Sunday, June 20, 2010

300 remaja Melayu salah laku seksual, seks bebas


Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/06/20

pix_gal0
Pengaruh rakan sebaya punca utama gejala: Kajian UPM

KUALA LUMPUR: Kajian terbaru Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas, ehingga ada yLebih mengejutkan, kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu, bukan saja tidak kesal, malu atau takut dari segi dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.

Menurut kajian itu, mereka yang terjebak dengan gejala terbabit bukan disebabkan faktor tekanan akibat kegagalan institusi keluarga termasuk rumah tangga porak-peranda, sebaliknya tertarik dengan pengaruh rakan sebaya. Sebahagian besar mereka juga mengakui menerima pendidikan agama mencukupi.

Dapatan itu diperoleh daripada kajian enam bulan bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ dengan 400 responden ditumpukan kepada dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan juga kawasan luar bandar, iaitu pelajar sekolah menengah daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima serta remaja di bawah usia 25 tahun. Kajian itu siap sepenuhnya Disember lalu.

Pengarah Pusat Kokurikulum UPM yang mengetuai kajian itu, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata ada responden mengakui terdedah kepada ‘dunia seksual’ seawal sekolah rendah, termasuk muat turun gambar lucah melalui telefon bimbit, menonton video lucah dan melayari laman web pornografi.

Beliau yang memfokus kepada pembinaan modal insan, pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah dalam bidang tugasannya berkata, penggunaan bahasa serta isyarat lucah dalam komunikasi dan pergaulan harian bersama rakan sebaya pada usia begitu mentah juga menjadi amalan mereka. 
“Lebih menyedihkan apabila yang menjadi keutamaan remaja terbabit dengan seks bebas itu ialah ‘buat selagi tidak mengandung’. Mereka langsung tidak mementingkan soal dosa seolah-olah agenda ketuhanan tiada dalam hidup.

“Ada responden yang menjawab mereka tahu perbuatan itu berdosa tetapi berkata ‘enjoy dulu, nanti taubatlah’. Ini bermakna remaja berkenaan ada pengetahuan dan kesedaran agama, tetapi ia tidak menyentuh jiwa mereka.

“Walaupun dapatan kajian di luar bandar dan Lembah Klang menunjukkan hasil lebih kurang sama, senario di luar bandar itu boleh dianggap lebih mengejutkan apabila ramai remajanya turut terjebak dengan gejala ini sedangkan kawasan berkenaan tidak mendapat pendedahan seperti di bandar raya,” katanya kepada Berita Harian.

Mohammad Shatar berkata, kajian membabitkan jumlah seimbang dari segi responden lelaki dan perempuan itu dilakukan sebagai projek tahun akhir pelajarnya dengan menyenaraikan 25 aktiviti salah laku seksual daripada peringkat ‘ringan-ringan’ seperti meraba, bercium dan berpeluk hingga peringkat kes berat meliputi seks bebas serta menggugurkan janin.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati ada beberapa faktor yang umpama ‘mencurah minyak ke dalam api’ yang menambah kepada gejala itu, termasuk kebebasan dan kepercayaan terlalu tinggi diberikan oleh ibu bapa kepada anak.

“Memang amat penting untuk memberi pendidikan agama secukupnya kepada anak, tetapi itu bukanlah jaminan kerana ia mesti dilengkapi pengawasan berterusan daripada ibu bapa. Jangan terlalu bersangka baik atau menjadikan penampilan luaran anak seperti dari segi cara berpakaian dan tingkah laku sebagai ukuran mutlak bahawa mereka selamat atau terhindar daripada pengaruh gejala seks ini.

“Pengaruh luar amat berkuasa terhadap remaja, lazimnya bukan daripada keluarga sendiri. Justeru, ibu bapa tetap perlu berhati-hati dengan menyimpan 50 peratus ketidakpercayaan terhadap anak, termasuk membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

“Selain itu, disyorkan ibu dan bapa melakukan ‘pemeriksaan fizikal’ yang sewajarnya dan secara berhemah terhadap anak perempuan dan juga anak lelaki dari semasa ke semasa demi memastikan mereka tidak menyembunyikan sebarang ‘tanda’ berkaitan.

“Dalam konteks ini, jangan mudah terpedaya dengan ideologi kebebasan peribadi dari Barat kerana ada ibu bapa harus mengetepikan elemen privasi demi menyelamatkan anak selagi tindakan yang diambil tidak melampaui batasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment