Sunday, June 20, 2010

Saman: Perkasa beri penjelasan


KOTA BHARU 19 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menjelaskan, tindakannya mahu menyaman kerajaan jika terdapat pelajar cemerlang bumiputera tidak mendapat biasiswa adalah semata-mata mahu menunjukkan bahawa tidak semua pelajar Melayu diberikan biasiswa.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu diambil kerana terdapat parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikaikan kerajaan kerana tidak memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang kaum lain.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan kerana memahami kerajaan memerlukan peruntukan yang besar jika mahu memberikan biasiswa kepada semua pelajar cemerlang.
"Isu tuntutan biasiswa untuk pelajar Cina dan India telah dibincang secara meluas oleh blog dan portal berita terutama ketika berlaku pergaduhan di Parlimen minggu lalu yang juga berpunca daripada perkara yang sama.
"Jadi saya ingin memberitahu bahawa ada pelajar cemerlang bumiputera juga tidak mendapat biasiswa sedangkan mereka berhak mengikut Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas menutup Wacana Kefahaman dan Penghayatan Agenda Ekonomi di sini hari ini.
Dua kertas kerja dibentangkan pada wacana tersebut iaitu oleh Naib Presiden Perkasa, Dr. Zubir Harun dan Anggota Dewan Tertinggi Perkasa, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam.
Ibrahim berkata, kaum lain tidak boleh menyaman kerajaan atas isu biasiswa disebabkan mereka tidak berhak mengikut Perlembagaan.
"Disebabkan itu saya cadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan tabung khas dengan mengumpul dana daripada hasil perniagaan yang dimiliki kaum tersebut dan tidak boleh diceburi oleh orang Islam seperti arak dan judi.
"Cukai daripada hasil perniagaan ini digunakan untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang mereka, pada masa sama, semua maklum bahawa ahli perniagaan dari kaum ini mempunyai kuasa wang yang kuat," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Perkasa mengecam tindakan Ketua Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malick Sow yang membuat kenyataan terburu-buru berhubung pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau turut mempersoalkan apakah motif sebenar kenyataan itu dibuat dan adakah suara Malick mewakili PBB.
"Banyak negara yang mengamalkan undang-undang seperti ini, tahanan tanpa perbicaraan seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.
"Kenapa beliau tidak mempersoalkan apa yang dilakukan di Singapura? Di sana lebih ketat malah sesiapa sahaja yang mengkritik bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuen Yew akan dikenakan tindakan.
"Cuba bayangkan apa akan jadi jika tiada ISA dengan pelbagai isu yang timbul sekarang seperti kalimah Allah, kepala babi dilempar dalam masjid dan kepala lembu dipijak, itu sebabnya akta ini masih diperlukan, lagi pun Menteri Dalam Negeri telah menjelaskan beberapa kali ia akan dipinda pada sidang Parlimen akan datang," katanya.
Tambah beliau, sewajarnya, laporan tersebut dihantar ke PBB terlebih dahulu sebelum diberikan kepada media.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Malick yang dijemput oleh kerajaan negara ini untuk memantau penggunaan akta tersebut selama dua minggu.
Malick dilaporkan berkata, Malaysia perlu menghapuskan ISA kerana ia digunakan sewenang-wenangnya untuk menahan orang tanpa dibicara dan digunakan terhadap ahli politik pembangkang, wartawan dan penulis blog.

No comments:

Post a Comment