Wednesday, September 8, 2010

Nasib Khalid akan ditentukan ahli akar umbi




SHAH ALAM – Pertandingan merebut jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara semakin hebat dijalankan kerana setiap calon yang bertanding mula menggerakkan kempen masing-masing untuk mendapatkan sokongan akar umbi. 

Bekas Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mazli Saring yang bertanding di Kuala Selangor berkata, beliau tidak gentar berhadapan dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana beliau yakin mempunyai kekuatan sendiri. 

Menurutnya, ia adalah kerana cengkaman politik Abdul Khalid di Selangor mula rapuh disebabkan pengasingan kuasa politik dan pentadbiran dalam Kerajaan Negeri dengan melantik Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali menjadi Pengerusi PKR negeri. 

“Saya tidak pernah dan tidak akan menyarankan Khalid berundur kerana pertandingan ini bebas kepada sesiapapun walaupun kita lihat keadaan Khalid sekarang tidak berapa kukuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Selain Khalid dan Mazli, dua lagi calon yang mengesahkan pencalonan merebut jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor ialah bekas Ketua Wanita PKR Kuala Selangor, Fauziah Sulaiman dan seorang bekas guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah. 

Cabang Kuala Selangor mempunyai 6,218 ahli yang layak dan hari pembuangan undi pada 3 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment