KUALA LUMPUR: Akibat penangan cinta seorang pelayan pelanggan (GRO), seorang pegawai syarikat swasta bukan saja sanggup meninggalkan anak isteri tanpa nafkah, malah tergamak menggadaikan semua barang milik keluarganya semata-mata mahu menggembirakan hati wanita yang berusia 11 tahun lebih tua daripadanya.
Lelaki berusia 35 tahun terbabit kini hidup papa kedana dan menjadi ‘pak sanggup’ GRO yang sudah bergelar isterinya selepas dipercayai berkahwin di selatan Thailand.
Bekas isteri lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, 37, berkata disebabkan menderita dengan sikap suaminya hampir setahun, dia terpaksa meminta diceraikan dan mereka berpisah pada 11 Mac lalu.
“Saya tidak tahu sama ada bekas suami saya terkena buatan GRO terbabit kerana perangainya berubah sejak mereka berkenalan di sebuah pusat karaoke dua tahun lalu.
“Saya mengaku kesilapan saya kerana terlalu percayakan dia sebelum ini. Setiap kali dia keluar rumah dengan alasan bermain golf atau bersama rakan, saya tidak kisah tanpa menyedari dia menjalinkan hubungan sulit,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, hubungan sulit bekas suaminya itu terbongkar selepas adik iparnya mendedahkan semua aktiviti lelaki terbabit kerana tidak tahan dengan sikap abangnya.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan suami saya sudah menjadi kaki arak dan sanggup menipu saya untuk mendapatkan wang semata-mata mahu melangsaikan hutang kekasihnya.
“Sejak berkenalan dengan wanita berusia 46 tahun itu, suami saya sanggup buat apa saja demi memenuhi tuntutan GRO terbabit sampai set golf, telefon bimbit, perakam video, wang simpanan anak dan gaji saya dicuri serta dijual demi kekasihnya,” katanya.
Sofia berkata, disebabkan GRO terbabit, dirinya yang ketika itu sarat mengandung anak keempat tidak dipedulikan.
“Selepas melahirkan anak bongsu kami, dia hanya menjenguk beberapa kali saja terutama apabila mahu meminta wang kononnya untuk menjalankan perniagaan. Saya percaya pada kata-katanya sehingga semua wang di bank habis dikeluarkan.
“Sekarang selepas berpisah, saya lega kerana terlepas daripada penyeksaan emosi. Anak kami yang bongsu turut tidak mengenali siapa bapanya,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 12 hingga dua tahun hasil perkongsian hidup selama 12 tahun dengan bekas suami.
Menurutnya, dia pernah dua kali terserempak dengan GRO terbabit, tetapi ketika berdepan wanita itu, dia diejek tidak tahu menjaga suami sehingga terlepas ke tangan orang lain. Sementara itu, adik ipar Sofia yang hanya mahu dikenali sebagai Amar, 27, berkata dia terpaksa mendedahkan sikap abangnya selepas melihat terlalu banyak perubahan sehingga tergamak mengherdik ibu bapa mereka yang menegur perbuatan menjalin hubungan dengan GRO.
“Saya terpaksa memberitahu perkara itu selepas saya dipaksa menjadi orang tengah untuk meminta wang daripada kakak ipar demi melayan GRO terbabit.
“Sebelum berkenalan dengan wanita itu dia menghormati ibu bapa dan suami yang bertanggungjawab. Saya berharap dia dapat berubah kerana kehidupannya sekarang sudah tidak terurus umpama merempat,” katanya.
No comments:
Post a Comment