Friday, September 10, 2010

'Aidilfitri suram tanpa kakak'





2010/09/10


MAZANAH (kiri) bersama Safiee menunjukkan gambar Shafikah di Balai Polis Teluk Intan.
MAZANAH (kiri) bersama Safiee menunjukkan gambar Shafikah di Balai Polis Teluk Intan.

TELUK INTAN: "Kakak, pulanglah... kami rindukan kak. Tolong jangan tinggalkan kami. Aidilfitri akan suram tanpa kakak," itu luahan sepasang suami isteri yang sedih selepas anak sulung mereka menghilangkan diri dipercayai mengikuti seorang lelaki Indonesia lari ke Lombok, Sabtu lalu.

Pasangan itu, Mohd Safiee Sardi, 43 dan Mazanah Abdul Latif, 38, menyedari sesuatu perkara buruk berlaku selepas anak sulung mereka, Shafikah Marlina, 16, tidak pulang ke rumah seperti biasa selepas ke bandar Teluk Intan untuk membayar bil telefon, pagi Sabtu lalu.
Mohd Safiee, seorang anggota polis bantuan di Ladang Rubana dekat sini, berkata beliau menurunkan Shafikah atau nama manjanya `kakak' di depan sebuah bank di Bandar Baru Teluk Intan kira-kira jam 9.15 pagi sebelum ke tempat kerja, namun selepas jam 4 petang Shafikah tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan.
"Saya tidak sedap hati dan terus menemui isteri saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di ladang sama.

"Isteri saya berkata dia menerima SMS daripada Shafikah yang mengatakan bahawa dia kini berada di Ipoh kerana melawat seorang rakannya di Hospital Raja Permaisuri Bainun yang cedera akibat kemalangan jalan raya.

"Selepas mempercayai kata-katanya, kami pun menunggu sehingga jam 8 malam sebelum telefon bimbit isteri menerima satu lagi SMS yang mengatakan kereta yang dinaikinya bersama kawan rosak dan akan pulang selepas dibaiki," katanya ketika ditemui bersama isteri membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan, kelmarin.

Safiee berkata, kira-kira jam 9 pagi keesokannya, Mazanah menerima SMS daripada Shafikah mengatakan dia berada di Manjung dan akan pulang tak lama lagi.
Beliau berkata, selepas SMS itu mereka sekeluarga tidak mendapat apa-apa berita daripada Shafikah dan turut gagal menghubunginya sehingga 9 pagi kelmarin, apabila menerima panggilan telefon Shafikah mengatakan dia selamat berada bersama seorang lelaki di Lombok, Indonesia dan meminta mereka tidak risau mengenai keselamatannya.

"Saya terkejut apabila mengetahui anak sulung saya kini berada di Lombok bersama seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh di ladang sama dengan kami.
Kami sekeluarga tidak mampu menahan kesedihan kerana Shafikah jarang keluar rumah dan merayau ke sana sini.

"Dia seorang pendiam tetapi pelajar cemerlang di sekolahnya. Saya percayai anak saya mungkin telah dinodai lelaki berkenaan," katanya.

Beliau mendakwa lelaki yang melarikan anaknya itu bernama Misbah, 20, berasal dari Kuranji, Lombok, Indonesia.

Mazanah berkata, ketika keluar rumah Shafikah memakai seluar jeans warna hitam dan berkemeja T ungu.

"Kami sekeluarga tidak dapat menahan kesedihan kehilangannya apatah lagi 1 Syawal sudah menjelang tiba. Semua persiapan menyambut hari raya sudah dibuat.

"Kami tak dapat menyambut hari raya tanpanya kerana sekian lama kami menyambut bersama-sama. Entah bagaimana kami akan berhari raya kali ini. Kami merayu agar dia pulang semula ke pangkuan keluarga. Kami amat merinduinya," kata Mazanah.

No comments:

Post a Comment