Friday, September 10, 2010

Pengerusi Felcra cabar Nik Aziz





PASIR SALAK 9 Sept. - Pengerusi Felcra Bhd. (Felcra), Datuk Tajuddin Abdul Rahman mencabar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membuktikan bahawa tanah ladang kelapa sawit seluas 3,237.4 hektar yang diserahkan kepada kerajaan negeri telah dimanfaatkan untuk rakyat negeri itu.
Tajuddin berkata, tanah bernilai bernilai RM240 juta itu telah diserahkan oleh Felcra kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk kebajikan rakyat negeri itu pada awal tahun ini tetapi beliau difahamkan, tiada seorang individu pun dicalonkan sebagai peserta ladang berkenaan sehingga kini.
Tambah beliau, selain mengembalikan tanah tersebut, Felcra turut memenuhi tuntutan bayaran tambahan RM10 juta yang diminta oleh kerajaan Kelantan.
"Adakah tanah itu dijadikan ladang rakyat oleh kerajaan Kelantan dan adakah rakyat mendapat hasil dari keuntungan ladang tersebut atau wang tersebut masuk ke tabung khas kerajaan negeri atau parti politik?
"Ladang tersebut boleh menghasilkan keuntungan bersih tidak kurang dari RM10 juta setahun jika mengambil kira harga pasaran semasa kelapa sawit,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Felcra Bhd. kepada golongan kurang bernasib di Masjid Bandar Seberang Perak, di sini, kelmarin.
Pada majlis tersebut, seramai 409 penerima yang terdiri daripada 181 anak-anak yatim, 72 orang kurang upaya (OKU), 112 warga emas, 22 fakir miskin dan 11 mangsa ribut menerima wang zakat.
Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah Felcra Bhd. Perak, Mat Roni Zakaria dan Pengurus Felcra Seberang Perak, Muthalib Tais.
Menurut Tajuddin, sekiranya tiada peserta di ladang kelapa sawit itu, ia sangat mendukacitakan kerana ia boleh membantu mengeluarkan rakyat dari kemiskinan.
"Apa sudah jadi dengan tanah ladang kelapa sawit yang diserahkan kepada Kerajaan Kelantan? Mana pesertanya? Ini jelas bertentangan dengan matlamat asal Felcra yang mahu melihat peserta mendapat keuntungan daripadanya," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment