Sunday, May 30, 2010

MBE cabar kepentingan Melayu



SEBAHAGIAN yang hadir pada Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE 2010 anjuran Majlis Perundingan Melayu di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Mei - Dasar ekonomi yang tidak mengambil kira kepentingan bumiputera seperti Model Baru Ekonomi (MBE) disifatkan sebagai satu agenda halus untuk mencabar kepentingan politik dan ekonomi Melayu.
Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam malah menganggap, pihak yang membenarkan dasar itu dilaksanakan telah memungkiri janji para pemimpin terdahulu kerana kegagalan mempertahankan kepentingan bumiputera.
''Usaha melindungi hak istimewa orang Melayu telah dibuat sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi dan ia adalah hasil kesedaran pemimpin-pemimpin kita terdahulu. Perkara ini merupakan satu fakta sejarah dan ia telah didokumenkan.
''Akhirnya peruntukan ini dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu saya minta mereka yang berhasrat melaksanakan dasar seperti ini supaya menghentikan rancangan berkenaan kerana ia amat bertentangan dengan perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ulasan mengenai tajuk Agenda Melayu Dalam MBE pada Kongres Ekonomi Bumiputera: MBE di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kongres sehari itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Dalam pada itu Ramlah berkata, rancangan untuk melaksanakan dasar ekonomi tanpa agenda Melayu juga boleh dianggap sebagai menyokong perjuangan pembangkang khususnya DAP dalam menjayakan konsep 'Malaysian Malaysia'.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Rajani Ramlan ketika mengulas isu sama menggesa kerajaan supaya menubuhkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
''Kementerian ini perlu dihidupkan kembali kerana ia memberi tumpuan khusus kepada pembangunan golongan bumiputera dalam pelbagai sektor," kata Pengurus Besar Yayasan Kajian Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Malaysia (DPPMM) itu.

No comments:

Post a Comment