Tuesday, June 29, 2010

China tegah askar bercinta di Internet


BEIJING 28 Jun - Tugas bagi pegawai tentera di China telah 'ditambah' iaitu mencari jodoh, selepas kerajaan melarang anggota tentera daripada bercinta secara dalam talian kerana khuatir mereka akan membocorkan maklumat yang sensitif.
Komander Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) yang mempunyai kekuatan anggota seramai 2.3 juta sedang mengkaji kaedah bagi membantu setiap anggotanya untuk menemui cinta mereka, lapor akhbar China Daily.
Blog, bercinta, mencari kerja secara dalam talian dan membina jaringan kenalan dalam dunia adalah tidak dibenarkan serta diletakkan di bawah Peraturan Hal Ehwal Dalaman, berkuat kuasa mulai 15 Jun lalu, kata laporan yang dipetik daripada sebuah akhbar tentera.
"Orang yang mempunyai motif tersembunyi akan menggunakan tentera bagi mendapatkan maklumat peribadi dan boleh mengancam keselamatan tentera," kata pegawai tentera di Tibet, Ying Jui yang dipetik daripada akhbar PLA Daily.
Pasukannya di bandar Shigatse sedang membantu mencari jodoh dari pejabat kerajaan tempatan dan persekutuan parti komunis wanita, kata laporan itu.
Akhbar China Daily berkata, carian di Internet akan memaparkan maklumat mengenai tentera yang masih bujang dan artikel yang mengandungi maklumat rahsia ketenteraan melalui laman peribadi.
Pegawai polis separa tentera telah menganjurkan parti yang terletak beribu-ribu kilometer, di wilayah selatan pulau Hainan bagi anggota tentera tua yang masih belum berkahwin untuk bertemu wanita yang bekerja di cawangan syarikat tempatan, China Mobile. - REUTERS

No comments:

Post a Comment