Tuesday, September 21, 2010

Menuding jari memang mudah, mengaku salah payah

 
- ONG TEE KEAT

Mencaci perangai dan gelagat pihak lawan sememangnya sifat manusia. Namun apakah kita sudi mengguna pakai prinsip sama untuk menilai jati diri sendiri? Lazimnya manusia memang keberatan hendak berbuat demikian terhadap dirinya. 

Sebagai contoh, sesetengah orang politik yang ghairah melaungkan ketelusan dan kebertanggungjawaban (accountability), ramainya mengenakan kriteria itu terhadap pihak lawan mereka, khususnya ditujukan kepada mereka yang berkuasa. Bagi mereka, kriteria itu seolah-olah tidak kena-mengena dengan mereka kerana bukan pihak yang memerintah. 

Dalam erti kata lain, budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban hanyalah relevan kepada orang politik yang memerintah, dan bukannya merangkumi semua. Hujah sedemikian ada pasarannya kerana pada tanggapan umum, hanya parti pemerintah sahaja yang perlu kelihatan telus dan bercirikan kebertanggungjawaban di kaca mata orang awam. 

Padahal segala urusan atau usaha membabitkan kepentingan orang ramai sudah pasti perlu ditangani secara telus dan bertanggungjawab. Prinsip sedemikian tidaklah terhad kepada parti pemerintah sahaja, malah meliputi semua badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang, khasnya mereka yang sentiasa ghairah melibatkan orang ramai dalam program-program mengutip derma bagi mengisi tabung mereka yang pelbagai. 

Dalam kehidupan saban hari, ramai dalam kalangan masyarakat kita bersikap murah hati, terutama apabila timbul kes-kes mendesak yang memerlukan bantuan tergempar daripada orang ramai. Lazimnya kita tidak teragak-agak hulurkan bantuan wang ringgit kepada yang datang, baik kerana simpati atau demi sokongan. 

Sehubungan itu, sumber dana yang dikutip dalam kalangan masyarakat umum perlulah ditangani secara telus dari segi jumlah kutipannya serta kaedah penggunaannya. Namun malangnya, dalam realiti jarang-jarang prinsip ketelusan yang dimaksudkan dapat dipatuhi demi kepentingan ramai. Pihak atau individu yang kuat berkempen untuk mengutip derma daripada orang ramai mungkin mudah lupa akan matlamat asal mereka berbuat demikian, sehingga ada yang sanggup bersikap melatah bila disoal oleh penderma tentang kesudahan wang kutipan berkenaan. 

Mungkin pada anggapan mereka, soalan sedemikian tidaklah perlu dan dijangka ditimbulkan sama sekali kerana sifat penyayang dalam kalangan orang Malaysia memang tidak berkehendakkan sebarang tindakan susulan. 

Baru-baru ini, apabila pejabat khidmat rakyat saya didatangi beberapa pemimpin masyarakat setempat dari kawasan Parlimen saya, didapati aduan mereka mirip sangat kepada senario yang tersebut di atas. Punca masalah tidak lain daripada satu kempen mengutip derma atas tema memperjuangkan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baru atas sebidang tanah berstatus kawasan lapang di salah satu taman kediaman. Ia diusahakan seorang bakal calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkenaan pada 2007. 

Dalam kempen tersebut, wang ringgit sudah dikutip daripada orang ramai melalui jualan kipas tangan. Sambutan awam cukup memberangsangkan dalam kalangan masyarakat Cina tempatan kerana mereka mahukan SJKC baru. Namun akaun kutipan derma itu selama ini tetap tinggal satu rahsia, bukan sahaja kepada para penderma; malahan kepada ahli-ahli jawatankuasa pengelolanya, menurut bekas-bekas rakan seperjuangan bakal calon itu. 

Apa yang merumitkan lagi keadaan mungkin adalah di luar jangkaan beliau kerana beliau telahpun dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan DUN yang berkenaan dalam Pilihanraya Umum ke-12. Lebih-lebih lagi, parti yang beliau wakili telah menganggotai pentadbiran baru di peringkat negeri. Dalam perkataan lain, beliau telah menjadi ADUN dari parti pemerintah negeri. 

Akan tetapi, pengadu-pengadu yang pernah menyokong beliau satu ketika dulu telah memilih mempersoalkan kesudahan kutipan derma yang beliau usahakan itu. Tapak yang kononnya dikenalpasti beliau sebagai tapak sekolah itu rupa-rupanya masih tinggal berstatus kawasan lapang. Ini memang menggemparkan mereka yang pernah menderma kepada tabung itu. Lagipun, projek pembinaan sekolah yang dimaksudkan itu juga didapati tidak pernah wujud dalam senarai kelulusan Kementerian berkenaan. Pendek kata, itu muslihat namanya, ujar seorang bekas penyokongnya. 

Saya rasa terpanggil untuk menasihatkan pengadu-pengadu yang terkilan agar aduan mereka ini dapat ditangani secara berkesan oleh pihak polis dan SPRM. Peristiwa ini juga saya catatkan di dalam blog sehingga ADUN yang berkenaan mengugut ingin mengenakan tindakan saman malu terhadap saya. 

Saya cukup terperanjat dan kecewa dengan tindak-tanduk beliau selanjutnya kerana saya memang tidak sangka seorang wakil rakyat baru sanggup merelakan dirinya terjebak kepada gejala politik yang sekian buruk, yakni bukan saja keraguan-keraguan yang dibangkitkan itu tidak terjawab, malah beliau sanggup berdolak-dalih serta menyifatkan laporan pengadu-pengadu kepada polis itu satu tindakan yang saya dalangi untuk mencekik kerjaya politik beliau. 

Beliau tidak mengumumkan sebarang jumlah kutipan dan butir-butir terperinci mengenai kutipan derma itu, sebaliknya beliau menggemparkan masyarakat dengan dakwaan bahawa kutipan itu adalah untuk mengisi tabung parti. Jualan kipas tangan yang bertujuan mengutip derma itu juga didakwa beliau sebagai satu-satunya yang menanggung kerugian. 

Mungkin ada orang menganggap ini sebagai sandiwara politik biasa, tetapi kita tetap perlu soal mana letaknya ketelusan dan kebertanggungjawaban beliau selaku seorang wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat. Sejak bila wang kutipan untuk kempen pembinaan sekolah telah menjadi hasil sumber dana parti politik? Sejak bila pendedahan suatu janji kosong yang berupa pembohongan dalam soal status tapak sekolah juga boleh dituduh sebagai satu kekejaman terhadap beliau? 

( Nota: Tapak kawasan lapang itu hanya boleh dijadikan tapak sekolah asalkan ia ditukar syarat penggunaannya terlebih dahulu. Kebetulan ini terletak dalam bidang kuasa dan tugas ADUN dari parti pemerintah negeri) 

Mana letaknya logik dan kewarasan seorang wakil rakyat dalam menangani isu sebegini? Saya yakin, sesiapa yang menyaksikan babak-babak berkenaan pasti akan terus terkilan dan tertanya-tanya dengan soalan kenapa orang yang pada satu ketika dulu mengkritik hebat akan parti pemerintah atas tiadanya ketelusan sanggup mengikut jejak kaki mereka yang sama bila mengambil-alih tampuk pemerintahannya. 

Sepanjang episod itu berlangsung, beliau tidak kelihatan menyesal tetapi terus menuding jari kepada pihak yang menyoal integritinya. Saya mengeluh betul. Mengeluh bukan kerana diri saya akan disaman malu, tetapi semata-mata atas keruntuhan moral politik yang semakin terserlah di persada politik negara kita. 


Datuk Seri Ong Tee Keat ialah bekas Menteri Pengangkutan dan mantan Presiden MCA. Beliau juga Ahli Parlimen Pandan.

No comments:

Post a Comment