Sunday, May 30, 2010

Nelayan bantah projek tambak pantai





ORANG ramai tidak menghiraukan bahaya dengan memancing berhampiran projek menambak pantai yang menyukarkan nelayan bot kecil untuk turun ke laut di Teluk Ketapang, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 29 Mei - Kira-kira 50 nelayan di Pantai Teluk Ketapang di sini merungut pendapatan mereka terjejas ekoran tidak dapat turun ke laut kerana kerja-kerja penambakan pantai di kawasan itu.
Menurut nelayan terlibat, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat membekalkan ikan kepada pemborong dan pembeli ikan yang merupakan pembeli utama hasil laut itu.
Seorang nelayan, Abdul Halim Long, 43, berkata, dia sudah enam hari tidak dapat turun ke laut sejak projek penambakan pantai itu dijalankan 10 hari lalu.
Menurutnya, terdapat batang paip di gigi air yang menghalang nelayan menurunkan bot ke laut.
''Saya tidak mampu mengangkat bot gentian kaca ini dari pantai ke laut seorang diri. Ia berat. Sebab itu saya tak dapat turun ke laut sejak projek penambakan itu dijalankan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rakannya, Mohd. Noor Taib, 51, berkata, mereka kehilangan pendapatan bersih antara RM30 hingga RM40 sehari kerana tidak dapat keluar menangkap ikan.
''Kebanyakan daripada kami bergantung penuh dengan pendapatan menangkap ikan untuk menyara keluarga. Jika keadaan ini berterusan, bagaimana kami nak meneruskan hidup.
''Ini tidak bermakna kami menentang projek ini kerana tahu ia untuk keindahan kawasan ini, jadi kami minta ia dipercepatkan supaya tidak terus mengganggu sumber pendapatan nelayan," ujarnya.
Dia juga berharap pihak berkenaan akan membantu menyediakan pampasan kepada golongan nelayan terlibat ekoran pelaksanaan projek tersebut.
Dalam pada itu Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Teluk Ketapang, Mohd. Razaki Abdullah, 60, berkata, pihaknya telah mengajukan masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman.
''ADUN meminta saya mengumpul nama-nama nelayan yang terlibat dan akan berusaha membantu mereka. Namun setakat ini kami masih belum dimaklumkan mengenai tindakan penyelesaian yang akan diambil," katanya.

No comments:

Post a Comment