Tuesday, June 29, 2010

115 tok batin sertai lawatan sambil belajar


IPOH 28 Jun - Seramai 115 tok batin dari seluruh Perak menyertai lawatan sambil belajar selama tiga hari ke Sarawak bermula semalam.
Program yang julung-julung kali diadakan itu diharap mampu memberi pendedahan mengenai program-program pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan kepada pemimpin masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, masyarakat Orang Asli perlu bergerak seiring dengan pembangunan negeri dan negara supaya mereka tidak terus ketinggalan.
''Bagi mencapai hasrat ini, pendidikan adalah usaha paling penting dan berharga untuk memastikan masyarakat Orang Asli dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lain," katanya di sini semalam.
Beliau berucap pada majlis Sepetang Bersama 115 Tok Batin Masyarakat Orang Asli yang menyertai lawatan tersebut.
Mengulas lanjut menurut Zambry, kerajaan berusaha menyediakan pelbagai bantuan seperti kemudahan pengangkutan ke sekolah, bayaran yuran dan pakaian seragam kepada anak-anak Orang Asli bagi memastikan mereka dapat terus belajar dalam suasana lebih selesa.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap lawatan sambil belajar itu akan memberi peluang kepada tok-tok batin untuk menimba ilmu berhubung program-program pembangunan demi kebaikan bersama.
Sementara itu, beberapa tok batin yang ditemui menyambut baik program lawatan yang dianjurkan itu.
Tok Batin Kampung Jong Lasah di Sungai Siput, Alum Alang berkata, usaha tersebut membuktikan kerajaan negeri benar-benar ikhlas mahu melihat masyarakat Orang Asli keluar daripada kepompong kehidupan mereka.
''Ini bukti kerajaan negeri mengiktiraf Orang Asli. Saya harap program seperti ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa,'' katanya.

No comments:

Post a Comment