pernah membantutkan perkembangan ekonomi negara.
''Tidak ada bukti yang menunjukkan pelaksanaan DEB yang bermula pada tahun 1970 telah menyebabkan ekonomi negara kita tidak berkembang.
''Sebaliknya dasar tersebut berjaya menstabilkan negara dalam jangka masa panjang.
''Oleh itu mengapa ada pihak yang terlalu resah dengan pelaksanaan dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada agenda bumiputera sedangkan ia tidak pernah menjejaskan perkembangan ekonomi negara," katanya lagi.
Halipah berkata, tidak salah kerajaan mahu melaksanakan MBE tetapi ia harus menyerlahkan agenda bumiputera dengan berasaskan Perlembagaan Persekutuan perkara 153.
''Asas kita adalah Perlembagaan perkara 153. MBE tidak boleh lari daripada peruntukan ini. Tambahan pula terbukti yang pelaksanaan dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada agenda bumiputera tidak pernah membantutkan perkembangan ekonomi Malaysia," ujarnya.

No comments:

Post a Comment