Sunday, May 30, 2010

Samy gesa hentikan desakan percepatkan peralihan kuasa



SEREMBAN 29 Mei - "Saya sudah umumkan akan menyerahkan jawatan Presiden kepada Timbalan Presiden... apa mahu lagi? Saya sudah tetapkan tarikh peralihan kuasa ini... apa mahu lagi?
Demikian ditegaskan oleh Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu sekali gus menggesa agar desakan ke atas beliau untuk mempercepatkan peralihan kuasa jawatan Presiden itu dihentikan atau bakal merosakkan parti.
"Kalau nak rosakkan nama parti...buat macam orang gila...kita nak sokong dia kah?," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan di Wisma MIC di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, dua Naib Presiden, Datuk Dr. Subramaniam dan Datuk S.K. Devamany, Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan, Bendahari MIC, Datuk Jaspal Singh, Ketua Wanita MIC Datin Paduka Komala dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Sembilan Datuk T. Rajagopalu.
Dalam ucapannya lagi beliau juga mendakwa usaha sedang dilakukan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan pergolakan dalam parti dan menjadikan MIC tidak relevan lagi.
"Sejak seminggu yang lalu, MIC dijadikan 'punching beg' oleh pihak tertentu yang ingin melihat parti berpecah dan hilang sokongan serta keyakinan masyarakat India.
"Usaha dibuat untuk mewujudkan pergolakan dalam parti dan menjadikan MIC tidak relevan lagi," katanya.
Kata beliau, pergolakan ini boleh melemahkan dan merugikan parti dan kerana itu MIC mesti kuat.
"Sebagai Presiden, saya berjanji pada semua ahli parti bahawa saya tidak akan benarkan perkara ini berlaku. Oleh itu, saya perlukan sokongan dan kerjasama semua pihak untuk memastikan parti kita kuat dan stabil.
"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan parti kukuh dan kuat sebelum saya serahkan jawatan saya sebagai Presiden parti kepada pemimpin baru. Kekuatan saya datangnya dari semangat setiap ahli," katanya.
Tambahnya, MIC mempunyai cara sendiri untuk menguruskan parti dan tidak memerlukan 'orang luar' mencampuri urusannya.
"Kalau guna orang luar campur tangan, kita akan dipergunakan. Pihak yang tidak bertanggungjawab mahu menghancurkan parti kita.
"Oleh itu, kita perlu sedar dan saya menyeru agar semua ahli terus bersatu dan mengutamakan perpaduan serta memberi sokongan kepada kepimpinan parti untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat India," katanya.

No comments:

Post a Comment