Sunday, May 30, 2010

Saya tidak perlu mohon maaf - T. Mohan



KUALA LUMPUR 29 Mei - Ketua Pemuda MIC, T. Mohan menegaskan yang beliau tidak perlu memohon maaf kepada UMNO kerana mendakwa tidak pernah menuduh parti tersebut atau mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) terlibat dengan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).
Menurut beliau, kenyataannya sebelum ini telah diputar belit oleh sesetengah pihak sehingga beberapa pemimpin UMNO salah faham.
"Saya hanya mengatakan jika UMNO terlibat, MIC akan mengkaji kedudukan parti tersebut dalam BN.
"Saya tidak pernah menuduh UMNO kerana saya hanya mengatakan 'jika' dan saya tidak perlu memohon maaf kepada UMNO dalam soal itu,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah beliau akan menuruti jejak langkah S. Vell Paari, anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu yang memohon maaf secara terbuka setelah menuduh UMNO terlibat dengan GAS.
Mohan berkata, Vell Paari menuduh UMNO secara langsung dalam kenyataannya sebelum ini dan itu hak beliau untuk memohon maaf secara terbuka.
"Situasi kami berbeza dan harap semua pihak dapat menilai semula kenyataan saya sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment