Begitulah perasaan seorang ibu tunggal anak lima, Rohaya Rahman, 45, selepas kehilangan suami tersayang, Mohd. Yusuf Manap kira-kira lima tahun lalu kerana jangkitan paru-paru.
Kematian suami berlaku sewaktu kejadian banjir besar melanda Kampung Parit Benteng, Sungai Rambai di sini, penghujung tahun 2006.
Kejadian tersebut masih lagi terpahat di dalam diri enam beranak ini apatah lagi mereka kehilangan tempat bergantung.
Menurutnya, selepas kehilangan arwah suaminya empat tahun lalu, kedatangan Aidilfitri bagaikan tiada makna buat dirinya sekeluarga malah kemeriahan Syawal yang dirasainya juga tidak seceria dulu.
"Sejak empat tahun lalu, sambutan hari raya bagi kami sama seperti hari-hari biasa dan yang pasti tidak semeriah semasa arwah suami masih hidup.
"Selepas kehilangan arwah, saya bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu dengan gaji RM500 sebulan bagi menampung keperluan keluarga," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Rohaya berkata, dengan pendapatan tidak seberapa itu, dia perlu menampung perbelanjaan persekolahan empat anaknya.
Bagaimanapun, katanya, dua daripada empat anaknya itu mendapat biasiswa di sekolah masing-masing.
"Anak sulung sudah bekerja tetapi pendapatannya sebagai pekerja buruh tidak seberapa dan tidak mampu membantu menambah pendapatan keluarga.
"Kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat dengan wang yang ada kerana keperluan anak masih bersekolah amat penting," katanya.
Bagi berkongsi kesedihan yang dialami lima beranak itu, Konvoi Singgah Sahur anjuran Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman.
"Terima kasih kepada semua ahli rombongan yang sudi mengambil berat penderitaan kami sekeluarga. Kami hargai sumbangan yang diberikan ini," katanya.
Sementara itu, Hasan memberitahu, Konvoi Singgah Sahur tahun ini mensasarkan lawatan ke 14 keluarga yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya dalam DUN Sungai Rambai.
Katanya, aktiviti itu diadakan setiap kali Ramadan dan memasuki tahun ketiga penganjurannya.
"Kita lihat dengan aktiviti sebegini dapat membolehkan ahli rombongan memberi fokus kepada masalah dihadapi, di samping mendekatkan diri dengan golongan memerlukan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment