Wednesday, September 8, 2010

Zaid perlu korban 'jiwa dan raga' untuk rebut Timbalan Presiden



KUALA LUMPUR 7 Sept. - Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim yang berhasrat merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu November ini diminta 'bercermin diri' terlebih dahulu.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu memutuskan sama ada beliau sanggup berkorban 'jiwa dan raga' untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun tidak.
Katanya, jika Zaid tidak sanggup membuat pengorbanan 'sehebat' yang dilakukan Naib Presiden, Azmin Ali, lebih baik beliau melupakan niatnya untuk bertanding jawatan nombor dua parti berkenaan.
"Tiada individu dalam PKR yang pernah membuat pengorbanan 'sehebat' Azmin kepada Anwar.
"Malah saya boleh katakan, mungkin pengorbanan Ahli Parlimen Gombak ini antara paling besar dalam sejarah politik tanah air sehingga menyebabkan Anwar begitu sayang kepadanya.
"Zaid adalah seorang tokoh politik berkaliber tetapi soalnya adakah beliau sanggup dan bersedia berkorban seperti yang dilakukan Azmin?
"Jika tidak nasihat saya, adalah lebih baik beliau membatalkan sahaja niatnya untuk menentang Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kekecewaan Zaid yang mendakwa dirinya dilemparkan dengan pelbagai fitnah dan tuduhan liar selepas mengumumkan mahu merebut jawatan nombor dua PKR yang turut ditandingi Azmin sebagai calon pilihan.
Mengulas lanjut, Mohd. Zahid berkata, dalam keadaan sekarang adalah sukar penyelaras pakatan pembangkang itu memecahkan 'kasih-sayang' Anwar dan Azmin walaupun beliau mempunyai sumber kewangan yang banyak.
Ini kerana, tegasnya, walaupun Zaid dilabelkan seorang yang liberal, tetapi beliau yakin pengamal undang-undang itu tidak sanggup melakukan pengorbanan besar terhadap parti itu.
Dalam pada itu, Mohd. Zahid 'mengalu-alukan' hasrat Azmin bertanding jawatan Timbalan Presiden kerana langkah diambil oleh Naib Presiden kesayangan Anwar itu jelas membuktikan dakwaan pelbagai pihak sebelum ini iaitu PKR adalah sebuah parti 'bateri 3A'.
"Hasrat Azmin jelas membukti bahawa dakwaan pelbagai pihak yang PKR adalah parti 3A iaitu Anwar, Azmin dan Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berasas dan bukannya tuduhan kosong.
"Namun begitu, Azizah hanya simbol dan boneka sahaja kerana yang lebih berkuasa adalah Azmin dan Anwar," katanya.

No comments:

Post a Comment