Sunday, June 20, 2010

Hari lahir dalam tahanan rumah


ANGGOTA NLD menyiapkan kek hari lahir dalam sambutan ulang tahun kelahiran ke-65 Suu Kyi di rumah seorang penyokong di Yangon, semalam. - REUTERS


YANGON 19 Jun - Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi menyambut ulang tahun kelahiran ke-65 di bawah penahanan rumah hari ini ketika aktivis dan pemimpin seluruh dunia terus mendesak junta membebaskan beliau.
Rejim tentera telah menahan pemenang Hadiah Nobel itu selama hampir 15 tahun dan menghalang beliau dari bertanding dalam pilihan raya yang bakal diadakan, yang dikritik sebagai satu tipu daya yang bertujuan mengukuhkan kedudukan jeneral-jeneral.
Dalam satu mesej hari lahir, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memuji Suu Kyi sebagai seorang yang 'mempunyai keazaman, keberanian dan sanggup berkorban bagi menjayakan hak asasi manusia dan perubahan demokratik'.
"Saya sekali lagi menggesa kerajaan Myanmar supaya membebaskan Suu Kyi dan semua tahanan politik dengan segera tanpa sebarang syarat bagi membolehkan mereka membina Myanmar yang lebih stabil, lebih makmur dan menghormati hak semua rakyatnya," tegas beliau lagi.
Kira-kira 400 penyokong ikon demokrasi itu mengadakan satu majlis hari jadi di rumah mereka di utara Yangon tanpa kehadiran Suu Kyi.
"Kami ahli Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan rakan-rakannya mendoakan supaya Suu Kyi akan dibebaskan tidak lama lagi," kata Win Tin, seorang bekas tahanan politik dan pemimpin kanan NLD.
Penyokong Suu Kyi yang sebahagian daripadanya memakai kemeja-T tertera imej wanita tersebut, berdoa di hadapan potretnya dan memotong kek hari jadi.
Ahli-ahli NLD turut menanam lebih 20,000 anak pokok di seluruh Myanmar bagi meraikan hari lahir pemimpin itu, sementara pelbagai majlis turut dirancang di bandar-bandar seluruh dunia daripada berjaga malam sambil memasang lilin di Tokyo dan Auckland hingga kepada perhimpunan perpaduan di Washington.
Di Prague, aktivis kemanusiaan menulis mesej buat ikon demokrasi itu pada satu dinding grafiti yang dihiasi gambar Suu Kyi.
Penyokong beliau turut menyatakan mesej sokongan di Facebook dan laman-laman web rangkaian sosial lain. - AFP

No comments:

Post a Comment