Tuesday, June 29, 2010

Pelawak terkenal S. Shamsudin masih kritikal selepas terjatuh


KUALA LUMPUR 28 Jun _ Keadaan pelawak veteran terkenal, S. Shamsudin (gambar), 81, masih lagi kritikal selepas dimasukkan ke hospital malam Sabtu lalu.
Pelawak terkenal yang juga sahabat baik Shamsudin, Datuk Aziz Sattar memberitahu, dia telah menghubungi anak bongsu sahabatnya, Noredah, itu untuk mendapatkan perkembangan terkini keadaan Shamsudin.
"Memang keadaan beliau masih kritikal dan belum menampakkan tanda-tanda untuk pulih.
"Daripada apa yang diberitahu kepada saya juga, beliau akan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bila-bila masa sahaja.
"Sememangnya berita ini cukup menyedihkan dan saya akan terus berdoa agar dia kembali pulih meneruskan kehidupan," jelas Aziz dalam nada sedih ketika dihubungi Utusan Malaysiadi sini hari ini.
Shamsudin dimasukkan ke Hospital Alexandra, Singapura selepas terjatuh dalam bilik air di rumah anak bongsunya sehingga tulang pinggulnya retak.
Aziz turut menjelaskan faktor usia juga menyebabkan sahabatnya itu masih dalam keadaan kritikal.
Katanya, insiden itu berlaku pada hari yang sama selepas beliau bersama-sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim melawat Shamsudin di rumah anak bongsunya, di Bukit Batok, Singapura.
Rais kemudian menyampaikan kepada Shamsudin sumbangan RM10,000 daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian dan Finas.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim.
Dalam pada itu, Aziz memberitahu, dia akan ke Singapura malam ini bersama Datuk Mustapha Maarof untuk menziarahi Shamsudin.
"Saya akan terus berada di Singapura sehingga ada perkembangan positif tentang sahabat saya.
"Untuk itu, saya menyeru kepada semua pihak mendoakan agar kesihatan insan yang kita sayangi ini pulih dan sihat," katanya penuh harapan.

No comments:

Post a Comment