Sunday, June 20, 2010

Parlimen Batu keliru

KUALA LUMPUR: Satu persoalan timbul sama ada pemimpin pembangkang Tian Chua perlu mengosongkan kerusi Parlimen Batu selepas Mahkamah Tinggi semalam mengurangkan dendanya kepada RM2,000 kerana menggigit seorang anggota polis pada Disember 2007.
Pengerusi DAP Karpal Singh (gambar) berkata, kerusi Parlimen itu perlu diisytiharkan kosong mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Anggota Parlimen hilang kelayakan jika dia disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan.
Karpal berkata, mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seorang Anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika tidak merayu keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari. Tian Chua, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, ialah ketua penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Karpal yang juga peguam memberitahu media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta bahawa pada 1975, Anggota Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu selepas dipenjara enam bulan dan didenda RM2,000 selepas didapati bersalah mengikut Akta Hasutan. Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Tian Chua bertegas bahawa anak guamnya kekal sebagai Anggota Parlimen dan hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf.

Hakim Datuk Ghazali Cha, ketika mendengar rayuan Tian Cua, mengenepikan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret pada Oktober tahun lepas dan menggantikannya dengan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara. Dalam penghakimannya, hakim itu berkata Tian Chua mungkin hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen jika hukuman terdahulu dilaksanakan dan pilihan raya kecil perlu diadakan.

Amer Hamzah berkata, dalam kes Leong Yin Ming pada 1993, Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bahawa perkataan ‘tidak kurang lima tahun’ bermaksud lima tahun dan sehari, dan ini boleh diguna pakai dalam kes Tian Chua.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, keputusan sama ada kerusi Parlimen Batu kosong atau sebaliknya selepas penyandangnya disabitkan kesalahan dan denda oleh mahkamah akan hanya diputuskan pejabat Speaker Dewan Rakyat. Beliau berkata, perkara itu termaktub dalam Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan bahawa pejabat Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa bagi menentukan status sesebuah kerusi Parlimen. Perkara 53 (1) menyebut ‘jika berbangkit apa-apa persoalan sama ada ahli Majlis Parlimen hilang kelayakan, soal itu hendaklah diputuskan Majlis Parlimen dan keputusan itu adalah muktamad’. “SPR hanya menunggu notifikasi atau pemakluman rasmi daripada Pejabat Speaker Dewan Rakyat,” katanya. - Bernama.

No comments:

Post a Comment