Pembangkang guna taktik komunis
Oleh Jamhariah Jaafar
jamhariah@bharian.com.my
2010/09/08
Ahli, pemimpin BN mesti waspada kewujudan 'musuh dalam selimut'
UMNO tidak akan tunduk kepada kumpulan yang mencanang ramalan negatif mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, sebaliknya terus melaksanakan tanggungjawab membela nasib rakyat dan mengukuhkan imej Barisan Nasional (BN) yang membawa Malaysia menjadi antara paling disegani dunia dalam tempoh 53 tahun.
“Kita tidak perlu tunduk dengan tekanan negatif yang hanya melemahkan kita. UMNO dan BN diserang dari setiap sudut terutama pembangkang yang diketuai orang yang pernah menjadi orang kedua paling berkuasa di negara ini.
“Dia melakukannya kerana sejak awal motifnya untuk menghancurkan UMNO dari dalam. Ramai orang takut dengan UMNO dan parti komponen BN lain kerana ia adalah parti akar umbi. Strukturnya amat teguh dan musuh kita sentiasa mencari jalan membongkar akar ini.
“Menyedari ia tidak boleh dibuat dari luar, maka ada yang menyertai kita. Hari ini, mereka tahu bagaimana kita berfikir, tahu strategi dan kelemahan kita.
“Niat mereka hanya satu untuk musnahkan UMNO dan BN. Cara mereka mengikut cara komunis. Semua benda buruk dikeluarkan setiap hari dan diulang setiap masa,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tidak mampu menahan gelodak kemarahan melihat ramai ahli UMNO dan komponen BN turut terpengaruh dengan strategi licik pembangkang, Tengku Adnan yang selama ini senyap dalam menyusun langkah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini memberi amaran kepada semua ahli BN, terutama barisan kepemimpinan yang memudahkan gerakan pembangkang.
“Semua yang berlaku hari ini berpunca daripada seorang manusia yang mencetus fenomena ‘perjuangan perut’, perubahan sistem pendidikan yang dilakukan dalam tempoh 11 tahun dia berada dalam UMNO membuatkan rakyat kita menjadi cacamerba hari ini.
“Sistem begitu bercelaru bukan saja mengikis jati diri sebagai bangsa Malaysia tetapi melahirkan rakyat yang suka mendengar khabar angin, suka gosip, fitnah dan mencerca tanpa boleh berfikir soal fakta, apa lagi untuk berfikir akan sebab dan akibat.
“Kita perlu mengembalikan asas pendidikan utama kita iaitu pendidikan seumur hidup, membetulkan landasan yang digunakan ketika menjadi Menteri Pelajaran, yang mana kita pergi sekolah dan universiti hanya untuk dapatkan sijil, diploma atau ijazah,” katanya mengkritik keras kepemimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Pelajaran dan mengubah sistem pembelajaran daripada menimba ilmu pengetahuan kepada perlumbaan mengejar gred.
Tengku Adnan meminta ahli UMNO dan rakyat melihat kepada sejarah ‘perjuangan’ Anwar sejak di universiti, terutama membabitkan cara dan strateginya.
“Kita mesti ingat kenapa dia hendak masuk UMNO. Dia hanya berada dalam UMNO selama 11 tahun, tapi dalam tempoh yang amat singkat itu dia telah menjadi orang kedua paling berkuasa di Malaysia dan dalam tempoh yang singkat itu juga dia telah banyak merosakkan.
“Ramai orang tidak sedar apa yang berlaku pada UMNO sepanjang tempoh 11 tahun dia bersama parti ini, dan apabila dia keluar pada 1998, lihat apa sejarah Pilihan Raya Umum ke-11. Ahli UMNO sendiri tak memilih UMNO kerana taksub dengan Anwar... manusia ini mencipta sistem membuatkan ahli UMNO taksub kepada kepemimpinan.
“Dia silap kerana kita sebagai ahli UMNO sepatutnya taksub kepada parti. Wadah perjuangan UMNO mempunyai hala tuju dan landasan yang ditetapkan sendiri melalui Perlembagaannya dan telah dipersetujui semua ahli,” kata Ahli Parlimen Putrajaya itu.
Perkara pertama dilakukan Datuk Seri Najib Razak, sebaik saja menjadi Presiden UMNO tahun lalu ialah mengubah semua sistem yang banyak menjejaskan imej parti, terutama membabitkan sistem kuota dalam pemilihan barisan kepemimpinan sekali gus memberi kesan besar kepada usaha membanteras politik wang dalam parti.
Menjawab soalan, Tengku Adnan tidak gusar dengan segelintir penyokong Anwar yang masih bersama UMNO kerana strategi sama dibawa Ketua Pembangkang itu ke dalam pakatan pembangkang telah membenihkan pelbagai perasaan tidak puas hati dan saling mencurigai.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai isteri Anwar sendiri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, kini menyerlahkan elemen perebutan kuasa yang pernah berlaku dalam UMNO ketika beliau mula mengorak langkah menghapuskan semua musuh yang menghalang laluannya untuk menjadi orang paling berkuasa di negara ini.
“Ramai penyokong Anwar kini sudah berada di luar UMNO, ramai menyertai PKR dan PAS. Ketika ini antara mereka sedang mencetus masalah dalaman kedua-dua parti ini.
“Tapi kita tahu masih ada yang menyokong orang ini di dalam UMNO dan mereka yang terpengaruh dengan didikannya. Susah hendak menghapuskan semua elemen negatif ini secara menyeluruh kerana tidak ada parti politik atau situasi dalam dunia ini yang kita boleh mencapai kesempurnaan hakiki,” kata Tengku Adnan.
Justeru, Setiausaha Agung Umno itu menegur barisan kepimpinan semua peringkat UMNO dan BN yang kelihatan percaya dengan ramalan negatif Pilihan Raya ke-13, sehingga tidak lagi bekerja keras menangkis perspektif negatif sebaliknya sibuk cuba ‘mendapatkan apa yang boleh’.
“UMNO sentiasa bergerak ke arah perjuangan agenda bangsa, agama dan negara. Kita insaf apa yang berlaku, kita terus melihat ke dalam dan membetulkan apa juga kelemahan serta kesilapan. Umno juga bergerak ke hadapan, seiring dengan perubahan dunia.
“Kita perlu menangani perspektif negatif yang menular sekarang kerana gerakan pembangkang sama seperti cara komunis. Dia mencanangkan yang buruk setiap hari, UMNO rasuah, lemah, pemimpin tamak, kuat tidur... yang lemah dan silap adalah pemimpin, bukan parti,” katanya.
No comments:
Post a Comment