Sunday, June 20, 2010

Duta Israel beri amaran kepada konvoi baru


NEW YORK 19 Jun - Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa kerajaan Lebanon dan masyarakat antarabangsa supaya mencegah sekumpulan kapal kecil daripada cuba mencabar sekatan terhadap Gaza, dengan memberi amaran untuk menggunakan 'semua tindakan yang perlu' bagi menghentikan konvoi tersebut.
Gabriela Shalev melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, memberi amaran cubaan penganjur untuk belayar dari Lebanon bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, boleh meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada keamanan serta keselamatan di rantau itu.
Surat Shalev diserahkan tidak lama selepas Ki-moon mendesak rejim Zionis bersetuju dengan satu siasatan antarabangsa berikutan serangan maut komando Israel ke atas kapal Turki yang membawa bantuan ke Gaza pada 31 Mei lalu dan berbuat 'lebih tindakan' bagi memenuhi keperluan rakyat Palestin yang hidup di bawah sekatan tiga tahun mereka.
"Situasi ini mengambil kira konflik berterusan Israel dengan Hamas yang mengawal Gaza, tujuan kapal-kapal itu untuk mencabar sekatan dan pelayaran mereka dari Lebanon, yang masih dianggap sebagai sebuah negara yang bermusuhan dengan Israel.
"Israel mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk melakukan apa sahaja tindakan bagi mencegah kapal-kapal itu daripada mencabul sekatan laut sedia ada yang dikenakan terhadap Genting Gaza," kata duta itu melalui suratnya.
Rejim Yahudi itu menguatkuasakan sekatan pada 2007 selepas Hamas memerintah Gaza.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak desakan menarik balik sekatan, dengan menegaskan ia boleh menghalang serangan peluru berpandu terhadap Israel.
Shalez berkata, niat sebenar penganjur flotila dari Lebanon 'mencurigakan', berdasarkan kenyataan sukarelawan dalam media yang mengatakan mereka berhasrat untuk 'mati syahid'.
Duta itu turut membangkitkan 'satu hubungan yang mungkin' antara penganjur dengan kumpulan Hizbullah Lebanon dan berkata Israel tidak boleh mengenepikan kemungkinan bahawa pengganas atau senjata mungkin diseludup dalam flotila berkenaan.
"Berdasarkan pandangan ini, Israel menggesa Lebanon mencegah kapal-kapal itu daripada belayar ke Genting Gaza. Israel juga menggesa masyarakat antarabangsa supaya menggunakan pengaruhnya dalam usaha menghalang konvoi flotila itu daripada belayar dan tidak menggalakkan negara luar daripada terlibat dengan misi sama," ujar Shalez. - AP

No comments:

Post a Comment