Wednesday, September 8, 2010

Dr. Mahathir selar Pas jual agama demi politik



KUALA LUMPUR 7 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar tindakan pemimpin Pas yang sanggup menjual agama Islam demi survival politik bagi mendapat sokongan pihak tertentu.
Menurutnya, pemimpin Pas amat cekap memanipulasi pemikiran dan menukar tafsiran dalam apa-apa isu sekali pun bagi menjadikannya selari dengan kehendak rakan bukan Islam.
Katanya, mereka yang kononnya mendakwa sebagai pejuang Islam sebenarnya secara nalurinya perjuangan mereka langsung bukan untuk memartabatkan Islam tetapi mengenepikannya.
"Kita lihat bagaimana mereka yang kononnya pejuang Islam ini sanggup menukar tafsiran terhadap Islam kerana politik.
"Kalau dulu mereka kata bekerjasama dengan orang kafir kita akan jadi kafir, tetapi kini mereka melakukan perkara sama dan dipertahankan sehingga ke tahap luar biasa.
"Umpamanya, isu ternakan babi dekat dengan kampung Melayu, mereka mengatakan dalam al-Quran tiada menyebut mengenai ternak babi, hanya tak boleh makan babi, kalau nak ternak atau nak lakukan apa-apa tiada larangan dalam al-Quran," katanya dalam wawancara khas bersama UMNO-Online di sini, hari ini.
Dr. Mahathir berkata, pimpinan Pas sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan kepentingan politik mereka terjamin dan menghalalkan apa yang mereka lakukan.
Beliau memberikan beberapa contoh seperti tindakan Pas menuduh UMNO kafir apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC tetapi kini mereka melakukan perbuatan sama apabila bersekongkol dengan DAP.
Pas juga, katanya, menghalalkan tindakan khatib mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong dengan alasan untuk menarik bukan Islam kepada Islam.
"Mereka pintar memberi penjelasan, menukar pemikiran mereka kerana yang menjadi mangsa adalah Islam dan orang Islam sendiri," katanya.
Seterusnya, Dr. Mahathir juga membangkitkan kes Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki ruang utama solat Surau al-Huda, Kajang, yang disokong dan langsung tidak dibantah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau amat kecewa dan sedih dengan tindakan itu berkata, Pas menggunakan Islam sebagai sebagai alat untuk mendapat sokongan di kalangan umat Islam tetapi mereka sebenarnya bukan pejuang Islam seperti yang digembar-gemburkan itu.
"Jika Islam itu menjadi halangan untuk dapat sokongan orang bukan Islam, mereka sanggup cari jalan supaya Islam itu dikebelakangkan sikit.
"Contohnya dalam soal hukum hudud, semua itu diketepikan. Begitu juga dengan negara Islam, ia juga diketepikan supaya dapat sokongan bukan Islam, itu memang naluri Pas.
"Itu Pas guna Islam untuk memancing undi. Dari dahulu memang macam itu," katanya.

No comments:

Post a Comment