Friday, September 10, 2010

Anifah kutuk rancangan bakar al-Quran



PUTRAJAYA 9 Sept. – Tindakan seorang paderi Amerika Syarikat, Terry Jones yang merancang untuk membakar al-Quran pada 11 September ini membangkitkan kemarahan umat Islam dan bukan Islam.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, rancangan Jones untuk membakar kitab suci umat Islam itu tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia yang mencintakan keamanan.
“Pandangan saya ialah seperti umat Islam yang lain. Ia merupakan tindakan hina yang sukar dibayangkan.
“Tindakannya merupakan serangan ke atas Islam dan akan membangkitkan kemarahan umat Islam dan bukan Islam termasuk umat Kristian sendiri.
“Kita mengutuk tindakan ini kerana seorang pemimpin agama yang baik tidak akan melakukan perkara seperti ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jones merupakan seorang paderi di sebuah gereja kecil yang menyokong falsafah anti-Islam dan menyatakan dia masih berdoa ‘untuk mendapatkan ilham’ sama ada akan meneruskan rancangan untuk membakar al-Quran pada 11 September ini.
Jones telah menerima lebih 100 ancaman bunuh yang mahu dia menarik balik rancangan untuk membakar kitab suci umat Islam itu.
Anifah berkata, beliau percaya kerajaan Amerika Syarikat akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencegah kejadian itu.
“Jika rancangan ini dijalankan, ia akan memberi implikasi besar yang sukar dijangkakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment