Wednesday, September 8, 2010

Polis diminta jelaskan Sultan Kelantan dikasari

KOTA BHARU 7 Sept. - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra meminta pihak polis memberi penjelasan mengenai insiden anggotanya didakwa bertindak kasar termasuk mengacu senjata ke arah Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dalam satu kejadian pada 4 Mei lalu.
Menurutnya, perkara tersebut perlu diberi penjelasan apatah lagi rakaman dan gambar mengenai kejadian itu telah didedahkan di laman youtube serta yang terbaru di lamanhttp://justread-whatever.blogspot.com (just read).
Anakanda ketiga Tuanku Ismail itu menyifatkan tindakan mengacukan pistol kepada ayahandanya sebagai sesuatu yang sangat 'teruk' dan hukuman berat perlu dikenakan terhadap setiap anggota keselamatan yang terlibat.
Tegasnya, beliau sendiri berada di situ pada waktu itu dan ramai lagi saksi turut melihat kekasaran yang dilakukan anggota keselamatan.
''Pihak berkuasa tertentu perlu mengambil tindakan sewajarnya tidak kira siapa asalkan yang terlibat perlu bertanggungjawab," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kejadian tersebut telah menggemparkan rakyat negeri ini apabila rombongan Istana Mahkota termasuk baginda dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dipintas oleh sepasukan anggota polis sebaik sahaja keluar dari pintu istana untuk ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menghantar Tuanku Ismail ke Singapura.
Beberapa kenderaan polis termasuk Proton Perdana dan Proton Waja segera memintas kenderaan pelbagai guna Toyota Alphard yang dinaiki baginda kira-kira 50 meter dari pintu Istana Mahkota.
Sebaik dipintas, beberapa anggota polis bertopeng dan lengkap bersenjata meluru keluar sambil mengacu senjata ke arah rombongan berkenaan sebelum membawa baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dirawat.
Tengku Muhammad Fakhry berkata, tindakan mengacukan senjata ke arah baginda bukanlah operasi biasa memandangkan Tuanku Ismail merupakan pemerintah nombor satu Kelantan.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat sehari selepas itu namun sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan.
Sementara itu, Majlis Setia Rakyat telah membuat laporan polis berhubung laporan yang dibuat oleh laman blog tersebut kerana ia menjejaskan maruah Kesultanan Kelantan.
Laporan dibuat Presiden Penaja majlis itu, Datuk Azaha Abdul Rani di Balai Polis Kota Bharu kira-kira pukul 3 petang.

No comments:

Post a Comment