Anggota Jawatankuasa VI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari Parti Amanat National (PAN), Nasril Bahar berkata, Malaysia sebaliknya yang akan mengalami kerugian kerana pelaburan Indonesia di negara itu tidaklah sebesar berbanding pelaburan negara itu di sini.
Menurutnya, krisis yang berlaku antara kedua-dua negara ini secara langsung akan menganggu perjalanan perusahaan Malaysia di Indonesia.
"Dalam jangka pendek, pelaburan negara itu di sini pasti terganggu tetapi kita tidak perlu takut jika Malaysia menghentikan pelaburan mereka di negara ini," kata Nasril kepada akhbar Seputar Indonesia.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan akan ada perusahaan Malaysia yang dihentikan di Indonesia jika krisis politik itu tidak dapat diselesaikan.
Namun tegasnya, perselisihan antara kedua-dua negara perlu diselesaikan dengan mengutamakan kehormatan kemanusiaan dan toleransi.
"Begitu juga di sektor industri, pelaburan Malaysia di negara ini harus menguntungkan kedua-dua pihak dan berpandukan asas toleransi bernegara," tambah Nasril.
Wakil Ketua Jawatankuasa VI DPR dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Aria Bima bersependapat dengan Nasril bahawa kerajaan dan pelabur Malaysia perlu berkelakuan baik dan jangan melukai hati rakyat Indonesia.
Menurut Aria, di sektor perniagaan, ia haruslah saling menguntungkan kedua pihak, bukan mematikan.
Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Gadjah Mada, Sri Adiningsih berkata, dalam tempoh tiga tahun terakhir, Malaysia banyak membuat pelaburan di Indonesia terutamanya dalam sektor minyak sawit, perbankan dan automotif.
"Mereka mengaut keuntungan dari negara ini, oleh sebab itu mereka perlu bertoleransi dan turut serta membangunkan Indonesia," ujarnya.
Ketua Subdirektorat Piawaian dan Teknologi Kementerian Perindustrian, Hasbi Assiddiq pula menganggap mana-mana negara yang memutuskan hubungan perniagaan dengan Indonesia akan rugi kerana negara ini memiliki sumber tenaga kerja dan pasaran yang besar.
"Malaysia jangan sombong, hanya negara bodoh yang akan memutuskan hubungan perniagaan dengan Indonesia," tegasnya. - Agensi
No comments:
Post a Comment