Wednesday, September 8, 2010

Rasidi disahkan tidak siuman



Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my
2010/09/08


SAHARAH memeluk Rasidi selepas Mahkamah Tinggi membebaskan anaknya daripada tuduhan membunuh di Seremban, semalam.
SAHARAH memeluk Rasidi selepas Mahkamah Tinggi membebaskan anaknya daripada tuduhan membunuh di Seremban, semalam.

Pemuda dibebaskan daripada tuduhan bunuh empat ahli keluarga
 

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, membebaskan Rasidi Ismail yang dituduh membunuh empat ahli keluarganya di Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada Januari lalu, kerana tertuduh didapati tidak siuman ketika melakukan perbuatan itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin ketika membacakan keputusannya, berkata pihak pembelaan berjaya membuktikan tuduhan berkenaan melampaui keraguan munasabah.
Bagaimanapun, beliau berkata, Rasidi,32, akan ditahan di Penjara Kajang, Selangor sehingga tempoh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. 

Katanya, hasil pemeriksaan hospital selama dua bulan mendapati tertuduh disahkan menghidap penyakit jiwa akibat mengalami delusi dan halusinasi sejak beberapa tahun lalu. 

“Tertuduh disahkan menghidap penyakit jiwa atau skizofrenia paranoid iaitu gangguan pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kemerosotan fungsi psiko-sosialnya. 

“Tertuduh dikesan mengalami gejala delusi atau kepercayaan palsu iaitu empat ahli keluarganya sudah meninggal dunia sebelum kejadian berlaku serta turut berhalusinasi,” katanya. 
Sepanjang perbicaraan berlangsung, seramai 13 saksi termasuk ahli keluarga mangsa dipanggil memberi keterangan di mahkamah. Rasidi yang sering dilihat tenang sepanjang perbicaraan sebelum ini diarahkan Mahkamah Tinggi, menjalani pemeriksaan mental selama dua bulan di Hospital Permai sejak 23 Mac lalu, selepas mengaku bersalah membunuh empat ahli keluarganya. 

Bekas pegawai bank itu sebelum ini mengaku bersalah melakukan pembunuhan berkenaan dan mendakwa perbuatan dilakukan selepas mendapat arahan dari tulisan di dinding. 

Mengikut pertuduhan, Rasidi didakwa membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, antara jam 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu. Selain itu, dia dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung itu pada tarikh dan waktu sama. 

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit 
kesalahan, boleh dihukum gantung mandatori. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin, manakala peguam bela Hanif Hassan mewakili tertuduh. 

Keputusan mahkamah itu disambut gembira dan penuh kesyukuran keluarga tertuduh termasuk ibunya, Saharah Atan, 59, serta sanak saudara yang sentiasa mengikuti sesi perbicaraan kes itu. 

Sementara itu, Saharah berkata, beliau bersyukur walaupun Rasidi tidak dibebaskan sepenuhnya, tetapi dia terlepas daripada dihukum mati. 

Menganggap keputusan itu sebagai satu rahmat Allah sempena bulan Ramadan ini, beliau berkata, akan sentiasa menemui Rasidi di penjara dan membawa makanan kegemarannya termasuk masakan istimewa ketika bertemunya di Aidilfitri nanti. 

“Saya mahu mengadakan kenduri kesyukuran sebagai tanda syukur kepada Allah atas kekuatan, rahmat dan petunjuk yang sentiasa diberi sepanjang tempoh perbicaraan ini,” katanya. 

Saharah yang kini tinggal di Rumah Rakyat Kampung Batang Rokan berkata, setiap kali Aidilfitri, Rasidi yang akan memasak ketupat untuk keluarga tetapi keadaan berubah sekarang dan mereka tidak mengetahui tempoh tahanannya di Penjara Kajang.

No comments:

Post a Comment