Wednesday, September 8, 2010

Kes Zaid akan dipantau



SHAH ALAM – Badan sukarela, MyDemocracy Watch masih belum menerima sebarang aduan daripada Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa diberi amaran untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan November ini. 

Penyelarasnya, Yusmadi Yusoff berkata, sebarang aduan yang diterima akan dipantau sepenuhnya dan jika ada bukti-bukti kukuh ia akan dibawa ke peringkat lebih tinggi terutamanya ke Lembaga Disiplin Parti untuk tindakan selanjutnya. 

“Jika beliau (Zaid) yakin dengan MyDemocracy Watch, beliau boleh buat aduan kepada kami, kerana jika beliau mahu sokongan tambahan, aduan kepada kami amat dialu-alukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. 

Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, setakat ini pemantauan perjalanan pemilihan parti berjalan lancar dan proaktif dengan dibantu ramai anggota. 

“Seperti saya cakap sebelum ini, badan sukarela ini adalah satu usaha menghalang mana-mana pihak yang mahu salah guna kuasa selain meratakan padang permainan antara semua pihak,” katanya. 

Kelmarin, Zaid mengeluarkan kenyataan menerima amaran kerjaya politiknya akan terkubur seperti bekas Timbalan Presiden UMNO, Allahyarham Tun Ghaffar Baba jika meneruskan niat untuk bertanding pada pemilihan parti November ini. 

Badan sukarela Mydemocracy Watch diwujudkan oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas inisiatif mahu pemilihan parti November ini benar-benar bersih serta anggotanya tidak terpilih untuk bertanding. 

Badan sukarela ini juga adalah pemantau urustadbir pemilihan PKR, terutama yang melibatkan amalan penyalahgunaan kuasa dan sumber kerajaan dan amalan-amalan yang tidak demokratik seperti kronisme, rasuah dan nepotisme. 

Badan itu berjanji akan membela golongan yang dinafikan hak demokrasi semasa pemilihan partinya tanpa menyebelahi mana-mana kelompok berkepentingan pada pemilihan parti November ini.

No comments:

Post a Comment