Tuesday, June 29, 2010

Pindaan ISA dilulus Peguam Negara



KUALA LUMPUR - Pindaan kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan enam undang-undang pencegahan yang lain diluluskan Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa ke kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk, Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua pindaan itu diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi ini tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan.

"Pindaan kepada ISA dan akta-akta pencegahan siap dibincangkan antara kementerian, Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara. Bagaimanapun ada beberapa perkara lagi yang kita perlu perhalusi berkaitan akta berkenaan sebelum dibawa kepada kabinet," katanya selepas sesi taklimat antara kementerian, PDRM dan wakil Peguam Negara Datuk Idrus Harun di Parlimen hari ini.

Selain ISA, undang-undang yang akan dipinda adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan.

Pada Mac lalu, kabinet memutuskan pindaan ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda. - Bernama

No comments:

Post a Comment