Friday, September 10, 2010

Ibu harap Sosilawati dapat pulang beraya



BATU PAHAT 9 Sept. - Tiada yang lebih menggembirakan bagi Yatemi Abdul Rahman, 80, menjelang Hari Raya Aidilfitri esok selain kepulangan anaknya, Datuk Sosilawati Lawiya yang hilang sejak 30 Ogos lalu.
Menurutnya, dia menaruh harapan yang tinggi untuk melihat anak kelapannya itu pulang beraya di kampung walaupun bukan pada 1 Syawal.
"Saya menaruh harapan tinggi Sosilawati akan pulang, tak dapat Hari Raya pertama, hari-hari seterusnya pun jadilah janji dia balik,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Menanti, Seri Medan di sini hari ini.
Yatemi juga tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan nasib Sosilawati dan dia juga sering mendoakan keselamatan anaknya itu.
Katanya, hari raya kali ini tidak ceria tanpa kepulangan Sosilawati yang sering meraikan Aidilfitri di kampung bersama ahli keluarga yang lain.
Yatemi berkata, sepatutnya Sosilawati pulang ke kampung pada 31 Ogos lalu iaitu sehari selepas dia dilaporkan hilang bagi menguruskan pembelian perabot-perabot baru sempena Hari Raya kali ini.
"Malah saya sudah memasak rempeyek dan tumpi sejak dua minggu lalu kerana ia sememangnya kegemaran Sosilawati setiap kali Hari Raya," katanya.
Sosilawati dilaporkan hilang bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Samsudin; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32.
Isnin lalu, polis menemui kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati yang ditinggalkan di Flat Angsana, USJ manakala kereta BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di Hotel Dorsett, Subang Jaya.
Yatemi berkata, dia juga tidak tidur lena dan sering terjaga pada pukul 3 pagi sejak dua tiga hari sebelum ini kerana bimbangkan keselamatan Sosilawati.
"Kami sekeluarga juga telah meminta pertolongan orang kampung untuk melakukan solat hajat bagi mendoakan keselamatan Sosilawati," katanya.
Dalam pada itu, adik ipar Sosilawati, Azizah Ahmad, 37, berkata, sehingga kini keluarganya belum dimaklumkan mengenai perkembangan lanjut kehilangan Sosilawati.
Menurutnya, walaupun pernah mendengar keluhan Sosilawati yang ditipu beberapa kali dalam perniagaan semasa mereka berkumpul beramai-ramai sebelum ini, mereka tidak berapa jelas tentang perkara itu selain tidak bertanya lanjut kerana enggan mencampuri urusan peribadi beliau.
"Malah setahu saya, Wati juga tidak pernah mempunyai musuh lantaran sikapnya yang peramah, bermurah hati dan sering membantu orang," katanya.

No comments:

Post a Comment