Sunday, June 20, 2010

Lebih Banyak Kamera Dipasang Untuk Pertingkat Keselamatan Dubai


Oleh Muin Abdul Majid

DUBAI, 20 Jun (Bernama) -- Dubai, tempat berlakunya pembunuhan seorang agen Hamas awal tahun ini, akan dilengkapi dengan lebih banyak kamera pemantau bagi meningkatkan keselamatan, demikian menurut seorang pegawai polis.

Ketua Polis Dubai Lt Jen Dahi Khalfan Tamim berkata langkah itu perlu, selaras dengan sebuah bandaraya yang berkembang pesat.

"Kita akan mempunyai kamera di serata tempat," katanya kepada harian The National.

Harian itu menyatakan terdapat 25,000 kamera keselamatan di Dubai, salah sebuah negara bandaraya di Emiriah Arab Bersatu.

Jumlah itu dijangka meningkat dengan pemasangan kamera berkalih yang boleh meliputi "sudut tersembunyi".

Tamim berkata pasukan polis akan bertugas mengikut pelan strategik yang dikaji dengan baik dan tidak setakat bertindak balas terhadap peristiwa tertentu.

Kira-kira 500 juta dirham akan dibelanjakan untuk mempertingkat keselamatan Dubai, lapor harian itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment