Friday, September 10, 2010

Ibu, anak sambut 1 Syawal di hospital



Oleh Nazdy Harun
bhkt@bharian.com.my 
2010/09/10


CHE KU ZAIMAH (kiri) dan anaknya menerima sumbangan Ihya Ramadan daripada Zahir disaksikan oleh Pengurus Pemasaran Tabung Haji, Adnan Salleh di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
CHE KU ZAIMAH (kiri) dan anaknya menerima sumbangan Ihya Ramadan daripada Zahir disaksikan oleh Pengurus Pemasaran Tabung Haji, Adnan Salleh di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Mangsa simbah asid dapat bantuan Tabung Haji


KUALA TERENGGANU: Aidilfitri kali ini antara yang sugul bagi Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, dari Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, bersama seorang lagi anaknya apabila mereka terpaksa berhari raya di hospital selepas disimbah cuka getah oleh suaminya pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu.
Katanya, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, juga masih ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), menjalani rawatan bagi memulihkan kulit yang hangus akibat terkena simbahan cuka getah pada hari kejadian manakala anak bongsunya Muhammad Irfan Firdaus, 2, dan ibunya Minah Omar, 56, sudah dibenarkan pulang.
Katanya, beliau sedih mengenangkan apa yang berlaku terhadap keluarganya dan Aidilfitri kali ini menjadi titik hitam dalam sejarah keluarga kerana mereka terpaksa menahan kesakitan atas perbuatan orang yang mereka sayang sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya tidak akan menghalang hubungan anak-anak dengan bapa mereka. Walau sejahat mana, dia tetap bapa mereka kerana seperti kata pepatah 'air dicincang tidak akan putus'," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan Ihya' Ramadan oleh Tabung Haji, di sini, semalam.

Che Ku Zaimah berkata, selepas ini dia ingin melupakan kisah silamnya itu dan akan membina hidup baru bersama anak-anak selain berharap anaknya memberi tumpuan kepada pelajaran yang menjadi aset terpenting pada masa depan.

“Hati mana tidak sedih melihat anak yang masih kecil duduk di katil hospital menahan kesakitan sedangkan kanak-kanak sebayanya kini sibuk bergembira menyambut Aidilfitri, tetapi anak saya masih menjalani rawatan," katanya. 
Katanya, beliau juga tidak membuat sebarang persiapan raya, dan berharap dua anaknya di rumah dapat menyambut Aidilfitri bersama nenek mereka. 

“Nurul Dahyatul Fazlinda masih menjalani rawatan menampal kulit pada bahagian mukanya yang melecur akibat terkena cuka getah dan proses pemulihan dijangka memakan masa," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tabung Haji Negeri, Zahir Hussin, berkata program Ihya' Ramadan bertujuan menceriakan penerima bantuan terutama mereka yang masih dirawat di hospital menyambut Aidilfitri. 

Katanya, seramai 320 orang di seluruh Terengganu menerima sumbangan di bawah program Ihya' Ramadan Tabung Haji.

No comments:

Post a Comment