Friday, September 10, 2010

4 beradik beraya dalam kepiluan





Muhammad Zaidi Roslley (kanan) bersama adik-beradiknya menunjukkan gambar ayah dan ibu di rumah mereka di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.


JEMPOL 9 Sept. - Dalam kegembiraan umat Islam menyambut kedatangan Syawal esok, ada insan terus dirundung kesedihan apabila meraikannya sebagai anak yatim piatu.
Empat adik-beradik iaitu Muhammad Zaidi Roslley, 25, Nurul Zailin, 21, Muhammad Ikhwan, 17, dan Nurul Syamimi, 11, adalah antara insan yang terpaksa menahan kesedihan sewaktu menyambut Aidilfitri kerana merayakannya tanpa orang tersayang.
Apatah lagi apabila memikirkan mereka kehilangan tiga insan penting dalam hidup apabila nyawa diragut serentak dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah, 19 Mac lalu.
Ayah dan ibu keempat-empat beradik tersebut, Roslley Hassan, 48, dan Roziah Shamsudin, 42, serta adik, Muhammad Zaidi, Muhammad Danish Zakuan yang berusia setahun lima bulan maut dalam nahas tersebut.
"Masih terbayang detik cemas dan kehilangan insan tersayang.
"Waktu itu, Proton Saga yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Serting Hilir (Jempol) menuju ke Seremban sebelum bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
"Saya tidak menduga, anak saya juga terkorban dalam kemalangan itu," kata Muhammad Zaidi ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, biarpun mereka semua sudah tiada, dia dan adik-adiknya bersyukur kerana sanak-saudara sentiasa bersama mereka mengharungi saat getir ini.
"Suasana sedih ini amat dirasai pada Aidilfitri ini, lebih-lebih lagi ini adalah tahun pertama kami meraikan tanpa ibu, ayah serta adik lelaki tunggal saya yang kembali ke rahmatullah," katanya.
Sementara itu, Nurul Zailin berkata, dia sangat merindui dan terkenang saat-saat manis ketika bersama dengan ibu dan ayahnya.
"Biasanya bila kami menyambut Aidilfitri, ibu dan ayah merupakan orang paling sibuk menyiapkan persiapan kami adik-beradik termasuk menghias rumah dan membuat kuih raya.
"Kali ini, kami merasa terlalu sunyi dan sambutan Aidilfitri kali ini dilakukan dalam suasana sederhana," katanya.
Dalam pada itu, Nurul Syamimi yang kini menetap bersama ibu saudaranya di Rembau berkata, walaupun tidak tinggal serumah bersama adik beradik lain dia tetap merindui dan menyayangi adik-beradiknya.
"Walaupun terpaksa berpisah buat seketika, saya gembira kerana mula bersekolah di sini malah ibu saudara menjaga selama ini sudah dianggap seperti ibu sendiri," katanya.
Katanya, dia terkenang rendang yang dimasak ibu pada Aidilfitri ini.
"Kami adik beradik akan membersihkan rumah dan menziarahi kubur ibu dan ayah sebagai tanda ingatan pada hari raya ini," katanya.

No comments:

Post a Comment