Sunday, June 20, 2010

TUDM adakan lebih banyak latihan bersama AS


20/06/2010 3:14pm

KUALA LUMPUR 20 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mahu mengadakan lebih banyak latihan ketenteraan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) pada masa akan datang.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan memandangkan Amerika Syarikat (AS) mempunyai banyak doktrin dan strategi ketenteraan yang baru yang boleh dipelajari TUDM.
"Penekanan kita sekarang adalah mungkin kita akan melaksanakan lebih banyak latihan bersama AS. Kita nak pelajari daripada mereka dan akan menyesuaikannya dengan TUDM," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Hari Terbuka Muzium TUDM di Pangkalan Udara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Azizan Ariffin serta bekas-bekas Panglima TUDM.
Mengenai Hari Terbuka Muzium TUDM, Rodzali berkata, ia adalah salah satu daripada acara yang diadakan sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-52 yang disambut pada 1 Jun lalu.
"Hari ini adalah untuk kita mengingati jasa-jasa pejuang kita dan memastikan sejarah TUDM tidak luput begitu saja. Ini amat penting bagi kita," katanya.
Katanya, orang ramai berpeluang melihat dengan lebih dekat aset-aset TUDM yang telah digunakan sejak penubuhannya pada 1958.
Kira-kira 5,000 orang mengunjungi Hari Terbuka Muzium TUDM itu.
Antara aktiviti yang diadakan adalah para-gliding jump, belon panas, simulator penerbangan, pameran kerjaya dan pameran pesawat-pesawat lama milik TUDM. - Utusan

No comments:

Post a Comment